RENCANA

MENYEMAI SEMANGAT KEBAJIKAN DI KALANGAN ANGGOTA DIPLOMAT

21/02/2019 01:09 PM

Oleh Shakir Husain

Pewarta Bernama di New Delhi Shakir Husain berkongsi perkembangan di ibu negara India ini.

 

NEW DELHI (Bernama) -- Memang sedih melihat anak-anak kecil yang comot dan berkaki ayam menghulurkan tangan untuk mendapatkan bungkusan biskut sementara kaum wanita berkumpul untuk menerima sumbangan makanan.

Di sebalik keadaan kehidupan yang serba daif, anak-anak itu masih mampu tersenyum sambil berlari-lari mendapatkan sekumpulan ahli diplomat Malaysia yang melawat khemah pelarian Rohingya di New Delhi.

Kunjungan ahli Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) Malaysia ini dibuat menerusi Suruhanjaya Tinggi Malaysia.

Kira-kira 60 keluarga Rohingya menerima sumbangan makanan daripada Presiden PPTD, Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus, yang diiringi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Datuk Hidayat Abdul Hamid and diplomat lain pada 15 Feb lepas.

"Usaha ini dibuat menerusi sumbangan secara sukarela. Kami sentiasa menggalakkan semangat dermawan serta tanggungjawab sosial korporat di kalangan ahli-ahli kami, “ Ahmad Jailani memberitahu Bernama.

 

Ahmad Jailani berharap lawatan beliau ke khemah pelarian berkenaan akan dapat meningkatkan kesedaran di kalangan pegawai PTD tentang nasib malang pelarian Rohingya.

"Misi kemanusian amat penting untuk kita menyantuni orang-orang yang dilanda nasib malang tetapi dalam masa yang sama kita perlu berusaha untuk menamatkan konflik serta keganasan yang menyebabkan penderitaan manusia, " katanya.

Memandangkan Malaysia aktif membantu orang Rohingya yang melarikan diri daripada keganasan dan penganiayaan di Myanmar, PPTD mahu membantu kumpulan pelarian yang tinggal di dalam khemah pelarian yang serba daif di kawasan Kalindi Kunj, Delhi.

 

Ahmad Jailani, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar berkunjung ke Delhi minggu lalu untuk mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa eksekutif ke-71 Pertubuhan Pembangunan Desa Adrika-Asia.

Presiden PPTD itu yang sebelum ini melawat khemah-khemah pelarian Rohingya di Bangladesh berkata beliau berbuat demikian kerana mahu melihat sendiri bagaimana keadaan pelarian itu tinggal di khemah pelarian di Delhi.

Kira-kira 250 orang pelarian Rohingya tinggal di khemah berkenaan dengan bantuan Zakat Foundation of India.

Khemah mereka yang sebelum ini terletak di kawasan berhampiran musnah dalam kebakaran pada April 2018.

“Semuanya musnah dalam kebakaran itu, barangan persendirian dan dokumen. Syukur tidak ada yang terkorban, “ kata Abdur Rahman, pegawai pentadbir Zakat Foundation.

Ramai pelarian kehilangan dokumen peribadi untuk membuktikan pemilikan tanah mereka di rantau Rakhine, Myanmar.

"Yayasan kami mahu membina tempat perlindungan yang lebih baik untuk mereka tetapi kerja-kerja pembinaan dihentikan kerana beberapa isu perundangan, " tambah beliau.

 

Projek untuk membina semula khemah Darul Hijrat yang musnah terbakar dianggarkan menelankan kos enam juta rupee (RM343,355). Ia melibatkan pembinaan rumah kediaman yang kalis api dan air serta bekalan elektrik dan air.

Abdur Rahman turut memberi taklimat mengenai bagaimana Zakat Foundation itu menguruskan khemah pelarian Rohingya itu.

Yayasan tersebut setakat ini membantu 64 orang kanak-kanak untuk mendapatkan pendidikan.

“Kami juga mendapat sokongan daripada kumpulan serta individu yang bermurah hati menghulurkan sumbangan. Penghuni khemah berasa gembira menerima bantuan daripada Suruhanjaya Tinggi Malaysia. Kami berharap usaha ini akan menggalakkan lebih ramai orang tampil untuk membantu memberi kehidupan yang lebih baik kepada pelarian Rohingya, “ kata Abdur Rahman.

 

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan