RENCANA

TUKANG EMAS TRADISIONAL PERTAHAN WARISAN

19/02/2019 07:08 PM

Oleh Zalina Maizan Ngah & Noor Aznida Alias

 

KUALA TERENGGANU (Bernama) -- Tanggapan sesetengah orang bahawa tukang emas adalah golongan ‘kaya raya’ sebenarnya tidak tepat.

Tukang emas tradisional Tuan Azmi Tuan Moning, 55, yang mewarisi perniagaan emas bapanya berkata hakikatnya, upah yang diterima hanya cukup untuk menyara keluarga apatah lagi jika masih mengekalkan cara pembuatan tradisional.

Tambah beliau, itu adalah antara faktor generasi muda kini tidak berminat meneruskan perniagaan emas milik keluarga, lebih-lebih lagi kerja pertukangan emas memerlukan kesabaran tinggi sedangkan upah yang diterima tidak seberapa.

Keadaan itu menyumbang kepada berkurangnya bilangan kedai emas di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus. Sekiranya sekitar tahun 80-an terdapat lebih 50 orang tukang emas tradisional tetapi kini hanya ada kira-kira 15 orang yang masih bertahan dan kebanyakannya terdiri daripada kalangan orang lama.

“Saya juga agak terkilan kerana satu-satunya anak lelaki tidak berminat meneruskan perniagaan ini dan memilih kerja ‘makan gaji’. Sekarang ini saya hanya mempertahankan perniagaan ini selagi mampu.

“Perniagaan kami berbeza berbanding tauke kedai emas yang mampu menikmati hidup mewah kerana meraih margin keuntungan tinggi daripada jualan barang kemas serta kos upah yang dinaikkan melebihi 200 peratus,” kata beliau dalam satu wawancara baru-baru ini.  

Tuan Azmi menjalankan perniagaannya di Bukit Tunggal, Kuala Nerus kira-kira tujuh kilometer dari bandar Kuala Terengganu.

 

KAEDAH TRADISIONAL TERHAD

Nekad meneruskan warisan keluarga, Tuan Azmi yakin pertukangan emas cara tradisional adalah yang terbaik kerana kualiti barang kemas yang dihasilkan lebih halus, kemas dan tahan lama berbanding kaedah moden yang menggunakan mesin khas.

Cara pembuatan yang teliti dan rumit dengan hasil bermutu tinggi itu memikat hati pelanggan untuk setia menggunakan khidmat beliau walaupun corak serta reka bentuk barang kemas yang mampu dihasilkan melalui kaedah tradisional itu agak terhad.

Tuan Azmi menerima lebih 20 pelanggan setiap bulan - termasuk yang membuat tempahan baharu serta membaiki barang kemas rosak. Jumlah itu lazimnya meningkat menjelang Aidilfitri.

“Kaedah tradisional menggunakan tangan dan peralatan manual menghasilkan barang kemas yang lebih tinggi kualitinya dan tidak mudah rosak berbanding yang menggunakan mesin, ada yang tidak sampai setahun sudah patah penyangkuk dan masalah lain,” katanya yang dibantu seorang pekerja, Ungku Hassanuddin Ungku Ismail, 44.

Kepakaran Tuan Azmi bukanlah hasil menghadiri kursus khas sebaliknya bermula dengan minat serta kecintaan terhadap seni pertukangan emas dan atas dorongan arwah bapanya, Tuan Moning Tuan Endut.

 

SAINGAN TUKANG EMAS MODEN

Berbekalkan semangat tinggi untuk meneruskan legasi keluarga, khidmat beliau sebagai tukang emas masih mendapat sambutan dan mempunyai pelanggan tersendiri sehingga kini walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan saingan tukang emas moden.

Beliau berkecimpung secara serius dalam bidang itu ketika berusia 20an berikutan kecewa tidak dapat berkhidmat dalam sektor awam. Sejak itu beliau nekad mempelajari seni pertukangan emas walaupun hanya beroperasi di rumah.

Pada peringkat awal Tuan Azmi hanya menerima tempahan dari sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu. Nama beliau kemudiannya menjadi sebutan hingga terdapat pelanggan dari negeri-negeri lain. Malah, ada juga pelanggan ketika zaman bapanya sejak 1960an yang setia hingga ke hari ini, malah generasi seterusnya seperti anak cucu mereka.

Bukan sahaja ketelitian dan kehalusan perhiasan emas buatan beliau yang menjadi buah mulut khalayak, malah kejujurannya. Seperti juga bapanya, Tuan Azmi memulangkan semula semua baki emas yang tidak digunakan termasuk dalam bentuk habuk.

“Kami tidak pernah ambil baki emas pelanggan. Sejak arwah bapa lagi, itulah yang diamalkan,” katanya.

Bercerita lanjut, Tuan Azmi memperoleh kemahiran bertukang emas melalui pemerhatian dan pengalaman. Pelajaran pertama beliau sebagai tukang emas tradisional adalah membuat gelang tangan perak dan kemudian beralih kepada emas selepas agak mahir.

“Mula-mula dulu, saya ambil masa antara tiga hingga empat hari untuk siapkan satu gelang atau rantai leher tetapi selepas agak mahir, hanya perlukan sehari untuk siapkannya. Kadang-kadang ada juga kesilapan sehingga terpaksa melebur kembali emas untuk dibentuk semula,” katanya yang mementingkan kepuasan pelanggan.

 

TIGA ELEMEN PENTING  

Tuan Azmi berkata, ketelitian, fokus dan kemahiran merupakan tiga elemen penting yang perlu ada pada setiap tukang emas.

Pelanggan boleh memilih sama ada menggunakan emas dari kedainya atau membawa barang kemas lama untuk dilebur dan dibentuk semula menjadi perhiasan baharu.

Menjelaskan proses pembuatan, pertamanya adalah melebur barang kemas sebelum dimasukkan ke dalam acuan kecil berbentuk segi empat yang kemudiannya ditarik secara berperingkat-peringkat sehingga berupa seperti dawai yang panjang.

“Selepas dikeluarkan dari acuan segi empat, emas itu ditekan menggunakan mesin ‘tarik’ tradisional yang dilengkapi plat besi berlubang-lubang dengan saiz diameter tertentu bertujuan menghasilkan dawai mengikut ukuran yang dikehendaki.

“Sebelum adanya mesin tarik, tukang emas era 60-an akan meletakkan plat besi di atas lantai rumah dan emas ditarik dari bawah rumah melalui celah-celah lubang lantai dan ia memerlukan tenaga yang sangat kuat,” katanya yang sempat merasai momen itu ketika membantu bapanya.

Selepas mendapatkan ukuran dawai yang sesuai, tukang emas memotong kecil-kecil dawai itu sebelum dibentuk seperti yang diingini sebelum akhirnya dicantum menggunakan alat patri emas.

 

Disunting oleh Sarimah Othman

BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan