25 U-15 players selected for CFA tournament in Haikou City [ 1h ago ]

Berita POLITIK


Mendiang James Dawos penyumbang besar politik Sarawak - Abang Johari

Tarikh kemaskini: 09/07/2019
Abang Johari Tun Openg
KUCHING, 9 Julai (Bernama) -- Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata bekas Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr James Dawos Mamit, yang meninggal dunia malam tadi akibat kanser hidung, banyak menyumbang terhadap politik Sarawak.

Ketika melahirkan rasa takziah kepada keluarga mendiang Dawos, Abang Johari, yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, anggota Parlimen empat penggal Puncak Borneo itu telah menyumbang banyak jasa di kawasan Parlimennya.

“Kami bersedih bila mengetahui pemergiannya (Dawos)… Ia satu kerugian kepada kita dan kami bersimpati dengan keluarganya,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian bagi penutupan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS 2019) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Dawos, bekas anggota Majlis Tertinggi PBB, meninggal dunia pada usia 70 tahun dan meninggalkan seorang isteri, Datin Seri Christine Dawung Narub, tiga anak lelaki dan tujuh cucu.

Abang Johari dijadual memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Dawos di kediamannya di Taman Stutong Indah di sini, esok.

Anak mendiang, Christopher James Dawos berkata, bapanya meninggal setelah berjuang dalam menghadapi jangkitan paru-paru dan kesan sampingan lain susulan rawatan radioterapi bagi kanser hidung, yang disahkan kira-kira 10 tahun lepas.

Seorang saintis alam sekitar secara profesion, Dawos juga terkenal sebagai penggerak pemuliharaan bahasa dan budaya Bidayuh.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah menyifatkan Dawos sebagai seorang “rakan lama” yang amat berpengetahuan luas, terutama dalam isu alam sekitar.

“Beliau bagaikan “buku rujukan” alam sekitar apabila saya menjadi Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar dan pada ketika itu mendiang adalah seorang penyokong kerajaan,” katanya.

Beliau mengimbau bahawa Dawos juga menghadiri persidangan perubahan cuasa di luar negara, termasuk Copenhagen, Denmark pada 2009 ketika dia masih seorang menteri Persekutuan.

Uggah, yang turut menzahirkan takziah, berkata pemergian Dawos adalah satu kehilangan besar kepada komuniti Bidayuh dan PBB, tulang belakang Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mendiang membantu membinanya dalam kalangan Bidayuh di negeri ini.

-- BERNAMA









BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu