RENCANA

BOLEHKAH GLC AMALKAN BUDAYA MNC?

12/07/2019 12:46 PM

Oleh Ravindran Raman Kutty

Ravindran Raman Kutty adalah pengamal komunikasi dan felo Institut Perhubungan Awam Malaysia.

KUALA LUMPUR  (Bernama) -- Mengapa Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) tidak boleh berjaya seperti Perbadanan Multinasional (MNC)? Soalan ini berlegar di minda saya ketika saya melayari Internet untuk mencari lebih banyak maklumat mengenai topik ini.

Bermacam-macam soalan muncul dalam minda saya termasuk gaya pengurusan serta budaya kerja MNC di samping gaya kepimpinan yang dinamik.

Saya juga dapati tidak ada seorang pun yang membuat kajian atau menjadikan perkara ini topik untuk program disertasi.

Di satu pihak yang lain, mengapa kebanyakan GLC masih bergantung kepada dana kerajaan? Mengapa sedikit sahaja yang berjaya? Mengapa tidak ada yang menyatakan mereka hebat ? meskipun Malaysia Airlines Berhad (MAS) hampir berjaya mencapai kehebatan itu sebelum mengalami kesulitan. Sime Darby Bhd dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) adalah antara GLC yang menunjukkan prestasi yang menggalakkan.

Baru-baru ini saya menginap di Hotel Thistle Johor Bahru. Sewaktu saya mendaftar masuk, lobi dipenuhi dengan tetamu yang sudah mahu mendaftar keluar. Pengurus besar hotel berada di lobi ketika itu dan memberitahu saya beliau terpaksa meminta kakitangan IT, Kewangan dan Kejuruteraannya untuk membantu bahagian penyelenggaraan kerana sejak seminggu sebelum itu semua bilik hotel habis ditempah.

Beliau sendiri turut membantu pengemas bilik untuk membersih dan menyediakan bilik hotel untuk pelanggan seterusnya. Saya sungguh kagum dengan kesediaan pengurus besar berbangsa Irish itu yang sanggup bersingsing lengan, membantu pekerja bahagian penyelenggaraan bilik.

Hotel ini diuruskan oleh sebuah syarikat MNC. Tahap perkhidmatannya sungguh cemerlang. Hotel itu amat bersih dan kakitangan di bahagian kaunter hadapan begitu menghormati tetamu.

Beberapa orang rakan saya yang pernah berkhidmat dengan GLC dan MNS berkongsi faktor di bawah ini untuk membezakan MNC dari GLC.

 

Pelanggan adalah raja. Mereka menentukan sama ada perniagaan itu gagal atau berjaya. Ambil McDonald's atau Kentucky Fried Chicken sebagai contoh. Macam mana MNC ini boleh faham dengan kehendak pelanggan mereka dari seluruh dunia, sama ada di Asia atau Eropah? Saya tahu ada rangkaian restoran Malaysia yang berjaya mengembangkan operasi ke negara-negara lain. Ada tak mana-mana GLC yang mencatat kejayaan dalam soal ini? Petronas berjaya disenaraikan dalam senarai Fortune 500 tetapi bolehkah ia tergolong dalam kedudukan 100 teratas?

Mendengar suara kakitangan. Hotel Thistle adalah contoh yang hebat. Pengurus Besarnya menggerakkan semua kakitangan daripada pelbagai jabatan untuk membantu melancarkan urusan penyelenggaraan hotel. Bagaimana ini boleh dicapai? Khabarnya kakitangan hotel secara berterusan diberi motivasi, inspirasi dan dilatih untuk memastikan kepuasan pelanggan.

Dalam kebanyakan MNC, seperti Motorola di mana saya pernah berkhidmat, setiap kakitangan diwajibkan membawa buku kecil latihan yang menjelaskan program latihan yang mereka perlu hadiri.

Pengurus Besar Motorola atau ketua Bahagian Sumber Manusia akan memerika buku kecil itu secara rawak dengan merujuk kepada buku latihan itu yang juga buku nota.

Berapa banyak GLC yang memikirkan perkara ini atau pun cuba melaksanakannya?

Kakitangan adalah tulang belakang syarikat. Berapa banyak kakitangan GLC menyertai syarikat sehingga usia persaraan atau dikenang sebagai pekerja yang hebat? Dalam hal ini saya tahu beberapa GLC yang begitu ramai pekerjanya yang berhenti.

Memahami proses. Dengan mengamalkan sikap ingin terus maju, syarikat mesti memastikan setiap proses yang berkaitan dengan pelanggan memenuhi jangkaan pelanggan. Kalaulah francais ‘Satay Malaysia’ dikaji dengan teliti, sudah tentu ia boleh menandingi McDonald's dan KFC. GLC perlu proaktif dan memastikan kehendak pelanggan dikaji dan dilaksanakan.

Kita mungkin hebat dalam merangka dasar atau kempen tetapi lemah dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk mengekalkan atau mengatasi kehendak pelanggan.

Syarikat antarabangsa seperti Walmart, Sinopec, Toyota, Microsoft, Samsung, Volkswagen, Acer, Disney dan Coca Cola membelanjakan hampir satu pertiga daripada pendapatan untuk R&D. Langkah ini membuatkan syarikat-syarikat itu kekal di kedudukan teratas sebagai pengeluar produk atau penyedia perkhidmatan.

Saya difahamkan kos pengeluaran minyak sawit sehektar oleh syarikat perladangan GLC adalah lebih tinggi berbanding syarikat perladangan sektor swasta. Keadaan ini yang menjadi rintangan besar kepada daya keuntungan GLC.

 

Percaya dan memperkasa pekerja. GLC kita hebat dalam menyediakan Penunjuk Prestasi Utama, tetapi ia setakat di situ sahaja. Mereka enggan untuk memperkasa pengurusan dan kakitangan untuk meneroka dan melaksana projek. Jika kita mengambil pekerja yang bagus dan memecat pekerja yang tidak boleh bekerja sudah tentu kita memperkasakan pekerja yang terbaik.

MNC memperkasa kakitangan mereka dan memastikan matlamat syarikat tercapai. Jika sebaliknya berlaku, berakhirlah kerjaya pekerja itu. Mungkin ini terlalu sukar untuk dikendalikan dalam konteks kita tetapi rakyat Malaysia yang bekerja dengan MNC sudah biasa dengan amalan ini.

Pengurusan mikro dalam GLC adalah lumrah. Ada ketua pegawai eksekutif (CEO) GLC yang meluangkan masa memilih gambar untuk brosur atau jalan cerita untuk video korporat dan mereka mengadakan latihan beberapa kali siang dan malam sebelum persembahan atau majlis.

Fokus memperkasa pasukan pengurusan untuk mencapai kecemerlangan di samping melatih barisan pelapis pengurusan.

Beri ganjaran kepada pekerja terbaik dan singkirkan yang sebaliknya. Penting juga untuk merancang program ganjaran serta pelan karier untuk semua pekerja.

Untuk membina negara yang hebat, GLC memikul tanggungjawab untuk menghasilkan tenaga pekerja yang terbaik. Kita perlu berhenti melantik CEO dan ahli lembaga pengarah berdasarkan kaitan politik. GLC perlu mendokong budaya serta amalan MNC dan saya yakin ini boleh dilakukan.

 

Singkirkan birokrasi. MNC adalah anti-birokrasi sementara GLC sebaliknya, pada setiap peringkat. Sekiranya anda perlu mengeluarkan permohonan pembelian atau membaiki kereta syarikat yang ditimpa kemalangan, banyak borang yang perlu diisi untuk mendapatkan kelulusan.

Sistem tender terbuka yang telus. GLC perlu mencontohi kaedah pemerolehan MNC bagi mengelakkan pembaziran dana kerajaan seperti yang berlaku pada masa lalu. Pencapaian GLC juga perlu dilaporkan secara berkala dan telus, sama seperti MNC, yang dibuat setiap tiga bulan kepada ahli lembaga pengarah.

Kurangkan penglibatan kerajaan. Kerajaan perlu mengurangkan penglibatan terus dalam pemilikan ekuiti syarikat bagi membolehkan sektor swasta memainkan peranan yang lebih besar. Amalan 'mencairkan’pemilikan kerajaan akan merangsang pelaburan sektor swasta.

GLC perlu dibentuk agar dapat menangani cabaran baru. Kita tidak perlu kaedah birokratik untuk menyekat institusi kita. Kita mahukan pengurusan inklusif dan moden dengan individu yang benar-benar layak menerajui GLC ini, yang akan meneladan amalan terbaik dalam industri.

Kita juga jangan membiarkan GLC menjadi pusat kos dan bergantung sepenuhnya kepada geran kerajaan dan sistem sokongan.

 

(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis.)

 

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan