Keharmonian rakyat ibarat kek lapis Sarawak yang berwarna-warni [ 36m ago ]

Berita POLITIK


Ahli Bersatu diingatkan supaya perjuangan tidak 'berkiblatkan' wang dan kuasa

Tarikh kemaskini: 13/09/2019
SHAH ALAM, 12 Sept -- Semua ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diingatkan supaya tidak menjadikan perjuangan parti 'berkiblatkan' kepada wang dan kuasa sekiranya mahu terus kekal menjadi kerajaan pada masa depan.

Pengerusi Bersatu yang juga Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ingatan sedemikian perlu selalu diulangi supaya ahli sedar bahawa parti yang ditubuhkan tiga tahun lepas itu meraih sokongan menerusi perjuangan tulus berteraskan semangat kebangsaan dan bangsa, bukan dengan 'menghambur' duit kepada rakyat seperti yang pernah dilakukan seteru politik parti berkenaan.

"Pada Pilihan Raya Umum ke-14, mereka (seteru politik Bersatu) janji untuk naikkan gaji, naikkan pemberian wang kepada rakyat kerana mereka percaya rakyat akan sokong, tapi sangkaan itu meleset. Rakyat tolak bulat-bulat 'perjuangan' itu.

"Kita tidak akan guna duit. Kita bergantung kepada semangat kebangsaan dan bangsa kita untuk raih sokongan rakyat. Bukan dengan cara kita hamburkan duit kepada mereka.

"Kalau kita berkelakuan (politik wang) seperti parti yang kita kalahkan (pada Pilihan Raya Umum ke-14), kita juga akan kalah," katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ketiga Bersatu di sini, malam ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Dalam Negeri, diiringi Timbalan Presiden Bersatu yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, kepimpinan parti seluruh negara serta kira-kira 2,000 ahli Bersatu.

Hadir sama adalah Menteri Hal Ehwal Ekonomi merangkap Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan beberapa pemimpin parti komponen Pakatan Harapan.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut mengingatkan bahawa kemenangan Bersatu pada PRU lepas bukan disebabkan kekuatan parti, sebaliknya ekoran tindakan rakyat yang 'menolak' seteru politik parti berkenaan.

Katanya, ahli Bersatu juga harus melihat kekalahan dan kegagalan pihak lawan sebagai pengajaran yang perlu 'dihadam' demi mengelakkan situasi sama melanda parti itu suatu hari nanti atas kelalaian ahlinya.

"Kejayaan dan kegagalan mereka (seteru politik Bersatu) serta sifat-sifat mereka boleh dijadikan pengajaran kepada kita. Kalau kita faham, belajar dan amal, kita akan lebih selamat kerana kita akan mampu mengelakkan perkara dilakukan mereka berulang," katanya.

Dr Mahathir turut menzahirkan harapan agar ahli Bersatu sentiasa mengingatkan sesama sendiri supaya terus berpegang utuh kepada perjuangan parti demi kelangsungan parti sehingga 100 tahun lagi.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu