BERITA TERGEMPAR   Former inspector general of police (IGP) Tun Mohammed Hanif Omar died at 2.15 am today - Son | Bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tun Mohammed Hanif Omar meninggal dunia pada 2.15 pagi tadi - Anak | 
RENCANA

SYUKUR DIPILIH MENJADI DUYUFURRAHMAN "TETAMU ALLAH''

23/08/2019 11:44 AM

Oleh Fadzli Ramli

MAKKAH (Bernama) -- Empat tahun lalu saya menghantar datuk saya, Mohtar Haron, 84, ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor untuk mengerjakan ibadah haji. Beliau berdoa semoga saya dan anggota keluarga lain dapat menjadi 'duyufurrahman' atau tetamu Allah suatu hari nanti.

Saya cuma tersenyum memandang beliau yang saya panggil Tok Abah. Kata saya, saya masih  kurang bersedia kerana jumlah simpanan dalam akaun Tabung Haji (TH) agak rendah, lagi pun saya masih muda dan banyak kekurangan untuk menyerah diri menghadap Allah di Baitullah.

"Sudah tertulis di pintu Kaabah, awak pergi juga bila Allah jemput nanti, Tok Abah doakan di sana," kata-kata Tok Abah empat tahun lepas menerjah fikiran saya akhir Jun lepas ketika saya dijemput menjadi Tetamu Allah dengan ditawarkan pergi membuat liputan media untuk musim haji bersama TH tahun ini.

Tok Abah tenyata amat gembira dengan perkhabaran baik itu sambil memberitahu saya bahawa begitu ketentuan daripada Allah SWT, jika Allah menjemput sebagai duyufurrahman, bagaikan nama 'sudah tertulis di pintu Kaabah' tiada apa yang akan menghalang saya pergi.

Ungkapan 'sudah tertulis di pintu Kaabah' itu sebenarnya lama digunakan orang Melayu sejak dahulu bagi menerangkan maksud duyufurrahman itu sendiri iaitu tetamu yang dijemput Allah mengerjakan haji dan akan tetap juga sampai di sini walau apapun halangan atau cabaran mendatang.

Pengalaman di sini mengajar saya kehebatan panggilan duyufurrahman itu sendiri apabila bertemu dengan ramai jemaah haji yang disebalik mempunyai 1,001 halangan dan cabaran mereka tetapi menjejak kaki di bumi Allah ini, bagaikan nama mereka 'sudah tertulis di pintu Kaabah'.

 

TUNJUK JALAN

Mencari erti di sebalik duyufurrahman, saya sempat berbicara dengan Ketua Pakar Rujuk TH Datuk Wan Mohamad Abdul Aziz di sini yang mengingatkan beliau kepada sebuah hadis menerangkan bahawa hidup sebagai manusia ini nasib dan habuannya ditentukan oleh Allah.

"Maknanya habuan atau nasib kita ini yang mutlaknya di tangan Allah, tetapi untuk sampai kepada sesuatu kita hendak itu perlu ikhtiar begitu juga hendak mengelak daripada sesuatu yang mudharat, begitu juga dengan pengalaman encik (penulis) bila datuk doakan dengan keyakinan menjadi duyufurrahman Allah kuniakan," katanya kepada Bernama.

Wan Mohamad menerangkan misi penulis datang ke Makkah untuk membuat liputan media adalah penyebab walaupun saya pada asalnya menyatakan tidak bersedia.

Beliau berkata menjadi duyufurrahman adalah suatu kurniaan Allah yang perlu dihargai setiap penerimanya dan perlu merancang untuk mengisinya dengan penuh makna sepanjang berada di Tanah Suci.

 

PERSEPSI MASYARAKAT

Menurut Wan Mohamad setiap orang tanpa mengira umur atau latar belakang berkewajiban memasang impian untuk mengerjakan haji dan menjadi duyufurrahman kerana ia adalah Rukun Islam Kelima yang wajib ditunaikan setiap umat Islam yang mampu melakukannya.

"Dia (umat Islam) mesti berusaha menunaikan rukun ini sehingga dia cukup syarat wajib (haji) dia, kemampuan bukan segi kewangan sahaja. Jadi kalau Allah nak izin, Allah akan jadikan banyak benda sebagai penyebab terutama di luar jangkaan," katanya.

Tentang persepsi masyarakat yang suka menilai tahap kewarakan setiap orang yang dijemput sebagai  tetamu Allah, Wan Mohamad menjelaskan persepsi seperti itu perlu dibetulkan.

Beliau berkata persepsi tidak baik itu adalah apa yang diketahui tetapi hakikat sebenar tentang  mengapa Allah jemput seseorang individu itu menjadi tetamu-Nya tidak diketahui masyarakat seperti individu itu mempunyai kebaikan yang hanya Allah yang tahu.

"Seperti orang yang kita rasa tidak cukup baik itu dijemput Allah, tetapi mungkin ramai tidak tahu dia anak paling istimewa kerana amat mengambil berat kepada ibu bapa. Adakah orang yang nampak baik itu betul baik di sisi Allah, kita kena betulkan persepsi kita.

"Kalaupun kita nampak orang itu tidak berapa baik dan dijemput Allah, sepatutnya kita tumpang gembira. Kita doakan dia menjadi lebih baik. Katakanlah kita tahu begitu begini tentang kisah silamnya, masa depan mungkin dia jadi lebih baik daripada kita setelah dia bertaubat," katanya.

 

TIDAK DISANGKA

Penulis juga sempat berbual dengan Timbalan Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir, yang juga Pakar Rujuk TH mengenai duyufurrahman. Beliau berkongsi pengalamannya sekitar lebih 10 tahun lepas seperti saya dijemput menjadi tetamu Allah dalam keadaan yang tidak disangka.

"Pada ketika itu saya diamanahkan untuk mencari mereka yang difikirkan layak untuk mengerjakan haji atas tajaan kemudian saya bersama seorang ketua kampung ini dapat 13 orang. Tetapi pada saat akhir seorang menarik diri.

"Kami bertemu pegawai Tabung Haji, tiba-tiba ketua kampung ini tanya boleh tidak dia ganti, pegawai itu kata boleh kemudian tanya lagi isteri boleh pergi sekali, alhamdulillah boleh. Selepas pertemuan itu beliau telefon saya tanya seorang lagi saudara hendak pergi dan cadangkan saya pergi juga," katanya.

Beliau berkata kemudian mereka menyerahkan empat pasport kepada pegawai TH dan pemohonan  empat individu itu diterima, sedangkan beliau sendiri ketika itu masih belum membuka akaun dengan TH.

Menurut beliau, dengan hak mutlak menjadi duyufurrahman, setiap manusia itu tidak akan dapat menjadi tetamu tanpa kehendak-Nya walaupun mempunyai harta atau wang ringgit setinggi gunung sekali pun.

 

SUDAH TERTULIS

Penulis diberi peluang mengenali Fatimah Eral, Maraini Mat Piah dan pasangan suami isteri Ibrahim Ahmad dan Azizah Mat Zain yang turut bersyukur dipilih menjadi duyufurrahman di sebalik menghadapi pelbagai halangan serta cabaran.

Fatimah, 62, hanya meraih pendapatan RM40 sehari hasil membuat kuih dan nasi kuning. Hidupnya boleh dikatakan "kais pagi makan pagi, kais petang makan petang." Malah ibu tiga orang anak dan berasal dari Semporna, Sabah itu ditinggalkan suami sejak 10 tahun lepas, akhirnya dibawa mengerjakan haji dengan tajaan program Tabung Warga Tua TH.

Apabila saya bertanya kepadanya tentang makna menjadi tetamu Allah tanpa disangka, Fatimah berkata beliau pada awalnya sememangnya tidak percaya dijemput, namun mencurahkan perasaan bersyukur dengan linangan air mata setiap kali selesai solat pada waktu malam.

Maraini, 55, dari Shah Alam, Selangor nekad mengerjakan haji bersendirian di sebalik keadaan dirinya yang buta, namun ditemukan Allah dengan Mazita Abdul Ghaffar, 54, ketika membuat pemeriksaan kesihatan untuk mengerjakan ibadah haji. Akhirnya dua sahabat ini menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

“Alhamdulillah selepas ke sini semuanya baik, sama-sama jalan kaki (dengan Mazita) tawaf. Tabung Haji banyak membantu daripada mula sampai di sini," katanya apabila ditanya perasaan dipilih menjadi duyufurrahman.

Ibrahim, 62, dan Azizah, 54, pula merupakan pasangan yang pekak dan bisu. Mereka hanya bekerja sebagai penoreh getah di Alor Setar, Kedah namun nekad menyimpan wang untuk mengerjakan haji di sebalik pelbagai kekangan yang dihadapi.

Bagi diri penulis, selesai menunaikan ibadah haji pada 13 Ogos lepas, saya hanya mampu mengalirkan air mata, memanjatkan doa penuh kesyukuran kepada Allah SWT kerana dijemput menjadi duyufurrahman pada musim haji 1440 Hijrah ini.

Sesungguhnya benarlah nama yang 'sudah tertulis di pintu Kaabah' mencatat perjalanan untuk menjadi insan yang lebih baik di sisi Allah, insya-Allah.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan