Lapan unit hebahan bergerak ingatkan masyarakat Tg Piai keluar mengundi [ 3m ago ]

Berita POLITIK


Kempen PRK Tg Piai bermula suram, tetapi kini semakin meriah

Tarikh kemaskini: 08/11/2019
Oleh Suhainine Mohd Khalid

PONTIAN, 8 Nov – Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang bermula 2 Nov lepas memasuki hari ketujuh hari ini, dengan kempen semakin meriah apatah lagi kini Tanjung Piai semakin menjadi tumpuan pemimpin utama parti.

Beberapa hari selepas penamaan, suasana kempen di Tanjung Piai yang terbahagi kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas dan DUN Kukup kelihatan suram, namun, ia mula berubah meriah sejak beberapa hari lepas dengan ‘perang’ bendera parti bertanding di merata-rata, ditambah riuh kenderaan dilengkapi pembesar suara melaungkan pujukan untuk mengundi mereka.

Calon bertanding dilihat semakin rancak menggunakan peluang yang ada bertemu seramai mungkin pengundi sambil memperkenalkan diri menjelang hari pengundian 16 Nov ini.

Cuaca baik beberapa hari ini menambahkan lagi ‘kehangatan’ di Tanjung Piai ini apabila calon bertanding kebanyakannya memanfaatkannya dengan berkempen seawal 7 pagi, di sekitar pasar pagi atau pun minum kopi bersama pengundi.

Pada hari pertama berkempen, jentera Pakatan Harapan (PH) awal-awal lagi sudah menerima suntikan semangat menerusi kehadiran Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Presiden Pakatan Harapan, yang kebetulan pada hari itu menghadiri program Karnival Beli Barangan Malaysia (KBBM) Peringkat Kebangsaan di Johor Bahru.

Namun selepas hari penamaan, tidak ramai pemimpin utama dan di peringkat persekutuan sama ada daripada PH mahupun BN yang hadir pada program kempen kecuali beberapa pemimpin dari Johor seperti Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Salahuddin Ayub daripada PH, yang dilihat lebih kerap berada di Tanjung Piai.

Bagaimanapun, keadaan berubah beberapa hari lepas apabila semakin ramai pemimpin utama parti politik yang turut berkempen seperti Presiden Amanah Mohamad Sabu, Ketua Srikandi Bersatu Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong yang tampil memperjelaskan isu dan dasar kerajaan kepada rakyat.

Turut sama membantu kempen ialah Penasihat DAP Lim Kit Siang yang turut tampil berceramah untuk calon PH, Karmaine Sardini.

BN juga nampaknya tidak ketinggalan membariskan ‘jeneral' mereka seperti Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO, Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong serta Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan.

Kehadiran Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dua malam lepas turut mencuri tumpuan sekali gus mengesahkan parti itu menyokong MCA yang mempertaruhkan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, sebagai calon BN.

Bagi Gerakan pula, kempen mereka diperkuatkan dengan kehadiran Presiden parti Datuk Dominic Lau untuk membantu calon Wendy Subramaniam, malah parti itu melancarkan manifestonya semalam, yang menggariskan tiga perkara utama bagi memastikan kesejahteraan penduduk kawasan Parlimen tersebut.

Wendy juga seakan tidak mengalah dengan tumpuan kempen yang dilihat lebih kepada pertembungan PH dan BN dengan menyelitkan kelainan pada kempennya menerusi senamrobik berunsur K-Pop bersama para pengundi semalam.

Calon Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz juga dilihat aktif dalam kempennya walaupun tumpuan beliau lebih kepada pengundi Melayu.

Bagi calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock, tumpuan kempen beliau adalah menerusi media sosial Facebook manakala seorang lagi calon Bebas, Faridah Aryani Abd Ghaffar yang menjadi 'bidan terjun' bagi mewakili Gabungan Teksi Se-Malaysia (GTSM) hanya hari ini muncul di Tanjung Piai setelah tamat proses penamaan calon Sabtu lepas.

Seorang penduduk Tanjung Piai, Jamal Ahmad, 54, berpandangan kempen calon kurang mendapat sambutan dalam kalangan pengundi dan penduduk pada peringkat awal, yang antaranya mungkin disebabkan masih terlalu awal tempoh berkempen sebelum hari pengundian.

Kehadiran Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijangka minggu depan, sudah tentunya mampu memanaskan perjalanan kempen sebelum berlangsungnya hari pengundian, Sabtu depan, katanya.

Menurut anak jati Kampung Serkat itu, baginya ramai pengundi di Tanjung Piai merupakan golongan ‘atas pagar’ terutamanya mereka yang berumur 50 tahun ke bawah.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang mewakili PH pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

-- BERNAMA



       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu