RENCANA

NILAI ESTETIKA PERABOT ROTAN JADI TUMPUAN

21/08/2019 12:04 PM

Oleh Sakini Mohd Said

KOTA BAHARU (Bernama) -- Antara soalan yang sering saya ajukan kepada pengusaha kraftangan ialah kesukaran yang dihadapi dalam menghasilkan produk dan lazimnya saya sudah dapat mengagak respons.

Ini berdasarkan pengalaman saya sebelum ini yang sudah banyak kali menjejaki usahawan kraf hasil rimba anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) sehingga ke Sabah dan Sarawak.

Jawapan yang saya sering saya terima khususnya daripada pengusaha produk rotan ialah kerumitan teknik anyaman untuk menghasilkan kraf rotan bermutu tinggi, apatah lagi apabila ia melibatkan motif tertentu yang memerlukan kehalusan penyilangan sulaman. 

Bagaimanapun, ketika mengikuti Program "Kisah Kejayaan" Graduan Institut Kraf Negara (IKN) anjuran Kraftangan Malaysia ke Kelantan pada 22-23 Julai lalu, saya menerima jawapan yang berbeza apabila menemu bual seorang pengusaha rotan di Kampung Panji, terletak kira-kira sembilan kilometer dari bandar Kota Baharu.

 

PALING RUMIT

Pengusaha rotan yang saya maksudkan itu ialah Megat Rahimi Megat Deris, 38. Beliau merupakan graduan Diploma Seni Kraf Buluh dan Rotan di IKN dan mengikuti pengajian itu pada 2003 hingga 2006. 

“Bagi saya, proses paling susah adalah bahagian akhir iaitu masa menyapukan syelek pada produk kraf rotan. Ramai menyangkakan ia adalah kerja paling mudah berbanding anyaman dan beranggapan pekerja tidak ada kemahiran pun boleh buat. Itu salah sebenarnya. 

“Kerja syelek ini memerlukan kemahiran, kecerewetan sangat tinggi dan saya pun ambil masa lima tahun untuk menguasai teknik tersebut sehingga barulah mendapat pujian pelanggan,” kata pemilik Mega Rotan Deco ini kepada Bernama. 

Beliau yang ketika itu sedang sibuk menyiapkan perabot set ruang tamu rotan berkata proses menyapu syelek tidak boleh dipandang remeh kerana sedikit kesilapan teknik boleh menyebabkan produk tersebut rosak dan langsung tidak boleh dibaiki lagi. 

Proses itu, tambah beliau, berbeza dengan proses anyaman kerana kerosakan yang berlaku ketika proses tersebut masih lagi boleh disembunyikan tetapi tidak pada rotan.

Keadaan ini menjadikan ia faktor utama mengapa proses syelek tidak diberikan kepada pekerjanya, sebaliknya dilakukan sendiri.

 

KESUKAAN ORANG KAYA

Menurut Megat Rahimi beliau pernah menggajikan pekerja berpengalaman cat kereta untuk proses mensyelek tetapi mendapat rungutan daripada pelanggan.

"Teknik penyapuan syelek pada rotan adalah sangat sukar dan tidak semestinya orang itu ada pengalaman cat kereta, kabinet boleh melakukannya. Apabila kita salah mensyelek, ia menyebabkan warna tidak sekata. Baikilah macam mana sekali pun kesannya memang akan nampak, jadi berjalur dan bertompok-tompok. 

“Tidak gunalah semua kerja tangan, anyaman perabot rotan yang dah dibuat cantik tetapi kalau salah syelek, memang akan rosak semuanya. Pada masa ini saya tengah menyiapkan proses syelek untuk perabot ruang tamu bernilai RM11 ribu dan pelanggannya seorang cerewet jadi memang kena berhati-hati,” kata bapa kepada lima orang anak ini. 

Sudah berkecimpung hampir 10 tahun dalam bidang pembuatan produk rotan, anak kelahiran Ketereh, Kelantan ini mengakui kebanyakan pelanggannya adalah dalam kalangan VVIP yang sangat menyukai perabot rotan serta sanggup membayar harga yang tinggi untuk mendapatkan produk berkualiti.

Untuk memastikan kepuasan pelanggan berkenaan, beliau menitik beratkan setiap proses penghasilan perabot rotan khususnya bahagian penyapuan syelek, penggunaan rotan berkualiti tinggi seperti rotan manau selain mengehadkan menerima tempahan hanya tiga set perabot rotan dalam masa satu bulan.

Ini kerana hampir 98 peratus proses melibatkan pertukangan tangan bagi memastikan produk yang dihasilkan betul-betul memenuhi citarasa hati pelanggan. 

“Saya hairan apabila orang kata barangan rotan ini produk orang kampung sedangkan produk set ruang tamu atau hiasan dalaman rumah yang saya jual bernilai RM1 ribu lebih tidak mendapat sambutan. 

“Yang mendapat sambutan adalah set perabot rotan yang berharga RM5 ribu ke atas. Saya pun tak sangka perabot rotan yang mahal harganya mendapat paling banyak sambutan,” katanya yang mempunyai dua orang tenaga pekerja. 

Antara set perabot atau aksesori rotan yang dihasilkan di bengkelnya adalah set ruang tamu, katil, rak penyimpanan baju, pelbagai jenis meja, set ruang makan selain buaian rotan, bakul hantaran, bakul bayi antara produk kraf rotan yang paling mendapat banyak tempahan. 

Megat Rahimi banyak menggunakan rotan jenis manau, mantan dan jelayan yang diperolehi dari Perak dan Negeri Sembilan. 

 

SUNTIKAN KOMERSIAL

Menurut Megat Rahimi, persepsi kraf rotan adalah produk orang kampung mungkin disebabkan masih ada yang beranggapan ia sekadar bakul, kerusi malas walhal warisan ini sudah jauh berevolusi sehingga mampu menjadi pilihan dekorasi hotel terkemuka dan menembusi pasaran antarabangsa. 

Malah, permintaan yang diterimanya sejak beroperasi pada tahun 2009 adalah sangat menggalakkan dan bukan hanya sekitar Kelantan tetapi juga negeri lain termasuk Pahang, Pulau Pinang, Kedah serta orang asing yang menetap dan bekerja di Malaysia turut meminati hasil kraf warisan ini. 

“Perabot rotan seperti kita ketahui mempunyai ketahanan sangat tinggi sehingga berpuluh-puluh tahun dan ini antara sebabnya juga mengapa ia masih diminati biarpun ketika ini pelbagai jenis sofa moden di pasaran. 

“Saya juga pernah bertemu dengan pelanggan yang meminta untuk mempelbaiki perabot rotan arwah emaknya yang sudah berusia 50 tahun tetapi masih lagi elok kerana ia tahan lasak dan tidak susah cara penjagaannya,” katanya sambil menambah perabot rotan hanya perlu disyelek selepas 15 tahun bagi mengembalikan kecantikannya.

Menurut Megat Rahimi sekarang sudah menjadi trend pemilik sofa jenis fabrik datang ke bengkelnya untuk menukar perabot kain yang rosak kepada rotan dan ini membuktikan produk rotan masih menjadi kegemaran ramai.

Bagi menambahkan lagi nilai komersial produk rotan, Megat Rahimi membuat beberapa inovasi bagi menambat minat hati orang muda selain menampakkan seni eksklusif warisan berkenaan supaya tidak kelihatan seperti produk lama. 

Inovasi ini termasuk rekaan lebih kontemporari menerusi motif dan reka bentuk geometri seperti empat segi, heksagon dan bujur. Ia juga digabungkan sekali dengan elemen anyaman tradisional meliputi pucuk rebung, tulang belut dalam pembuatan produknya yang dapat meletakkan produk kraf rotan pada kelas sangat istimewa.

 

MASALAH PEKERJA 

Di samping inovasi motif, Megat Rahimi juga melakukan pembaharuan dengan menggabungkan rotan, kayu papan lapis pada rangka atau tapak produk. Beliau juga menggunakan serat daun nanas serta serat batang pisang bagi mendapatkan warna yang cantik pada anyaman. 

“Biasanya, majoriti pengusaha rotan cenderung menggunakan 100 peratus rotan tetapi saya lebih gemar melakukan perubahan bagi menampilkan ia seiring dengan peredaran zaman. 

“Pembaharuan ini perlu dilakukan sekiranya saya ingin terus maju dalam perniagaan ini dan ia menjadi nilai tambah kepada produk rotan supaya dapat bersaing dengan perabot moden,” katanya sambil menambah penggunaan kayu papan lapis untuk produknya bagaimanapun hanyalah sekitar lima peratus sahaja.

Dengan pembaharuan yang dibuat, permintaan untuk produk rotan beliau sentiasa ada dan semakin meningkat menjelang musim perayaan. Kini beliau boleh tersenyum bangga apabila bengkelnya berjaya menjana pendapatan sekitar lima angka.

Beliau mengakui terpaksa menolak banyak permintaan daripada syarikat besar termasuk hotel disebabkan kekurangan tenaga kerja mahir. 

“Bidang rotan memang susah hendak cari pekerja, mungkin kerana mereka tak minat. Saya ingin menasihatkan anak muda yang tengah mencari pekerjaan, cubalah menceburkan diri dalam bidang kraf. 

“Saya dulu pun tidak minat tetapi selepas belajar di IKN dan melihat sendiri bagaimana pengusaha rotan menjana duit sebelum dapat membuka bengkel sendiri, saya sudah yakin bidang ini memang boleh menghasilkan pendapatan lumayan. 

“Jangan risau sekiranya tidak ada kemahiran kerana saya pun mula dalam bidang ini dengan kosong dan semua ilmu diperolehi daripada IKN,” katanya.

 

BANTUAN KRAFTANGAN MALAYSIA

Sementara itu, Pengarah Kanan IKN Zainal Abidin Che Pa berkata graduan IKN dan juga pengusaha kraf lain sentiasa diberi perhatian khusus oleh Kraftangan Malaysia walaupun mereka sudah tamat belajar.

Bentuk bantuan yang diberikan termasuk bengkel, peralatan mesin, berbagai jenis kursus meliputi rekaan, strategi pemasaran serta berpeluang mengikuti pelbagai promosi jualan kraf dalam dan luar negara. 

Ia sejajar dengan matlamat Kraftangan Malaysia dalam menggalakkan pertumbuhan dan memajukan industri kraf menerusi penyediaan tenaga terlatih mengikut keperluan industri serta pembangunan produk berkualiti berorientasikan pasaran semasa. 

Sehingga 2018, IKN yang ditubuhkan pada Oktober 2001 berjaya melahirkan seramai 2574 graduan iaitu 1409 graduan (54.7 peratus) peringkat diploma dan 1165 graduan (45.3 peratus) peringkat sijil.

 Menariknya, seramai 2144 atau 83.3 peratus graduan IKN daripada jumlah itu berjaya meneruskan kerjaya dalam pelbagai sektor pekerjaan termasuk industri kraf dan bidang-bidang lain setelah tamat pengajian. 

Ini jelas membuktikan bahawa graduan IKN mempunyai masa depan cerah dalam menempuh kejayaan masa hadapan. 

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan