Arif Fadzilah akui sudah lama idam sertai TFC [ 13m ago ]

Berita POLITIK


PRK Tg Piai: Calon Bebas Faridah muncul berkempen pada hari ketujuh

Tarikh kemaskini: 08/11/2019
PONTIAN, 8 Nov -- Selepas enam hari tidak kelihatan sejak hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai 2 Nov lepas, calon Bebas Faridah Aryani Abd Ghaffar hari ini muncul untuk mula berkempen.

Faridah Aryani, 45, menjelaskan kelewatannya memulakan kempen yang hanya bermula hari ketujuh kempen hari ini adalah berikutan kekangan dana serta jumlah jentera kempen yang sedikit.

Bagaimanapun, beliau menjadikan kekurangan itu sebagai strategi untuk lebih fokus pada lapan hari terakhir tempoh berkempen sebelum hari mengundi 16 Nov ini.

"Kita lewat berkempen kerana kurang dari segi kewangan, tiada dana besar. Baki hari-hari terakhir ini, dengan jentera seramai 18 orang, kita akan berkempen di semua 27 daerah mengundi di sini," katanya dalam sidang media di Serkat, hari ini.

Hadir sama, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Big Blue Capital (M) Sdn Bhd Datuk Shamsubahrin Ismail.

Faridah merupakan calon pengganti saat akhir menggantikan Shamsubahrin yang dimasukkan ke hospital kerana masalah jantung sehari sebelum penamaan calon.

Mengulas lanjut, Faridah berkata antara tujuan beliau bertanding pada PRK itu adalah untuk memperjuangkan nasib kumpulan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan pemandu teksi di Tanjung Piai.

"Kita cuba kupas, yakinkan yang tujuan kita untuk penambahbaikan ekonomi dan pendapatan mereka (B40). Kita cuba cari jalan tambah baik kualili hidup mereka," katanya.

Kata ibu tunggal kepada empat orang anak itu, beliau tidak meletakkan sasaran jumlah undi yang bakal diperoleh namun berharap tidak hilang wang deposit.

PRK Parlimen Tanjung Piai ditetapkan 16 Nov ini, susulan kematian penyandang kerusi Parlimen itu Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, dari Pakatan Harapan (PH) pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Faridah akan berdepan saingan enam penjuru membabitkan calon PH yang mempertaruhkan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai Karmaine Sardini untuk mempertahankan kerusi Parlimen tersebut selain Barisan Nasional, Gerakan, Berjasa dan seorang lagi calon Bebas.

-- BERNAMA



       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu