25 U-15 players selected for CFA tournament in Haikou City [ 1h ago ]

Berita RENCANA


Fasiliti, Perkhidmatan IJN Diyakini Pesakit Luar Negara

Tarikh kemaskini: 11/07/2019
Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR (Bernama) -- “Sejak dari awal lagi sudah merasa cocok (serasi) kerana layanan dan perkhidmatannya bagus.

“Di sini juga tidak terlalu sesak dan paling penting biayanya (bayarannya) tidak terlalu mahal.

“Saya selesa dan berpuas hati sepanjang hampir 10 tahun menerima rawatan di sini,” kata Ilyas Kaoy Hasan, dari Jakarta, Indonesia,” ketika ditemui Bernama di ruang menunggu Klinik Swasta Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini.

Ahli perniagaan berusia 65 tahun itu mendapatkan rawatan di IJN bagi penyakit jantung yang dihidapinya sejak 2010.

Dalam tempoh itu, beliau telah menjalani tiga rawatan jantung melibatkan pembedahan pintasan jantung, prosedur angioplasti iaitu proses menempatkan gegelung besi atau ‘stent’ dalam saluran arteri koronari dan penempatan belon.

SERASI DAN SELESA

Pada Ramadan lalu, Ilyas Kaoy mengunjungi Malaysia sekali lagi untuk mendapatkan rawatan susulan di IJN.

Seperti biasa, beliau ditemani anak sulungnya Indra Gunawan Ilyas Kaoy, 43, yang juga ahli perniagaan.

“Doktor peribadi yang merawat bapa saya di Jakarta menyarankan kami mendapatkan rawatan jantung di sini. Doktor itu memberitahu perkhidmatan di IJN baik, peralatan dan kemudahannya bagus, biaya belanjanya juga masih terjangkau (munasabah) selain ramai doktor pakar.

“IJN merupakan tempat pertama bapa saya mendapatkan rawatan bagi masalah jantungnya. Alhamdulillah, cocok (serasi) sehingga kini cuma perlu sentiasa menjaga kesihatan agar kekal sihat,” katanya.

Sudah menjadi rutin bagi dua beranak itu untuk berulang alik antara Jakarta dan Malaysia dalam setiap enam bulan untuk rawatan susulan Ilyas Kaoy di IJN.

“Inilah rutin kami sejak 2010 (berulang alik antara Jakarta dan Malaysia). Jika saya tidak dapat menemani bapa, adik saya akan mengambil alih tugas itu,” katanya.
Ahli perniagaan dari Surabaya, Jawa Timur, Indonesia, Paul Wibowo Hartono, 39, yang ditemui di ruang menunggu Klinik Swasta Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini turut memilih IJN bagi menjalani pemeriksaan perubatan termasuk jantung. --fotoBERNAMA(2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Indra Gunawan berkata sejak menjalani pembedahan pintasan jantung pada 2010, kesihatan bapanya semakin baik kerana beliau sentiasa mematuhi nasihat dan saranan doktor.

Cara hidup, bahasa, adat dan budaya serta faktor hubungan bangsa serumpun menjadikan Malaysia begitu dekat di hati Ilyas Kaoy dan Indra Gunawan, sekali gus menjadi faktor yang menarik mereka untuk mendapatkan rawatan perubatan di negara ini.

“Tiada masalah mendapatkan rawatan meski pun kami dari negara luar. Jika ada masalah pun hanya semasa awal dahulu di mana ada sedikit masalah komunikasi kerana bahasa yang sedikit berbeda.

"Tetapi, selepas hampir 10 tahun, kami juga sudah boleh faham dan bisa (boleh) bertutur bahasa Malaysia,” katanya.

Dalam setiap kunjungan ke Malaysia, mereka meluangkan masa empat hari di ibu negara dan memilih menginap di hotel berhampiran Menara Berkembar Petronas (KLCC).

“Tiada masalah tentang soal makan kerana hidangannya hampir sama...secara peribadi, saya suka Malaysia kerana adanya restoran yang buka sepanjang 24 jam,” Indra Gunawan.

Paul Wibowo Hartono, 39, yang juga dari Indonesia, turut memilih IJN bagi menjalani pemeriksaan perubatan termasuk jantung.

“Ini kali pertama saya datang ke sini (IJN) bagi tujuan pemeriksaan jantung… bapa mertua saya yang sarankan. Beliau pernah melakukan pemeriksaan yang sama sebelum ini,” kata ahli perniagaan dari Surabaya, Jawa Timur itu.
Pakar Perunding Kardiologi Institut Jantung Negara (IJN) Datuk Dr Ahmad Khairuddin Mohamed Yusof. --fotoBERNAMA(2019) HAK CIPTA TERPELIHARA


Ditanya pengalaman pertamanya di IJN, beliau berkata secara keseluruhannya, institut jantung itu menawarkan perkhidmatan yang lengkap.

Selain itu, katanya, semua urusan juga mudah dan lancar berikutan kecekapan kakitangan dan pakar yang bertugas.

IJN JADI PILIHAN

Pakar Perunding Kardiologi IJN Datuk Dr Ahmad Khairuddin Mohamed Yusof mengakui ramai pesakit luar negara yang memilih untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan di IJN.

Selain Indonesia, IJN turut merawat pesakit dari Brunei, Laos, Myanmar, Vietnam, Bangladesh, India, Somalia, China, Oman, Korea Selatan, Iran, Australia, Iraq, Sudan, Arab Saudi, Jepun, Hong Kong, Denmark, New Zealand, Itali, Senegal, Maldives dan Perancis.

Pada 2018, pusat perubatan itu menerima seramai 1,564 pesakit luar negara bagi kategori pesakit luar dan bagi 2019, jumlahnya adalah seramai 672 orang sehingga Jun lepas.

Bagi pesakit luar negara yang dimasukkan ke wad pula, jumlahnya adalah seramai 246 orang pada 2018 dan sehingga Jun lepas, IJN sudah merawat 140 orang.

“Mungkin jenama IJN yang membuatkan mereka yakin untuk datang dan mendapatkan rawatan jantung di sini.

“Ada juga pusat perubatan lain yang menawarkan perkhidmatan sama seperti di Singapura, Johor dan Melaka...namun, faktor harga yang lebih berdaya saing, lokasi strategik di tengah ibu kota serta hospitaliti menjadi antara perkara yang dipertimbangkan pesakit untuk mendapatkan rawatan di IJN,” kata Dr Ahmad Khairuddin.

Pesakit luar negara yang mendapat rawatan di Klinik Swasta IJN juga diberi rawatan yang sama dengan pesakit tempatan.

Selain pakar dan kakitangan berpengalaman, Klinik Swasta IJN turut menyediakan perkhidmatan penterjemah kepada pesakit asing yang memerlukan khidmat jurubahasa bagi tujuan memudahkan urusan komunikasi sewaktu pemeriksaan dan rawatan.

Pegawai bertugas juga menawarkan perkhidmatan pengangkutan dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL, Lapangan Terbang Antarabangsa KL2 atau Lapangan Terbang Subang ke IJN selain membantu menguruskan temu janji klinik, kemasukan ke hospital, kewangan, hubungan dengan kedutaan, syarikat insurans antarabangsa termasuk beberapa organisasi lain yang terlibat.

Dr Ahmad Khairuddin berkata IJN kini mempunyai mesin pengimbas PET (Positron Emission Tomography) Tomografi Berkomputer (CT) atau PET-CT untuk membolehkan pesakit mendapatkan resolusi tepat jantung dalam rawatan jantung negara.

“Sebelum ini, pelbagai prosedur rawatan perlu dijalani pesakit jantung atau kardiovascular (CVD) sebagai contoh Pengimejan (x-ray) atau Imbasan Magnetik Resonan (MRI) bagi mendapatkan gambaran struktur dalaman jantung sebelum menjalani rawatan seterusnya.

“Dengan adanya mesin pengimbas PET-CT, ia mampu menjana imej yang lebih tepat ke atas organ yang disasarkan dengan ketepatan pengesanan antara 95 hingga 98 peratus.

“Ia juga berupaya mengesan tumor dan kanser sekali gus menjadikan IJN pusat rujukan untuk penyakit kardiovaskular dan kanser,” katanya.

Pada masa sama, katanya, IJN menawarkan harga berpatutan dengan rawatan berkualiti tinggi yang memberi manfaat besar kepada pesakit tidak kira dari dalam atau luar negara.

Sejak penubuhannya pada 1992, IJN telah melaksanakan sebanyak 150,000 rawatan kardiologi termasuk 37,000 pembedahan jantung dan 20,000 pembedahan kardiotorasik pediatrik.

IJN DIIKTIRAF JCI, MSQH

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Patients Beyond Borders (PBB) Josef Woodman berkata Malaysia adalah antara destinasi utama untuk pelancongan perubatan berdasarkan faktor geografi, kualiti, nilai dan kaum.

"Lokasinya yang mudah bagi lebih tiga bilion pesakit yang hanya memerlukan penerbangan enam jam (ke Malaysia), infrastruktur dan tanda aras klinikal yang cemerlang selain menjadi destinasi pelancongan perubatan yang paling murah adalah antara faktor yang menyebabkan ramai pesakit asing memilih mendapatkan rawatan di Malaysia .

"Di samping itu, sebagai negara pelbagai kaum dan budaya yang telah memberi perkhidmatan perubatan kepada ramai pesakit asing terutamanya dari Indonesia, China, Timur Tengah dan Barat menjadikan Malaysia sebagai satu daripada destinasi pelancongan perubatan terbaik di dunia," katanya.

Setelah melihat pengalaman bapanya yang terpaksa mendapatkan rawatan pergigian lebih murah di Mexico, Woodman berkata beliau mendapati pentingnya menyediakan panduan penjagaan kesihatan yang berkualiti dan berpatutan seperti yang dilakukan PBB untuk berjuta-juta pesakit yang tidak mampu membayar kos rawatan tinggi di negara masing-masing.

PBB, yang berpejabat di Chapel Hill, North Carolina, Amerika Syarikat, ditubuhkan pada 2005.

Woodman, yang sudah dua kali melawat IJN, juga memuji pusat perubatan itu kerana memberikan rawatan klinikal serta perkhidmatan terbaik kepada para pesakit asing.

IJN diiktiraf oleh Suruhanjaya Antarabangsa Bersama (JCI) sejak November 2009 dengan menerima penghargaan 'Gold Seal of Approval' dalam penjagaan kesihatan dan penyediaan proses penilaian paling menyeluruh yang mematuhi piawaian antarabangsa.

Institusi itu juga menerima pengiktirafan Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) sejak November 2005 kerana secara berterusan meningkatkan kualiti keselamatan bagi fasiliti dan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang mematuhi piawaian Malaysia.

PELANCONGAN PERUBATAN

Pelancongan perubatan membuka pintu kepada negara-negara yang mempunyai pakej perubatan menarik untuk menjadi destinasi pesakit, seterusnya membuka pelbagai peluang lain bagi menjana ekonomi.

Malaysia diketahui mempunyai fasiliti perubatan moden dan lengkap serta menawarkan rawatan kesihatan dengan kos yang rendah berbanding negara lain.

Kehadiran warga luar negara bagi tujuan mendapatkan rawatan perubatan di Malaysia merupakan petanda baik sektor Pelancongan Perubatan yang juga dikenali sebagai Pelancongan Penjagaan Kesihatan.

Pada April lepas, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan yang kukuh daripada pelancongan perubatan pada 2019 dengan unjuran pendapatan RM1.8 bilion daripada pelancong penjagaan kesihatan yang menghasilkan impak ekonomi sebanyak RM6 bilion.

Sasaran itu berdasarkan pendapatan RM1.5 bilion pada 2018 daripada lebih 1.2 juta ketibaan pelancong.

Industri pelancongan perubatan tempatan berkembang daripada mencatatkan ketibaan 643,000 pelancong kesihatan pada 2011 kepada lebih 1.2 juta pada 2018. Pertumbuhan ini menyumbang hampir RM3 hingga RM4 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Malaysia turut diiktiraf oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNDP) kerana mempunyai model penjagaan kesihatan yang berjaya untuk negara membangun.

Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC), yang ditubuhkan di bawah Kementerian Kesihatan pada 2005 untuk memantau inovasi perubatan dan hospitaliti di Malaysia, turut memain peranan dalam meningkat promosi hospitaliti dan perkhidmatan penjagaan kesihatan Malaysia di Indonesia.

Rekod MHTC menunjukkan lebih 670,000 warganegara Indonesia mendapatkan rawatan perubatan dan hospitaliti di Malaysia sepanjang 2018.



Disunting oleh Nur-ul Afida Kamaludin

--BERNAMA








       Berita Utama Terdahulu