Piala Dunia bawah 20 tahun: pemain Korea Selatan terima sambutan wira [ 12m ago ]

Berita POLITIK


Petisyen Parlimen Jasin: PH Melaka hormati keputusan, terus beri khidmat

Tarikh kemaskini: 12/06/2019
MELAKA, 12 Jun (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) Melaka menghormati keputusan Mahkamah Pilihan Raya hari ini mengekalkan kemenangan Parlimen Jasin kepada penyandangnya Datuk Seri Ahmad Hamzah daripada Barisan Nasional (BN).

Pengerusi PH Melaka Adly Zahari juga Ketua Menteri Melaka berkata sehubungan itu PH akan terus memberi khidmat kepada rakyat di Jasin dan di negeri Melaka secara keseluruhannya.

"Kita hormati keputusan Mahkamah Pilihan Raya mengekalkan kemenangan Parlimen Jasin kepada Datuk (Seri) Ahmad Hamzah.

PH akan terus memberi khidmat kepada rakyat di Jasin dan di negeri Melaka," katanya menerusi kenyataan ringkas dalam laman Facebooknya di sini, malam ini.

Ahmad kekal sebagai anggota Parlimen Jasin selepas Mahkamah Pilihan Raya di Kuala Lumpur hari ini menolak petisyen difailkan calon PH, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pada PRU14 lepas, Khairuddin tewas kepada Ahmad dengan perbezaan 219 undi dalam pertandingan tiga penjuru yang menyaksikan Ahmad mempertahankan kerusi itu selepas menerima 26,560 undi manakala Khairuddin memperoleh 26,341 undi sementara calon PAS Abd Alim Shapie mendapat 8,860 undi.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu