MTW2019 Kick off today [ 4h ago ]

Berita RENCANA


Remaja Belajar Bertukang Kayu Daripada YouTube

Tarikh kemaskini: 13/06/2019
Mohamad Afiif Zhoriff Aminuddin sedang menyiapkan siling kayu sebuah rumah. Berbekalkan minat yang mendalam terhadap seni pertukangan kayu, remaja ini dapat menghasilkan pelbagai barangan daripada kayu tanpa mengambil kelas kemahiran. --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
Oleh Nur Adila Abdul Wahab

KEPALA BATAS (Bernama) -- Alang-alang menghabiskan masa menghadap media sosial, teladanilah Mohamad Afiif Zhoriff Aminuddin yang memanfaatkan platform YouTube untuk mempelajari selok-belok seni pertukangan kayu.

Hanya berbekalkan minat mendalam terhadap seni pertukangan, remaja berusia 18 tahun ini mampu menghasilkan pelbagai barangan daripada kayu tanpa mengikuti sebarang kelas kemahiran dari mana-mana institusi.

Mohamad Afiif Zhoriff berkata selain menonton Youtube, beliau banyak belajar melalui dengan memerhati bapanya Aminuddin Abu Bakar, 50, seorang tukang kayu bekerja di bengkelnya.

“Lepas sekolah, saya banyak meluangkan masa melihat ayah bekerja di bengkel itu yang dibina di sebelah rumah nenek, tak jauh dari rumah kami,” katanya. Bengkel ayahnya terletak kira-kira 200 meter dari rumah mereka di Rantau Panjang, 14 kilometer dari sini.

Kini beliau dan abangnya, Mohamad Amirul Ifrhan, 20, membantu bapa mereka menghasilkan pelbagai jenis perabut serta barangan daripada kayu padu (solid wood) - iaitu kayu asli yang tidak dicampur dengan bahan-bahan lain.



PEDANG KARTUN JADI INSPIRASI
Mohamad Afiif Zhoriff Aminuddin, (kanan), ayahnya Aminuddin Abu Bakar dan abang Mohamad Amirul Ifrhan membuat kerja-kerja pertukangan kayu di bengkel mereka. --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Bercerita mengenai minatnya, Mohamad Afiif Zhoriff memberitahu bahawa seawal usia 10 tahun, beliau sudah menghasilkan sebilah pedang seperti yang dilihat dalam siri kartun kegemarannya, Power Rangers.

“Sejak kecil lagi saya sangat meminati siri kartun yang ada pedang seperti Power Rangers dan Ben 10. Bila tengok watak kartun pegang pedang, saya pun nak pedang. Jadi saya buat pedang sendiri, tapi menggunakan kayu.

“Sebelum itu saya selalu tengok ayah buat macam-macam benda daripada kayu. Saya bagi tau ayah nak cuba bertukang dan dia izinkan. Tapi, masa saya hanya dibenarkan buat kerja-kerja memaku dan memasang kayu saja. Ayah tak izinkan saya guna mesin pemotong kayu,” jelas beliau kepada Bernama.

Mohamad Afiif Zhoriff mula membantu perniagaan bapanya pada usia 13 tahun di mana ketika itu beliau hanya disuruh menggosok kayu menggunakan kertas pasir untuk menghaluskan permukaan perabut, memaku dan memasang pelbagai komponen perabut.

Antaranya adalah kerusi, meja dan almari serta produk lain termasuk tempat letak kunci, tabung, peti surat, peti isi barang (pirate box), gazebo, pelidah kayu untuk siling rumah dan sebagainya.
Antara produk kayu yang dihasilkan Mohamad Afiif Zhoriff Aminuddin. --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA



KONGSI ILMU PERTUKANGAN

Ketika zaman persekolahan, Mohamad Afiif Zhoriff turut mendapat sokongan daripada guru-gurunya. Mereka malah turut menempah tabung dan beberapa barangan kecil lain.

Menyentuh rancangan masa depannya, beliau berhasrat untuk mengambil kursus kemahiran di mana-mana institusi yang menawarkan kursus berkaitan agar dapat menimba ilmu serta meningkatkan kemahiran pertukangannya.

“Selepas mendapat pendidikan formal, saya bercadang untuk berkongsi ilmu dengan mana-mana anak muda yang berminat menceburi bidang pertukangan kayu.

“Sambil meneruskan perniagaan ayah, bengkel kami boleh dijadikan tempat untuk melatih mereka,” katanya yang kini bukan sahaja mahir bertukang malah mampu membuat ukiran pada produk yang dihasilkannya.

Beliau berkata dalam kerja-kerja pertukangan kayu, minat merupakan perkara utama disusuli kemahiran kerana kerja dalam bidang itu bukan sahaja sukar malah renyah.

Tambahnya, tidak hairanlah jika tidak ramai golongan muda yang mahu membuat kerja-kerja pertukangan kayu.

“Selain minat, kemahiran pun kena ada. Kalau kemahiran ada tapi minat tak ada pun tak boleh. Kalau ada minat, susah macam mana pun kita akan buat juga. Masalahnya, orang mudah putus asa,”

"Orang jarang minat bisnes ni sebab selain agak susah, persekitaran tempat kerja pula berhabuk dan boleh menyebabkan gatal-gatal badan,” katanya.



POTENSI PERGI JAUH

Sementara itu, Aminuddin yang menyokong minat anak-anaknya itu menyatakan hasrat mahu melihat mereka meneruskan perniagaannya kerana industri kayu mempunyai masa depan yang cerah.

“Hasil jualan barangan kayu mampu memberi pulangan yang baik bukan sahaja kerana produk kami daripada kayu padu, lebih-lebih lagi ia adalah ‘buatan tangan’.

“Tak ramai tukang yang guna kayu padu, kebanyakannya menggunakan kayu pain (pine). Perniagaan ini mempunyai potensi untuk pergi jauh “ katanya yang turut menerima tempahan menerusi media sosial seperti Facebook dan Instagram.

Berkongsi pengalaman, Aminuddin yang pernah bekerja di tapak pembinaan memberitahu bahawa pada peringkat awal beliau mengambil lebihan kayu dan yang tidak digunakan lagi di tempat kerjanya untuk membuat perabut serta produk lain bagi kegunaan di rumah.

“Lama-kelamaan, mereka yang tahu bahawa saya membuat perabut dan produk kayu mula menempah. Bermula dari situ saya beli kayu-kayu lama (terpakai) yang kering dan cukup padat terutamanya yang digunakan sebagai tiang kerana kualitinya lebih baik untuk kerja-kerja pertukangan.

“Kayu-kayu itu saya beli daripada pemilik rumah-rumah lama. Tapi, pilihan utama adalah kayu daripada bahagian tiang. Selain rumah lama, kayu terpakai boleh dibeli di kawasan yang bakal dibangunkan di mana ada rumah yang nak kena roboh, jadi saya beli dari situ,” jelas beliau.

Kira-kira 20 tahun lalu beliau berhenti kerja apabila menerima lebih banyak permintaan dan tempahan, lalu memulakan perniagaan membuat barangan kayu secara kecil-kecilan dengan dibantu dua orang pekerja.

Bagaimanapun, beliau kini hanya dibantu oleh dua anak lelakinya itu yang sudah tamat persekolahan.

Aminuddin membeli dua buah mesin bagi memudahkan kerja-kerja memotong kayu menggunakan modal sendiri.

Selain pelanggan dari Pulau Pinang, beliau turut menerima tempahan dari Kedah, Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang.



Disunting oleh Sarimah Othman

BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu