Mitra provides IR4.0 training for benefit of Indian community [ 2h ago ]

Berita RENCANA


Khidmat Penjaga Warga Emas Jadi Pilihan

Tarikh kemaskini: 14/08/2019
Penjaga Profesional Homage Chan Kuan Hong (kanan) melakukan aktiviti bersama penghidap Alzheimer, Loh Kum Hing (kiri). -- fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
Oleh Sakini Mohd Said

PETALING JAYA (Bernama) -- Sebaik sahaja jarum jam tepat menunjukkan pukul 4 petang, alunan muzik berinspirasikan bunyi kicauan burung dan deruan air sungai mula memenuhi segenap ruang rumah lama dua tingkat itu.

Keadaan yang sungguh tenang itu menambahkan lagi kekhusyukan seorang warga emas membuat lakaran pemandangan gunung-ganang di atas kertas bersaiz A4 di satu sudut rumah tanpa menghiraukan langsung sesiapa sahaja yang berada berhampiran dengannya.

Malah, kedatangan penulis ke rumah yang terletak di Jalan SS2/55 itu bersama wakil Homage (sebuah platform penyedia perkhidmatan penjagaan warga emas) untuk meninjau keadaannya juga langsung tidak diendahkan.

Selesai sahaja melakar kreativitinya, lelaki tua itu pantas mengambil permainan kad dan bermain penuh gembira sambil bergelak ketawa bersama seorang lelaki muda berusia kira-kira awal 30-an yang sejak dari tadi lagi memantau pergerakan lelaki itu.

“Dia (warga emas) menghidap penyakit Alzheimer (salah satu jenis dementia di mana berlakunya penurunan fungsi saraf otak yang kompleks dan progresif). Jadi, melukis dan bermain kad antara terapi yang kita sediakan bagi merangsang fungsi otak supaya terus cergas selain mengelakkan masalah ingatannya menjadi lebih teruk.

“Muzik bergenre 'soft', 'sentimental’ atau 'nature’ yang boleh menenangkan minda akan dipasang semasa aktiviti tersebut bagi menggalakkan penumpuannya pada sesuatu aktivti,” kata Chan Kuan Hong kepada Bernama.

Chan, 31, adalah Penjaga Profesional daripada Homage yang dipertanggungjawabkan untuk menemani dan menjadi rakan berbual Loh Kum Hing, 85, warga emas yang melukis tadi, selain memantau perkembangan penyakit Alzheimer lelaki berkenaan.
Hasil lukisan warga emas Loh Kum Hing yang menghidap penyakit Alzheimer (salah satu jenis dementia di mana berlakunya penurunan fungsi saraf otak yang kompleks dan progresif). --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA



LEBIH BAIK

Mula menjadi penjaga profesional kepada Loh selepas anak warga emas berkenaan menggunakan perkhidmatan Homage sejak awal tahun ini, rutin pekerjaan Chan bermula pada pukul 3 sehingga 6 petang di rumah lelaki itu setiap hari kecuali hari minggu.

Sepanjang tempoh tiga jam menjaga warga emas berkenaan, pelbagai aktiviti yang berpotensi meningkatkan kecergasan minda akan dilakukan selain pemeriksaan kesihatan ringan seperti darah tinggi dan kencing manis.

“Tugas saya seperti teman atau companion. Kalau Encik Loh hendak pergi ke padang atau kedai kopi, saya akan bawa dia ke tempat itu selain menemaninya menonton filem kelakar seperti Mr. Bean yang merupakan kegemarannya.
Pensyarah Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Noran Naqiah Mohd Hairi. --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Sudah lima bulan saya menjaganya dan tahap perkembangan mindanya semakin bertambah baik. Sebelum ini, dia nampak tidak gembira dan asyik mengulangi soalan yang sama.

“Tetapi, sekarang anda boleh lihat sendiri betapa gembiranya dia dan kadangkala sudah boleh mengimbau kembali kenangan masa dahulu,” kata Chan.

Eddie Loh, 54, anak sulung warga emas berkenaan berkata beliau amat gembira melihat perkembangan daya ingatan ayahnya yang kini lebih baik selepas menggunakan perkhidmatan penjagaan warga emas.

Bapa kepada tiga orang anak ini menjelaskan keputusan menggunakan perkhidmatan tersebut tercetus selepas melihat penyakit Alzheimer ayahnya menjadi semakin teruk selepas kematian isterinya dua tahun lepas dan dibimbangi mendapat kemurungan.

Apatah lagi, Eddie sebagai seorang ahli perniagaan mengakui dia banyak membuat kerja di luar Kuala Lumpur dan sentiasa balik lewat malam. Ini menyebabkan beliau tidak dapat menghabiskan banyak masa dengan ayahnya.



BUKAN LEPAS TANGGUNGJAWAB

“Kita tidak boleh bercakap dengannya seperti seorang dewasa yang biasa kerana ingatannya seperti budak berumur lima tahun selain selalu tanya soalan sama berulang kali. Setiap hari, dia boleh tanya 10 kali soalan yang sama.

“Tahap ingatannya sahaja bermasalah. Yang lain dia boleh mandi, pergi tandas dan ke bilik tidur sendiri. Isteri saya cadangkan perkhidmatan penjagaan warga emas kerana penyakit Alzheimer tidak ada ubat, cuma boleh elakkan daripada menjadi bertambah teruk sahaja,” tambahnya.

Beliau berkata cara terbaik menangani keadaan ayahnya ialah dengan sentiasa berinteraksi dan memberi perhatian.

"Memandangkan saya, isteri sibuk begitu juga dua adik yang lain, kami ambil keputusan menggunakan perkhidmatan penjagaan warga emas,” kata Eddie.

Selain berpuas hati dengan tahap perkembangan ingatan ayahnya, Eddie dan adik-adiknya turut diajar kemahiran mengurus pesakit Alzheimer serta ilmu penjagaan warga emas, yang baginya lebih sukar berbanding penjagaan anak.

Ini memandangkan warga tua memerlukan lebih perhatian bukan sahaja kerana mudah jatuh sakit namun emosi mereka lebih mudah terjejas jika diabaikan.

“Kami tahu dia agak bosan apabila berada di rumah kerana tidak ada aktiviti. Pernah sekali dia keluar rumah tanpa beritahu sesiapa sehingga orang gaji saya panik.

“Apa yang kami bimbang adalah risiko berlaku kemalangan disebabkan depan rumah merupakan jalan raya agak sibuk. Tetapi, selepas menggunakan perkhidmatan Homage, nampaknya dia semakin gembira disebabkan ada teman dan tidak lagi keluar rumah seorang diri,” katanya.

Menurut Eddie, tidak timbul soal melepaskan tanggungjawab penjagaan bapa kepada orang lain apabila menggunakan perkhidmatan tersebut.

Baginya, perkhidmatan sebegitu amat diperlukan warga kota berikutan kebanyakan suami isteri pada masa ini bekerja yang mungkin menyukarkan anak memberikan penjagaan terbaik buat ibu ayah mereka.



MEMBERANGSANGKAN

Homage yang ditubuhkan di Singapura pada 2016, diasaskan oleh Gillian Tee dan Lily Phang bermatlamat menawarkan perkhidmatan penjagaan warga emas bagi membantu ahli keluarga mendapatkan penjagaan terbaik buat ibu ayah mereka.

Susulan sambutan yang menggalakkan di Singapura, Homage melebarkan sayap ke Malaysia pada akhir 2018 yang memberi fokus penawaran perkhidmatan di sekitar kawasan Lembah Klang.

“Homage menyediakan perkhidmatan penjagaan profesional yang berkelayakan dengan teknologi pintar, untuk warga emas.

“Mereka yang memerlukan khidmat penjagaan ini boleh membuat tempahan minimum satu jam dan menurut jadual mereka.

"Perkhidmatan yang kami sediakan ialah kegiatan penjagaan harian (ADL), penjagaan jururawat dan tidak lama lagi kami akan melancarkan terapi di rumah. Skop perkhidmatan di bawah penjagaan ADL ini adalah seperti kebersihan diri, seorang peneman, senaman ringan, penyediaan makanan ringan serta memberi makan.

“Sebahagian besar daripada pelanggan kami adalah golongan profesional dan memerlukan khidmat penjagaan untuk orang kesayangan mereka terdiri daripada warga emas di waktu siang,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Homage, Gillian sambil menambah pemilihan penjaga profesional warga emas Homage melalui proses saringan sangat ketat antaranya penilaian personaliti, kemahiran, kesihatan serta pemeriksaan rekod jenayah.

Ekoran daripada permintaan yang meningkat, Homage merancang memperluaskan perkhidmatan di negeri lain pada masa depan.



DILEMA ANAK BERKERJAYA

Mengulas mengenai perkhidmatan tersebut, Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Epidemiologi) dan Pensyarah Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Noran Naqiah Mohd Hairi berkata penawaran penjagaan warga emas di rumah atau di rumah orang tua yang semakin banyak pada masa kini menunjukkan terdapat keperluan bagi perkhidmatan berkenaan.

Bagaimanapun, penggunaan perkhidmatan tersebut sering kali menjadi dilema dalam kalangan anak-anak yang berkerjaya berikutan stigma masyarakat yang melabelkan mereka sebagai 'anak derhala’ atau tidak bertanggungjawab.

Bagi Dr Noran, ada kalanya mendapatkan perkhidmatan penjagaan formal adalah jalan terbaik bagi penjagaan ibu bapa.

Yang penting, anak itu sentiasa berhubung dan melibatkan diri secara aktif dalam kehidupan ibu bapa mereka, tidak kira sama ada yang dihantar ke pusat/rumah warga emas ataupun mengupah orang lain menjaga orang tua mereka di rumah.

Bagi memenuhi keperluan penjagaan ini biasanya memerlukan penyesuaian dalam cara hidup kedua-dua pihak - anak dewasa dan ibu bapa atau warga emas itu sendiri. Perlu ditekankan juga dalam setiap hubungan, sikap tolak ansur amat penting dan perlu diutamakan.

"Cara penjagaan ibu bapa atau warga emas berubah apabila suami isteri bekerja dan menggunakan perkhidmatan penjagaan warga emas bukanlah bermaksud seseorang anak itu tidak mengenang budi atau melepaskan tanggungjawab.

"Sebaliknya, ia merupakan satu sikap bertanggungjawab daripada membiarkan ibu bapa yang memerlukan penjagaan rapi tinggal sendirian,” katanya.



TURUT MEMBANTU

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pensyarah Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Farizah Mohd Hairi berkata pendekatan dan pengurusan warga emas adalah berbeza terutama bagi yang memerlukan penjagaan kesihatan lebih teliti dan mendalam seperti orang tua yang mengalami penyakit strok, Parkinson atau nyanyuk.

Justeru, perkhidmatan penjagaan formal sebegini sebenarnya turut membantu anak mempelajari teknik yang betul pengurusan orang tua mereka.

“Hakikatnya, anak ini menginginkan yang terbaik buat ibu ayah namun disebabkan kekangan masa, mereka terpaksa menggunakan perkhidmatan tersebut.

“Yang menjadi masalah, apabila anak itu langsung tidak mengambil tahu keadaan ibu ayah mereka dan melepaskan tanggungjawab dengan menggunakan perkhidmataan berkenaan,” katanya sambil menambah beliau dan Dr Noran serta Prof Dr Choo Wan Yuen ada menghasilkan sebuah buku bertajuk "Panduan Penjaga Warga Emas" yang diterbitkan oleh Universiti Malaya pada 2018.



Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu