EcoWorld shares up on new JV with PowerChina [ 24m ago ]

Berita RENCANA


Kisah Dua Tukang Songkok

Tarikh kemaskini: 07/06/2019
Pengusaha songkok Bachtiar Mustafa, 82, menunjukkan hasil songkok buatan tangannya. Beliau mempunyai lebih 40 tahun pengalaman membuat songkok. -- fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
Oleh Muhammad Izzuddin Abd Radzak

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Setibanya di muka pintu lot kedai yang berpapan tanda “Kedai Songkok” kelihatan seorang warga emas sedang tekun bekerja di mesin jahitnya.

Bachtiar Mustafa, 82, menjemput penulis masuk dan mula bercerita sebaik mengetahui tujuan kunjungan ke kedainya itu.

Sambil menjahit, beliau bercerita mengimbau masa lampau akan kesungguhannya berulang-alik ke kedai songkok di Kampung Baru di sini, kerana mahu melihat teknik pembuatan songkok.

“Saya belajar membuat songkok melalui pemerhatian. Masa tu sekitar 1980an, saya mula tertarik dan berminat untuk belajar membuat songkok selepas melihat ketelitian serta kemahiran seorang tukang songkok di situ, selain hasrat menjadikan pembuatan songkok sebagai sember rezeki,” katanya kepada Bernama.

Songkok pertama yang berjaya dihasilkan mengambil masa kira-kira tiga hari, iaitu ketika belajar dengan tukang songkok. Setelah yakin akan kemampuannya, beliau memulakan perniagaan sebagai tukang songkok di Pasar Datuk Keramat, kira-kira 12 kilometer dari sini, sebelum berpindah ke Pusat Transformasi Bandar (UTC) Keramat yang tidak jauh dari situ.



FAKTOR USIA
Pengusaha songkok Mustafa Maarof, 50, mewarisi bakat dan perniagaan pembuatan songkok dari bapanya Maarof Mohd Syarif. -- fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Lama-kelamaan, saya semakin mahir dan mampu menghasilkan antara 15 ke 20 buah songkok dalam sehari,” katanya.

Bagaimanapun atas faktor usia, beliau kini hanya mampu menyiapkan lima buah songkok sehari kerana menghadapi kesukaran mencantumkan jahitan bahagian tepi dan atas songkok.

Beliau juga tidak lagi meluangkan banyak masa di kedai itu seperti waktu dahulunya. Kini Bachhtiar hanya bekerja dari kira-kira 9 pagi hingga 3 petang.

Kelihatan sesekali beliau mengecilkan matanya sambil melihat bahan yang dijahitnya dengan lebih dekat, manakala ada ketikanya beliau mengenakan kaca mata pula.

Songkoknya dijual dengan harga antara RM20 dan RM50 sebuah berdasarkan saiznya dan kualiti kain.

Bachtiar yang berpengalaman kira-kira 40 tahun menjadi tukang songkok itu berkata, kini permintaan songkok semakin berkurangan.

“Anak muda sekarang tidak berminat pakai songkok, apatahlagi seni pembuatannya, peredaran masa banyak mempengaruhi cara mereka berpakaian,” katanya sambil memberitahu bahawa anak-anaknya sudah dewasa dan masing-masing telah bekerja.



KERJA SEORANG DIRI

Lain pula kisahnya bagi seorang lagi tukang songkok Mustafa Maarof, 50, yang mewarisi bakat dan perniagaan pembuatan songkok daripada bapanya Maarof Mohd Syarif sejak berusia 12 tahun, di mana beliau bermula dengan membantu bapanya membuat songkok.

Selepas bapanya meninggal dunia, beliau terus mengambil alih perniagaan itu dan sehingga kini masih berniaga di tapak asal kedai bapanya yang terletak berhampiran tapak lama Pasar Datuk Keramat.

Menyiapkan 20 buah songkok dalam masa sehari, adalah perkara biasa terutamanya ketika menjelang musim raya.

Selain menjual, Mustafa juga menerima tempahan membuat songkok. Malah, pada musim menjelang hari raya, Mustafa turut menjadi pembekal kepada beberapa pasar raya dan bazar Ramadan.

Sebuah songkok tinggi dijual pada harga RM75, manakala jika ditempah harganya adalah RM120. Songkok biasa dijual pada harga RM35 sebuah.



TELITI BUAT SONGKOK

Namun sewaktu tinjauan, didapati di kedua-dua tukang songkok hanya bekerja seorang diri, tanpa pembantu.

Apabila ditanya sama ada mereka mempunyai pelapis untuk memastikan kelangsungan perniagaan, masing-masing hanya mampu tersenyum, diam dan merenung jauh.

Mustafa berpendapat kemungkinan kerja-kerja membuat songkok yang agak rumit menjadi faktor generasi muda tidak berminat dalam pembuatannya.

“Membuat songkok ini memerlukan ketelitian dan tidak boleh bawa sikap ‘asal siap’ sewaktu menjahitnya kerana ia akan mempengaruhi penampilan si pemakai.

“Antara bahagian yang susah dijahit adalah apabila hendak mencantumkan bahagian bumbung dan dinding dalam songkok itu, kerana jika tersilap, songkok akan jadi senget dan menimbulkan rasa kurang selesa kepada pemakai,” kata Mustafa.

Biarpun pekerjaan itu tidak mendatangkan pendapatan lumayan, kedua-dua tukang songkok itu masih meneruskan usaha mereka untuk mempertahankan kewujudan songkok tradisional itu.

Bachtiar berharap akan ada generasi muda yang berani meneruskan usaha menjaga warisan seni pembuatan songkok itu kelak terutamanya meraka yang tinggal di ibu kota ini.

Mustafa pula berkata, “Songkok bukan sekadar sesuatu yang dicari menjelang musim raya dan kemudian dibiarkan hilang begitu sahaja. Ia harus disimpan dan kerap digunakan agar nilai seni warisan ini dihargai dan diterapkan di dalam diri pemakai.”



Disunting oleh Sarimah Othman

BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu