Piala Dunia bawah 20 tahun: pemain Korea Selatan terima sambutan wira [ 10m ago ]

Berita RENCANA


'Gelora' Perahu Kolek Pantai Sabak

Tarikh kemaskini: 10/06/2019
Deretan perahu kolek yang sarat dengan ukiran serta lukisan berwarna-warni bermotifkan bunga-bungaan dan haiwan adalah pengangkutan harian nelayan untuk turun ke laut di Kampung Pulau Gajah, Pantai Sabak ( Pengkalan Chepa, Kelantan). --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
Oleh Adnan Mohamad

KOTA BHARU (Bernama) -- Melihatkan badan perahu yang sarat dengan ukiran serta lukisan berwarna-warni bermotifkan bunga-bungaan dan haiwan, sesiapa saja pasti akan menyangka bahawa perahu kolek itu digunakan untuk acara tertentu.

Hakikatnya, perahu kolek yang cantik itu adalah pengangkutan harian nelayan untuk turun ke laut.

Perahu seumpama itu boleh dilihat di perkampungan nelayan Kampung Pulau Gajah, di Pantai Sabak, Pengkalan Chepa, kira-kira 15 kilometer dari sini.

Pantai Sabak memang menjadi tumpuan orang ramai kerana hasil lautnya yang segar dan harga berpatutan, namun tidak ramai yang tahu bahawa hanya nelayan di situ yang masih menggunakan perahu kolek.

Nelayan perahu kolek, juga dikenali sebagai nelayan 'balik hari' biasanya keluar ke laut seawal 3 pagi dan pulang ke jeti antara 2.30 petang dan 3 petang.

Saban hari, kepulangan mereka ditunggu anggota keluarga serta kalangan pembeli yang mahu mendapatkan pelbagai jenis ikan segar dengan harga yang lebih murah berbanding di pasar.


Tukang cat perahu kolek Yunus Sulaiman, 63, yang berasal dari Pattani, Thailand tekun mengecat bahagian perahu dengan corak bunga jawa yang ditempah pelanggan di Kampung Pulau Gajah, di Pantai Sabak (Pengkalan Chepa, Kelantan). --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

TIADA PAKAR PERAHU KOLEK

Meluangkan masa berbual dengan nelayan di situ, penulis diberitahu bahawa perahu kolek yang digunakan itu ditempah dari Wilayah Narathiwat dan Pattani, di Selatan Thailand kerana kini tiada lagi orang yang pakar membina perahu kolek - yang boleh membina dari mula hingga perahu siap sepenuhnya - di Kelantan.

Difahamkan pembinaan sesebuah perahu kolek boleh memakan masa sehingga berbulan-bulan.

Selain itu, jika ada orang tempatan yang boleh mengecat perahu tradisional itu sekalipun, kepakarannya tidak dapat menandingi hasil mutu kerja tukang cat di negara jiran itu, yang kebanyakannya terdiri daripada Melayu Thailand. Malah harga yang dikenakan di sana lebih murah.

Memang sangat mengagumkan, apabila melihat perahu kolek di Pantai Sabak, masing-masing sarat dengan pelbagai lukisan dan ukiran berwarna-warni.

Perahu kolek disebut sebagai ‘Kolea’ di Pattani. Perahu jenis ini dikatakan mampu bertahan sehingga puluhan tahun kerana diperbuat 100 peratus daripada kayu cengal yang terkenal dengan ciri-ciri keras, padat, berkualiti tinggi dan tahan daripada perubahan suhu dan cuaca.

Jadi tidak hairanlah jika ada di antara perahu kolek yang sudah berusia lebih 60 tahun tetapi masa boleh digunakan oleh nelayan berkenaan.



WARISAN LEBIH 50 TAHUN

Salah seorang nelayan perahu kolek, Mohd Ridzwan Ramli, 38, memberitahu Bernama bahawa perahunya diwarisi daripada arwah ayahnya dan sudah digunakan selama lebih 50 tahun.

Beliau mengakui tidak tahu usia sebenar perahu itu yang dibeli oleh arwah ayahnya daripada pemilik asal dari Narathiwat.

“Walaupun sudah berusia lebih 50 tahun, perahu ini masih elok dan kukuh kerana diperbuat daripada kayu cengal. Tidak banyak yang perlu dibaiki. Setiap dua tahun saya ‘menukar’ cat dan lukisan pada perahu supaya kelihatan lebih menarik terutamanya ketika meluncur di air.

“Biasanya kepandaian melukis perahu kolek hanya ada pada pelukis di perkampungan nelayan Melayu di negara jiran seperti di Narathiwat dan Pattani. Saya pernah menghantar perahu ke sana untuk ‘disolek’ walaupun terpaksa menempuh perjalanan yang agak jauh melalui laut selama kira-kira lima jam,” katanya ketika ditemui di jeti nelayan Kampung Pulau Gajah.

Menurut beliau, ada pihak yang pernah menawarkan untuk membeli perahunya dengan harga mencecah RM30,000 namun ditolak kerana baginya perahu itu adalah harta yang tidak ternilai.



SPONTAN MENYOLEK PERAHU

Sementara itu seorang pelukis dari Pattani, Mat Junuh Sulaiman, 63, yang kebetulan berada di kampung itu untuk tugas-tugas ‘menyolek’ perahu, berkata bahawa setiap lukisan adalah berbeza mengikut saiz perahu dan jenis corak yang dikehendaki pemilik.

Sekiranya perahu itu sepanjang kira-kira 9.1 meter dan pemilik mahukan lukisan sederhana, harganya adalah antara RM500 hingga RM1,500.

“Tetapi jika perahu itu sehingga kira-kira 12.1 meter panjang, dan pemiliknya mahukan corak lukisan yang lebih halus, harganya boleh mencecah RM3,000 atau lebih.

“Setahu saya, di sini (Kelantan) tidak ramai yang mahir dalam menghasilkan lukisan di perahu tetapi masyarakat Melayu di Narathiwat atau Pattani masih mengekalkan tradisi ini. Corak dapat membezakan asal usul perahu yang dihasilkan,” katanya yang sudah lebih 30 tahun mengambil upah ‘menyolek’ perahu.

Mat Junuh memberitahu bahawa setiap lukisan dan ukiran yang dihasilkannya mengandungi elemen bunga-bungaan atau haiwan seperti naga, ikan dan burung helang. Urusan mengecat dan ‘menyolek’ lazimnya memakan masa kira-kira seminggu.

“Saya tidak pernah membuat lakaran terlebih dahulu, malah selalunya idea datang spontan dan saya akan terus melukis pada perahu yang berada di hadapan.

“Semasa melukis, saya seolah-olah tukang karut dalam wayang kulit yang mendapat idea secara spontan. Atas sebab itu, kesemua lukisan saya tidak sama dan itulah yang membuatkan lukisan saya digemari pemilik perahu di sini,” tambah beliau.



HANYA DI PANTAI SABAK

Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kota Bharu, Rosdi Md Ali, berkata sebelum ini terdapat lebih 80 buah perahu kolek di kampung nelayan itu namun jumlahnya kini semakin berkurangan, tinggal kira-kira 40 buah sahaja ekoran peredaran zaman.

Menurutnya, dahulu ada berpuluh perahu tradisional ditambat di sekitar jeti selepas nelayan pulang daripada menangkap ikan dan pada ketika itulah pemandangan amat cantik di mana bukan sahaja kelihatan badan perahu yang berwarna-warni malah pantulan bayangannya di permukaan air.

Malangnya, kini ramai nelayan sudah menggantikan perahu kolek masing-masing dengan perahu gentian kaca (fiber) yang dikatakan lebih mudah diuruskan.

“Biasanya perahu kolek, yang sepanjang kira-kira 9.1 meter agak sukar dikendalikan dan memerlukan kemahiran, berbanding perahu fiber yang lebih kecil.

“Namun begitu, kita berharap golongan nelayan di sini kekal menggunakan perahu tradisional untuk keluar menangkap ikan di pesisiran pantai,” katanya.

Wujudnya perahu kolek itu, tambah beliau, juga sebenarnya menarik kedatangan pelancong kerana di situ sahajalah orang ramai dapat menikmati keindahan pemandangan sedemikian.



Disunting oleh Sarimah Othman

BERNAMA








       Berita Utama Terdahulu