RENCANA

KENALI LEBIH MENDALAM, RESIPI PERPADUAN

12/09/2019 11:37 AM

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR  (Bernama) -- “Persoalannya, kalau saya tanya dalam dewan ini berapa ramai antara kita tahu atau faham mengenai budaya serta sensitiviti komuniti sesuatu kaum dan sila senaraikan, apa jawapan anda?

“Saya yakin tidak ramai boleh menjawabnya. Saya pernah menguji pelajar tentang soalan yang sama. Saya suruh mereka senaraikan 10 perkara mengenai kaum India. Jawapan diberikan oleh pelajar saya mengenai rakan mereka kaum India adalah sangat mengejutkan. Bayangkan, jawapan pertama mereka berikan adalah tose." 

Demikian perkongsian Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia, ketika menyuarakan pandangan sebagai ahli panel wacana bertajuk Malaysia Selepas 62 Tahun Merdeka di ibu pejabat Sin Chew Daily, Kuala Lumpur baru-baru ini. 

Biarpun perkataan ‘tose’  itu menggelikan hati semua peserta wacana sehingga riuh seketika, namun beliau menegaskan situasi ini tidak boleh dipandang ringan memandangkan ia merupakan satu petunjuk jelas bahawa pemahaman masyarakat negara ini mengenai sesuatu kaum masih lagi cetek. 

Sedangkan tempoh 62 tahun negara mengecapi kemerdekaan bukanlah satu tempoh singkat dan sewajarnya masyarakat pelbagai kaum sudah boleh mengenali lebih mendalam antara satu sama lain.

Namun, realiti yang berlaku adalah sebaliknya.

Menurut Shamsul Amri yang juga Pengerusi Majlis Profesor Negara, kurang pemahaman mengenai budaya dan sensitiviti sesuatu kaum boleh menjadi punca kepada timbulnya salah faham dan prasangka buruk pada bangsa lain.

“Apabila kita tidak kenali, mudah pula dengar cerita di kedai kopi dan media sosial yang banyak membicarakan hal remeh, sebenarnya ia berisiko menggugat keamanan sesama kaum apabila sesuatu perkara itu diperbesarkan. 

“Ini memandangkan, masih ramai antara kita hanya tahu budaya atau perkara popular yang mereka lihat pada pandangan mata kasar yang diperhati dalam kehidupan seharian. Misalnya, kalau ditanya apakah beza Deepavali Hindu dan Baisakhi Sikhism, ramai tidak dapat menjawab.

“Walaupun kedua-duanya perayaan orang India tetapi agama Hindu dan Sikh berbeza. Masyarakat Hindu akan ke kuil untuk sembahyang mereka manakala orang Sikh ke gurdwara. Jawapannya, lebih lagi mengenai apa yang ada pada orang India dan bukannya sekadar tose,” katanya.

 

PERLU DIDIDIK

Mengulas lebih lanjut, Shamsul Amri berkata situasi yang dikongsikan ini berlaku mungkin disebabkan masyarakat khususnya generasi muda hari ini tidak dididik atau didedahkan sepenuhnya dengan lebih meluas lagi mengenai budaya dan sensitiviti sesuatu bangsa.

“Saya dibesarkan di sebuah kampung di Jempol dan bersekolah di St Aidan Bahau, Negeri Sembilan yang terletak dalam kawasan estet. Sekolah itu penuh dengan anak orang India dan Cina yang menjadi rakan baik saya. 

“Saya masih ingat wayang pertama ditonton adalah filem Tamil dan pergi bersama dengan rakan India serta Cina. Saya lupa tajuknya tetapi heronya adalah M.G. Ramachandran dan Sivaji Ganesan. Wayang itu ditayangkan di padang bola pada waktu malam. 

“Suasananya sangat meriah sambil menikmati kacang kuda, muruku dan sebagainya. Situasi saya membesarkan ini membuatkan saya faham mengenai budaya kaum lain apabila kami sering bersama bukan sahaja ketika waktu persekolahan tetapi juga pada masa lain,” katanya. 

Sehubungan dengan itu amat penting bagi seseorang warga Malaysia dididik mengenai hubungan etnik sedari awal lagi iaitu seboleh-bolehnya ketika mereka masih kanak-kanak dengan memberi penumpuan khusus kepada aspek mengenali budaya lain secara lebih mendalam dan bukan sekadar bersifat luaran semata-mata.

Dalam hal ini, ia bukan sahaja bertumpu kepada peranan ibu bapa sebagai pemangkin utama pemupukan semangat muhibah antara kaum, namun Shamsul Amri berkata pendidikan sekolah juga merupakan wahana pragmatik ke arah tersebut. 

“Itu sebabnya dulu saya membantu memperkenalkan kursus hubungan etnik dan juga memperkenalkan buku modul hubungan etnik bagi tujuan mengenali secara lebih jitu kaum lain yang sudah boleh dianggap sebagai keluarga kita di Malaysia. 

“Namun, ia hanya di peringkat universiti. Bagaimana pula di tadika dan sekolah rendah serta sekolah menengah? Ketika ini, memang ada topik di sekolah untuk mengenali kaum lain tetapi tidak mendalam.

“Dalam hal ini, kita tidak boleh hanya mengharapkan peranan ibu bapa sahaja kerana takut mereka mungkin boleh bercerita lain daripada apa sepatutnya sekali gus berisiko membuatkan generasi muda hari ini salah faham,” ulasnya.

 

PERPADUAN ATAU KESEPADUAN? 

Beliau yang turut menyelitkan perpatah Melayu, ‘Tak kenal maka tak cinta’ iaitu membawa maksud jika tidak kenal dengan seseorang bagaimana mungkin dapat menzahirkan perasaan cinta terhadapnya, turut menambah bahawa pengenalian budaya dan sensitiviti kaum itu boleh menghayat cinta tersebut ke arah perpaduan. 

Berdasarkan Indeks Perpaduan Nasional 2018 (IPNas 2018) yang dijalankannya selama 18 bulan dengan melibatkan 5275 responden (kajian soal selidik) dan 7226 (dialog rakyat) seluruh negara mendapati perpaduan dalam konteks kepelbagaian kaum, budaya, adat resam belum lagi tercapai, meskipun negara sudah merdeka kira-kira 62 tahun lamanya.

“Mungkin ada mempersoalkan apakah tidak ada langsung unsur perpaduan, muafakat, persetujuan dan kesepakatan rakyat berbagai ini yang kita kecapi selama ini. 

“Mustahil tidak ada. Kalau tidak ada, sudah tentu terjadi perbalahan dan porak-peranda, kecil dan besar di seluruh negara seperti keganasan yang pernah berlaku di Sri Lanka selama lebih 20 tahun yang mengorbankan kira-kira 150,000 nyawa.

“Maka, apa yang dicapai Malaysia? Yang dicapai Malaysia pada masa ini adalah kesepaduan iaitu proses dan usaha ke arah mencapai matlamat perpaduan yang diidamkan selama ini. Dalam erti kata lain, kesepaduan iaitu pra-syarat kepada perpaduan diidamkan,” jelasnya. 

Beliau berkata perpaduan hanya boleh tercapai apabila kita bersetuju atau mencapai kata sepakat dalam sebahagian besar isu masyarakat seperti ekonomi dan sosial.

“Mengapa kesepaduan, kerana kita kadang-kadang bersetuju dalam sesuatu perkara dan kemudian tidak bersetuju dalam sesuatu perkara yang lain. Masyarakat Malaysia pelbagai sifatnya, wujud perbezaan dalaman antara sesama sendiri, maka proses, usaha dan tindakan kesepaduan tidak selalunya sebulat suara atau seia-sekata.

“Ini yang meletakkan hubungan masyarakat turun naik, kadang-kadang marah, kadang-kadang sebaliknya. Biarpun demikian, menariknya atau hebatnya rakyat Malaysia adalah biarpun mereka ini bertikam lidah tetapi tidak berparangan, ertinya suka bergaduh mulut tapi tak gaduh guna parang.

“Keganasan bukan satu pilihan. Itulah kekuatan orang Malaysia di mana boleh bersatu bila perlu dan bertengkar bila perlu. Mereka matang dan menyelesaikannya melalui rundingan, bukannya bergaduh dan kerana itulah saya menyatakan keadaan di Malaysia adalah terkawal dan ini kita kena puji,”  katanya.

 

HILANGKAN CEMBURU

Sementara itu, seorang lagi ahli panel, bekas Presiden MCA Tan Sri Ong Tee Keat berkata ada masyarakat negara ini masih dalam takuk minda lama yang bersifat mentaliti ‘zero sum’ iaitu mencemburui apa yang bangsa lain perolehi disebabkan rasa tergugat seolah-olah hak mereka terhakis. 

Sedangkan, kata beliau, hal ini tidak akan berlaku kerana kepentingan dan perlindungan semua kaum sudah jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kerana itu, beliau berkata mentaliti tidak sihat tersebut perlu dihapuskan dan menyarankan supaya masyarakat lebih memberi tumpuan kepada perkara yang boleh membawa kepada kemuafakatan bersama dalam melangkah maju ke hadapan.

“Kita sepatutnya memandang isu yang makin rumit, mencabar seperti daya persaingan dan bukannya isu remeh. Bagaimanapun, kita nampaknya begitu ghairah hendak bersaing dengan kaum lain tetapi tak berani  melangkah ke dunia lebih luas iaitu di persada antarabangsa,” katanya. 

Manakala panel ketiga, Datuk C. Sivarraajh yang merupakan Naib Presiden MIC berkata peranan ibu bapa sangat penting dalam menyemai semangat muhibah dan perpaduan antara kepelbagaian kaum negara ini. 

“Janganlah ibu bapa mengajar anak dengan menyuruh mereka jangan berkawan dengan anak India kerana mereka samseng dan sebagainya. Ini sebenarnya memberikan pemahaman tidak baik mengenai sesuatu bangsa. 

“Kita harus terima hakikat bahawa kita sudah hidup bersama di bawah bumbung Malaysia lebih daripada 62 tahun sebenarnya. Sepanjang tempoh itu, sudah pelbagai cabaran kita berjaya tempuhi bersama, jadi janganlah kita gadaikan keamanan dan perpaduan dirasai hanya disebabkan perkara remeh,” katanya. 

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan