RENCANA

FATIHA MELAWAN PENYAKIT MENTAL DENGAN MENJADI SUKARELAWAN

11/06/2019 12:00 PM

Oleh Ainul Huda Mohamed Saaid

KUALA LUMPUR (Bernama) --  Wanita yang berkaca mata, bertubuh badan kecil tampak begitu yakin ketika berkongsi pengalamannya di hadapan hampir 200 orang yang memenuhi ruang dewan Perpustakaan Raja Tun Uda di sini baru-baru ini.

Melihat gaya beliau bercakap penuh berkeyakinan, sukar untuk percaya wanita itu sebenarnya menderita gangguan mental, apatah lagi keberaniannya mendedahkan penyakit yang dihadapinya itu di khalayak ramai.

Itulah Fatiha Shuib, berusia 28 tahun, usahawan sosial dan pengasas 1moment4them, pertubuhan bukan kerajaan yang membantu menyediakan khidmat kepada mereka yang menghidap penyakit mental serta menjalankan kegiatan kemanusiaan untuk masyarakat pelarian yang memerlukan.

Bersungguh-sungguh sekali Fatiha bercakap mengenai susah-payah beliau bergelut dengan penyakitnya, kecelaruan bipolar (bipolar disorder) sewaktu Konvensyen Psikologi Keluarga yang dianjurkan oleh Pusat Pakar Psikologi Jiwa Damai.

Mereka yang menderita kecelaruan bipolar mengalami perubahan mood yang melampau dari emosi tinggi kepada emosi rendah atau kemurungan.

Menurut Fatiha sebelum ini, begitu sukar untuk beliau menghadapi penyakitnya itu. Betapa kuat pun beliau cuba menangani keadaannya itu, beliau akan kembali murung atau menderita serangan keresahan.

 

PRA-RAWATAN

Salah satu episod teruk dalam hidupnya akibat penyakit itu berlaku pada 2016 yang menyebabkan beliau memencilkan diri selama tujuh bulan akibat kemurungan melampau. “Seakan hilang kawalan diri, tidak dapat berfungsi, tidak mampu berkomunikasi, mengasingkan diri, sering berasa mengantuk dan lemah. Beliau berasa berat untuk keluar dari rumah, apatah lagi pergi kerja atau pun mandi.

Akibat serangan kegelisahan, sekiranya beliau perlu pergi ke mana-mana beliau akan menggunakan pengangkutan awam. Begitulah keadaannya sebelum mendapat bantuan profesional.

“Sewaktu saya didiagnos dengan kecelaruan bipolar jenis dua dan keresahan pada 2017, perkara pertama yang saya lakukan ialah menerima dengan hati terbuka akan penyakit saya itu.

“Saya tahu sekiranya saya cuba menafikan saya menghidap penyakit itu walaupun sudah didiagnos, saya tak akan dapat meneruskan kehidupan saya dengan menanggung penyakit ini, “ kata Fatiha, sambil menambah beliau mendapatkan rawatan di sebuah hospital kerajaan.

 

CUBA KEKANG PENYAKIT 

Fatiha mendapat cara terbaik untuk menangani penyakitnya itu iaitu dengan melibatkan diri dalam kerja-kerja kesukarelawanan. Kesibukannya mengekang beliau daripada tenggelam dalam belenggu kecelaruan atau keresahan yang boleh mengheretnya mencederakan diri atau menjadi berang dan ganas.

“Perkara paling besar kerja sebagai sukarelawan membantu saya, saya tak kelar-kelar tangan atau mengamuk atau berlaku ganas.

“Buat baik ini sebenarnya manfaat untuk diri sendiri. Membantu orang lain amat besar maknanya, “ kata Fatiha yang mula berjinak-jinak dengan kerja kesukarelawan sewaktu belajar di Jordan. Beliau mengambil pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang syariah.

Sewaktu bulan Ramadan dan cuti Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, beliau berada di Semporna, Sabah, dengan pasukan 1moment4them untuk misi kemanusiaan bagi membantu masyarakat Bajau Laut yang tinggal di kawasan berkenaan.

Pasukan ini membantu mengajar mereka kemahiran keusahawanan untuk membolehkan mereka menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan di kampung mereka bagi meningkatkan tahap kehidupan mereka.

 

MEMBANTU ORANG LAIN 

Seorang lagi peserta pada Konvensyen Psikologi Keluarga itu ialah Dr Ahmad Rostam Md Zin, pakar sakit jiwa di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah. Beliau menggambarkan melakukan amalan baik sebagai salah satu mekanisme perlindungan diri atau menangani strategi bagi mereka yang berdepan dengan kecelaruan psikiatrik atau mental.

Perlakuan yang sedemikian boleh diklasifikasikan sebagai tingkah laku altruistik, mengutamakan kebahagian orang lain meskipun yang melakukannya mungkin tidak mendapat apa-apa keuntungan.

Jelas Dr Ahmad Rostam: "Ianya satu cara menukar perasaan atau pemikiran yang tidak menyenangkan dengan membantu orang lain yang mungkin menderita keadaan yang sama.

“Maksudnya apabila seseorang itu mempunyai mekanisme perlindungan diri yang matang seperti buat benda baik atau buat amal kebajikan, dia sebenarnya mampu untuk memelihara kesihatan psikologi dirinya.

“Kepuasan dari berbuat baik itu bukan untuk orang lain tapi untuk diri sendiri, kita tolong orang lain kita akan rasa lega,” jelas Dr Ahmad Rostam.

Beliau menambah perasaan terbaik membantu orang lain ialah melakukannya tanpa diminta berbuat demikian, sebagai contoh menzipkan beg seseorang yang tidak sedar zip begnya terbuka.

Melakukan perbuatan baik juga membantu membebaskan ‘dopamine’ iaitu ‘the feel-good neurotransmitter’ di dalam otak juga dikenali sebagai “helper's high.”

 

ISU KESIHATAN MENTAL  

Di samping melakukan kerja-kerja kebajikan, Fatiha juga secara aktif berkempen dalam media sosial untuk memperkasakan kesihatan mental dan berkongsi pandangannya di forum berkaitan.

Ramai golongan belia terutamanya pelajar universiti berkongsi masalah mereka yang ingin mencederakan diri sendiri malah ada yang cuba membunuh diri kerana kemurungan atau isu kesihatan mental yang lain.

“Ada yang tidak mahu mengakui menghadapi penyakit itu meskipun gejalanya begitu jelas sekali jadi saya nasihatkan mereka melibatkan diri dalam kerja kesukarelawanan.

“Ada yang ikut saya ke Semporna. Buat kerja sebagai sukarela ini menjadikan mereka lebih tenang. Bila balik ke Kuala Lumpur, mereka berasa relaks (emosi lebih stabil) dan mereka mula mencari rawatan, “ kata Fatiha.

Pertubuhan yang diasaskannya, 1moment4them setakat ini berjaya mengadakan konsert kebajikan di Jordan, Mesir dan pelbagai tempat di Malaysia.

Projek untuk mendapatkan dana bagi pelarian Syria mendapat sokongan penyertaan artis tempatan popular seperti Mizz Nina, Noh Salleh, Aizat Amdan, Faizal Tahir dan Muadz Dzulkefly.

“Kita perlu menukar stigma orang yang mempunyai masalah kesihatan mental tidak dapat menyumbang kepada masyarakat, “ kata Fatiha.

 

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan