RENCANA

TANAMAN PISANG BANTU EKONOMI BEKAS PENAGIH

19/09/2019 12:13 PM

Oleh Kurniawati Kamarudin

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Jika ada yang menganggap golongan bekas penagih dadah tidak mampu membanting tulang empat kerat, maka tanggapan itu tidak semestinya benar.

Hakikatnya, mereka yang bebas daripada ketagihan bahan terlarang itu mampu melakukan pelbagai kerja, seperti juga orang lain asalkan diberi peluang dan ilmu dalam bidang berkaitan.

Usaha lapan orang bekas penagih daripada sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Sinar Kasih, mengorak langkah mengerjakan penanaman pisang secara komersial adalah bukti kesungguhan mereka mahu berdikari dan mencari rezeki.

Memilih untuk menceburi bidang pertanian, mereka menanam sebanyak 200 pokok pisang berangan di tanah seluas kira-kira 0.2 hektar, milik persendirian di Kampung Padang Balang, Gombak, kira-kira 10 kilometer dari sini. 

 

SEMANGAT BAHARU

Melihat tanaman pisang yang semakin membesar, memberi kepuasan yang bukan sedikit buat Mohd Nasir Mohamad Hatta, 36 dan isterinya Nor Asmah Abdullah, 35 - kedua-duanya peserta projek penanaman pisang tersebut.

Walaupun projek masih baharu - dimulakan Januari lalu - melihat tanaman pisang itu yang subur menghijau bagaikan sudah terbayar segala penat lelah mengusahakan tanah tersebut.

“Dulu kawasan ini terbiar dengan semak setinggi bahu. Saya bersama peserta lain bekerjasama membersihkan kawasan yang dipajak daripada pemilik tanah ini untuk tempoh lima tahun.

“Daripada kawasan terbiar yang penuh dengan semak, kami pugarkan hingga lapang dan kini menjadi kebun pisang,” kata Mohd Nasir ketika ditemui di Bengkel Penanaman Pisang Dan Penghasilan Biochar di tapak projek yang diusahakannya itu.

Beliau dan isteri yang meminati bidang pertanian, tidak mahu melepaskan peluang yang ada untuk mempelajari teknik betul penanaman pisang dan berhasrat mengusahakannya sendiri di atas tanah milik keluarganya di kampung, di Kuala Krai, Kelantan, kelak.

Pasangan itu, masing-masing terlibat dengan penagihan dadah heroin sejak lebih 20 tahun lalu.

Tidak tahan dengan kehidupan yang tidak terurus akibat masalah ketagihan, beliau nekad untuk berubah dengan mengikuti program terapi gantian metadon di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

(Rawatan dadah gantian Metadon dilaksanakan di negara ini hampir 13 tahun lalu untuk membantu penagih dadah jenis Opioid memulakan hidup baharu dan bebas daripada pengaruh dadah.)

Setelah empat tahun bebas daripada ketagihan dadah, beliau bertemu jodoh dengan isterinya yang berasal dari Selangor yang dikenali ketika bersama-sama mengikuti program metadon.

“Sudah lima tahun kami mengikuti program metadon. Jika dulu badan kurus, hidup tidak terurus sekarang Alhamdulillah, kami sudah boleh menjalani kehidupan seperti manusia normal lain, mampu buat kerja berat dengan berkebun.

“Saya fikir sampai bila nak hidup bergantung pada dadah, lagi pun kawan-kawan saya di kampung yang sama-sama terlibat sudah ramai meninggal dunia,” katanya yang semakin bersemangat meneruskan kehidupan yang dilalui sekarang.

Mengakui sukar mendapat kepercayaan masyarakat walaupun sudah bebas daripada ketagihan, namun beliau tidak sedikitpun patah semangat untuk berusaha lebih gigih mencari rezeki untuk keluarga.

Belum dikurniakan cahaya mata, pasangan itu yang baharu mendirikan rumah tangga kira-kira setahun lalu turut berharap agar ilmu dan pengalaman menyertai projek penanaman pokok pisang itu dapat membantu mengubah kedudukan ekonomi mereka.

 

PROJEK KOMUNITI UNIVERSITI MALAYA

Sinar Kasih ditubuhkan sejak dua tahun lalu bertujuan membantu bekas penagih dadah terutama mereka yang menerima rawatan metadon selepas keluar daripada penjara atau pusat pemulihan dadah.

Kebanyakan mereka berhadapan kesempitan ekonomi disebabkan tidak mempunyai pekerjaan selain disisihkan keluarga dan masyarakat.

Ahli Jawatankuasa Sinar Kasih, Dr Rusdi Abd Rashid berkata, atas rasa prihatin dengan nasib bekas penagih dadah, Universiti Malaya melalui UMCares turun padang untuk mendekati golongan berkenaan dan membantu mereka melalui projek komuniti penanaman pisang.

Beliau yang juga Ketua Penyelaras Pusat Penyelidikan Sains Penagihan Universiti Malaya (UMCAS) berkata projek komuniti itu bukan sahaja membantu golongan berkenaan membina kehidupan baharu dengan meneroka bidang pertanian malah menjadikannya sebagai satu cabang perniagaan.

Melalui program itu mereka dibimbing oleh pensyarah dan penyelidik dalam pelbagai bidang antaranya sains dan bioteknologi tumbuhan, perubatan, kejuruteraan serta aspek kerohanian bagi meningkatkan semangat mereka.

“Kebanyakan penagih yang mengambil metadon sering dipinggirkan kerana masyarakat beranggapan mereka masih dalam ketagihan. Itu adalah persepsi yang salah terhadap mereka.

“Jadi kerjasama antara Sinar Kasih dengan UM ini, bertujuan membantu bekas penagih yang kini masih mendapat rawatan metadon, agar mereka menceburi bidang pertanian secara komersial sebagai sumber pendapatan,” katanya kepada Bernama selepas bengkel itu.

Keahlian Sinar Kasih yang kini mencecah 60 orang turut dianggotai golongan profesional terutama dalam bidang perubatan dan kaunseling untuk bersama-sama terlibat dalam kerja-kerja kesukarelawanan khususnya membantu bekas penagih dadah.

 

TEKNIK KULTUR TISU TUMBUHAN

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Asasi Sains UM, Dr Mahanom Jalil yang juga Ketua Projek Penjanaan Ekonomi Melalui Penanaman Pisang Secara Komersial berkata projek komuniti bersama bekas penagih itu bukan sekadar mengajar mereka ilmu penanaman dan penjagaan pokok pisang sebaliknya turut membantu mereka memulakan projek penanaman bagi meningkatkan pendapatan.

Mahanom yang merupakan pakar penghasilan tumbuhan kultur tisu berkata peserta diajar dalam beberapa fasa bermula daripada peringkat awal sehinggalah kerja-kerja pemasaran.

Ia bermula dengan pendedahan berkenaan penghasilan anak benih kultur tisu pokok pisang di makmal Unit Inkubasi Bioteknologi Tumbuhan (PBIU), UM. 

“Fasa pertama mempelajari teknik menghasilkan anak benih kultur tisu tumbuhan pisang telah selesai dan fasa kedua hari ini adalah teknik penanaman dan menghasilkan biochar daripada sisa pertanian bagi meningkatkan kesuburan tanah.

(Biochar terhasil daripada tumbuh-tumbuhan terbakar atau sisa pertanian yang dibakar, yang terperangkap dalam tanah. Biochar adalah karbon yang stabil (bukan bahan bakar) dan boleh disimpan dalam tanah untuk jangka masa yang sangat panjang.)

“Selepas ini kita akan mengajar cara mengenalpasti penyakit yang biasa dihadapi oleh pokok pisang manakala fasa terakhir adalah pemasaran dan menghasilkan produk hiliran berasaskan pisang,” katanya ketika ditemui di program yang sama.

Jelas beliau, anak benih kultur tisu digunakan untuk memastikan pokok pisang yang ditanam berkualiti tinggi dan bebas penyakit serta mempunyai pertumbuhan dan pengeluaran hasil yang seragam.

“Ini akan memudahkan pengusaha mengutip hasil tanaman dan memasarkannya. Apabila pokok pisang mengeluarkan hasil, mereka boleh menggunakan keuntungan jualan untuk memulakan kitaran penanaman yang baharu.

“Kami juga bantu peserta dengan memberi modal untuk memulakan perniagaan nurseri benih pisang hasil dari teknik kultur tisu  dan menghasilkan biochar untuk dijual di pasaran,” katanya sambil menambah bahawa projek komuniti bersama bekas penagih dadah itu  mendapat dana daripada Kementerian Pendidikan bagi menjalankan projek selama dua tahun

Beliau berkata sekiranya usaha di tapak pertama itu berjaya, UM bersama-sama rakan universiti lain akan mengembangkan lagi projek komuniti penanaman pisang itu ke lokasi lain yang turut melibatkan bekas penagih dadah.

 

Disunting oleh Sarimah Othman

BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan