RENCANA

HARGAI KHAZANAH ROYAL BELUM

15/08/2019 11:51 AM

Oleh Rozlin Rusharmeen Rosmin

GERIK (Bernama) -- Bagi saya yang pertama kali menjejakkan kaki ke Taman Negeri Royal Belum, segala-gala yang dilihat begitu memukau, baik hutan dara, tasik dan sungai serta pelbagai flora dan fauna.

Banyak aktiviti untuk pengunjung ke hutan hujan tropika yang dikatakan antara yang tertua di dunia, berusia sekitar 130 tahun, menewaskan hutan hujan lebih tua daripada hutan hujan Amazon, di Brazil.

Dengan keluasan 117,500 hektar, Royal Belum yang bersempadan dengan Thailand di utara dan Kelantan di timur, diwartakan sebagai kawasan yang dilindungi oleh Kerajaan Perak pada Mei 2017 dan diuruskan oleh Perbadanan Taman Negeri Perak.

Kunjungan penulis ke Taman Negeri Royal Belum adalah sebahagian daripada acara Kembara Media Perak 2019 (empat hari tiga malam) dari 28 Jun hingga 1 Julai, anjuran Jabatan Penerangan dan Kerajaan Perak.

Program ini bertujuan mempromosi tarikan di pelbagai daerah di Perak.

 

UNGGAS BERTERBANGAN

Salah satu tarikan di Royal Belum ialah musim burung. Menurut renjer Perbadanan Taman Negeri Perak, Mohd Yusri Abdullah Sani, aktiviti memerhati burung terbaik dilakukan dari Julai hingga September, bersamaan dengan musim buah-buahan di dalam hutan.

"Terdapat sekitar 310 spesies burung di Royal Belum, oleh itu jangan ketinggalan aktiviti memerhati burung di Royal Belum. 

"Burung-burung ini makan buah-buahan dan hinggap di dahan pokok. Ini memberi peluang kepada pemerhati burung untuk melihat burung-burung ini tanpa memakai teropong, “ katanya.

Paling menarik perhatian peminat burung ialah burung enggang. Terdapat 10 spesies burung enggang di Royal Belum berbanding hanya lapan di Sabah dan Sarawak meskipun burung tersebut lebih terkenal di Sabah dan Sarawak berbanding yang ada di Perak.

Menurut Mohd Yusri, Royal Belum diiktiraf sebagai Kawasan Burung dan Kepelbagaian Biologi yang penting (IBA) oleh BirdLife International, setelah didaftar sebagai IBA pada 2004.

"Ini bermakna tempat ini adalah penting dari segi global untuk pemuliharaan hidupan burung, “ kata beliau ketika ditemui semasa Kembara Media 2019.

Birdlife International adalah pertubuhan pemuliharaan perkongsian global yang berusaha untuk memulihara burung, habitat burung itu serta kepelbagaian biologi global.

Semasa musim memerhati burung, jurugambar alam semula jadi dari seluruh pelusuk dunia akan berkumpul di Royal Belum untuk memastikan mereka mendapat gambar yang paling cantik.

Memandangkan lawatan media kami di luar musim memerhati burung, kami tidak mempunyai pilihan selain berpuas hati dengan hanya mendengar suara kicuan burung yang bertenggek nun jauh di dahan tinggi pokok.

 

TARIKAN KAKI PANCING 

Pengunjung ke Royal Belum pastinya akan teruja melihat Tasik Temenggor. Meliputi kawasan seluas 15,200 hektar, tasik ini adalah tasik buatan manusia kedua terbesar di Semenanjung Malaysia, selepas Tasik Kenyir di Terengganu. Persekitaran Tasik Temenggor yang begitu mendamaikan bertambah unik dengan 374 spesies flora dan lebih 80 peratus spesies fauna di dalam tasik.

Tasik ini bagaikan lubuk ikan untuk pemancing yang pastinya tidak mahu melepaskan peluang keemasan untuk menangkap spesies ikan seperti 'hampala' dan ikan gergasi berkepala ular atau ikan lumpur.

Udara yang segar serta air tasik yang jernih, berkilau-kilauan dipancar cahaya mentari menjadikan penulis semakin bertenaga untuk meneruskan kembara di bumi indah ini.

Bagi sesiapa yang ingin bermalam di Tasik Temenggor, bolehlah menyewa 'rumah bot'. Cuma jumlah rumah bot ini sudah berkurangan kepada hanya 35 berbanding lebih 100 buah sebelumnya.

Bagaimanapun Mohd Yusri menjelaskan mereka tidak mahu terlalu banyak rumah bot kerana mahu mengehadkan jumlah pengunjung ke Royal Belum.

"Kerajaan negeri mahu memulihara Royal Belum dan mengekalkan kecantikan semula jadinya. Taman negeri ini bukan untuk ekopelancongan. Ianya lebih untuk pemuliharaan kerana ia adalah hab kepelbagaian biologi Malaysia. 

"Terlalu banyak rumah bot akan menyumbang kepada pencemaran. Kami tidak mahu merosakkan sistem ekologi, itu sebabnya kami mengehadkan jumlah rumah bot. Bayangkan kalau kami menerima 29,000 pengunjung setahun? Apa akan berlaku dalam tempoh tiga tahun? Kami mahu mengekalkan keindahan tasik ini serta flora dan fauna di sini, “ katanya.

Para wartawan yang merupakan sebahagian daripada kumpulan Kembara Media Perak 2019 bermalam di 'Casuarina', rumah bot terbesar di Tasik Temenggor. Suasana malam begitu sunyi dan udara nyaman tasik menjadikan pengalaman bermalam di rumah bot begitu mengasyikkan.

 

PERKAMPUNGAN ORANG ASLI 

Mungkin ramai yang tidak tahu ada masyarakat Orang Asli yang mendiami Royal Belum. Masyarakat Orang Asli tersebut ialah kumpulan etnik Jahai yang tinggal di Kampung Klewang, terletak di tepi tebing sungai yang mengalir di kawasan taman negeri ini.

Menurut ketua kampung atau Tok Batin Sedo bin Jebis, 55, terdapat 35 keluarga tinggal di perkampungan itu dan kebanyakan mereka hidup secara separa nomad.

Sungai adalah nadi kehidupan masyarakat orang asli itu kerana ia bukan sahaja menyediakan bekalan air tetapi juga ikan sebagai sumber makanan mereka. Orang Asli juga menggunakan sungai untuk ke dunia luar. Di samping itu, masyarakat Orang Asli itu juga menanam pokok ubi kayu dan pokok buah-buahan.

“Ada banyak tanaman herba di dalam hutan yang kami kutip setiap hari seperti ‘tongkat Ali’, ‘madu kelulut’ dan kayu gaharu," katanya, sambil menambah, sekiranya mereka mengutip lebih daripada keperluan, bakinya akan dijual kepada pengunjung yang singgah di kampung tersebut.

Beliau berkata Royal Belum adalah "bank perubatan”kerana ia mengandungi banyak tumbuh-tumbuhan yang boleh menyembuhkan pelbagai penyakit.

 

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan