Oleh Sakini Mohd Said
Wartawan Bernama, Sakini Mohd Said baru-baru ini diberi peluang oleh Kedutaan Uzbekistan di Kuala Lumpur untuk membuat liputan festival muzik sangat berprestij, 12th International Music Festival 'Sharq Taronalari’.
Festival itu berlangsung selama enam hari (25-30 Ogos) dan diadakan di monumen paling bersejarah bandar Samarkand, iaitu Registan Square.
SAMARKAND (Bernama) -- Di sebalik cuaca panas terik penghujung musim panas, wanita berumur 61 tahun ini yang mahu dikenali sebagai Jamila sudah mula bersiap sedia keluar rumah seawal pukul dua petang lagi untuk ke festival 12th International Music Festival Sharq Taronalari .
Bagi pesara kerajaan ini, program yang dijadual bermula sekitar 7.00 malam itu merupakan hari yang dinanti-nantikannya kerana ia hanya berlangsung sekali sahaja dalam tempoh dua tahun.
Beliau sanggup datang awal untuk mendapatkan tempat duduk terbaik, tambahan pihak penganjur juga mengingatkan mereka yang mahu ke festival itu supaya berada di lokasi pesta sebaik-baiknya pukul 4 petang, iaitu tiga jam lebih awal.
Ini kerana proses masuk ke lokasi festival agak rumit disebabkan pemeriksaan yang ketat selain tidak dibenarkan masuk selepas melebihi pukul 5 petang.
Agak sukar berkomunikasi dengan Jamila kerana wanita ini hanya fasih berbahasa Uzbekistan dan perbualan kami pada awalnya terpaksa menggunakan teknologi google translate.
Bagaimanapun, kesulitan perhubungan itu dapat diatasi dengan bantuan mahasiswi Fakulti Bahasa Inggeris Institut Bahasa Asing Negeri Samarkand, Rozimurotova Nilufar dan Javlonbek Roziqov, Pegawai Perhubungan Antarabangsa, Kementerian Kebudayaan Republik Uzbekistan.
ISTIMEWANYA ‘SHARQ TARONALARI’
Gembira berjumpa dengan warga Malaysia kerana sering kali mendengar mengenai kehebatan negara ini melalui siaran di televisyen, Jamila yang tinggal di Gagarin Street iaitu kira-kira 6 km dari Registan Square mula rancak menceritakan festival muzik yang dikatakan sangat istimewa kepada penduduk Samarkand ini.
Tidak kiralah apa peringkat umur, mereka biasanya akan menggayakan busana cantik. Golongan wanita akan berdandan serta berhias manakala orang lelaki pula memastikan penampilan kemas serta tidak ketinggalan membawa ahli keluarga ke festival berkenaan.
Ini kerana pada ketika itulah mereka berpeluang melihat secara langsung persembahan nyanyian, tarian kebudayaan dan dendangan instrumen muzik daripada pelbagai negara sama ada yang berelemenkan tali, gendang, aneka seruling mahupun banyak lagi komponen muzik yang mungkin belum pernah dilihat sebelum ini.
Bagi Jamila yang menggayakan blous bermotifkan bunga kecil beronakan hijau, putih dan biru cair serta diserikan lagi dengan anting-anting permata biru gelap, berkata festival ini mengimbau kembali sejarah yang pernah berlaku di bandar Samarkand.
“Kami suka muzik dan di Registan Square tempat berkumpul pelbagai kebudayaan dari seluruh dunia sewaktu zaman purba lagi. Apabila saya datang ke festival ini, ia mengingatkan saya kepada kisah purba yang sering diceritakan oleh nenek moyang saya dahulu,” kata Jamila yang datang bersama kawannya, Lola.
Diadakan penuh gilang-gemilang setiap dua tahun sekali pada penghujung bulan Ogos, Sharq Taronalari atau juga dikenali sebagai Melodies of Orient merupakan medan yang menghimpunkan ratusan penyanyi, penari dan pemuzik terhebat dari seluruh dunia khususnya muzik bergenrekan Oriental/Eastern dari negara Asia Tengah.
Festival edisi ke-12 ini yang boleh dianggap sebagai satu pesta muzik terbesar di Asia Tengah dirasmikan oleh Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev.
Ia diadakan di bawah naungan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
MENGAPA SAMARKAND?
Menariknya, Sharq Taronalari bukanlah medan untuk berhibur semata-mata tetapi membawa matlamat sangat penting dalam memelihara muzik tradisional negara timur selain menekankan keperluan keamanan sejagat menjadi tonggak utama keharmonian dunia.
Dalam masa sama turut berperanan mempopularkan pencapaian terbaik muzik warisan turun-temurun khususnya yang bergenrekan melodi oriental, menggalakkan bakat baharu dan juga sebagai wahana pragmatik ke arah pengukuhan jalinan persahabatan serta kerjasama antara Uzbekistan dengan negara lain.
Mungkin ada tertanya mengapa Samarkand yang menjadi pilihan untuk berlangsungnya festival muzik sangat berprestij ini dan bukannya Tashkent, iaitu ibu negara Uzbekistan.
Bagaimanapun, ada sebabnya mengapa bandar kedua terbesar negara yang kaya dengan sejarah ketamadunan Islam ini dipilih untuk penganjuran Sharq Taronalari sekali gus menjadi kebanggaan seluruh penduduknya.
“Samarkand adalah tempat di mana beberapa empayar hebat bertapak dan kemudiannya lenyap; tempat yang menyaksikan perkembangan intelek serta kemewahan; menjadi pilihan tempat tinggal pelbagai bangsa dengan kebudayaan dan agama yang berbeza.
"Nama Samarkand sudah cukup untuk membawa kita kepada kenangan kegemilangan,” kata Ketua Pengarah UNESCO, Audrey Azoulay dalam ucapan di majlis perasmian festival.
Diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, Samarkand yang dijumpai kira-kira 700 sebelum masihi (ENG: years BC) turut dikenali sebagai Pearl of the East kerana pernah menjadi nadi utama perdagangan dalam sejarah laluan sutera antara China dan Mediterranean pada zaman purba kala.
Kedudukannya di lembah Sungai Zerafshan dan di rangkaian perhubungan laluan sutera memberi banyak kelebihan kepadanya apabila beribu pedagang bukan sahaja menjadikan Samarkand sebagai antara hentian untuk perniagaan rempah, sutera, porselin bahkan pertukaran budaya, pembelajaran ilmu dan pembangunan muzik juga tidak terkecuali.
PENGIKTIRAFAN DUNIA
Ini terbukti dengan penemuan seruling berusia 3000 tahun di Samarkand oleh ahli arkeologi sekali gus menggambarkan budaya muzik sudah lama berakar umbi di Asia Tengah.
Berdasarkan perkara itulah Presiden Uzbekistan terdahulu, Islam Karimov mengilhamkan Sharq Taronalari pada 1997. Langkah itu sebagai menyokong dan mempromosikan warisan budaya, muzik turun-temurun Asia Tengah khususnya dari Uzbekistan dan Registan Square dipilih kerana keunikan sejarah yang ada padanya.
“Mengenai Registan Square dan tiga madrasah iaitu Ulugbek, Sher-Dor, Tillya-Kari di mana festival itu diadakan sudah lama terkenal sebagai pusat kraf dan perdagangan sebelum pencerobohan tentera Mongol.
"Sewaktu zaman purbakala, perkataan Registan bermakna kawasan berpasir yang menjadi tempat untuk mengumpulkan penduduk apabila hendak dibuat pengumuman mengenai dekri Diraja dan tempat perdagangan untuk kafilah, “ kata Pengarah Eksekutif International Music Festival Sharq Taronalari, Farhod Djuraev.
Istimewanya, selepas 22 tahun penganjuran festival ini ia bukan sahaja mendapat pengiktirafan dunia bahkan penyertaan pemuzik dari pelbagai negara juga meningkat.
“Festival ini adalah platform besar bukan sahaja untuk mempromosikan kebudayaan, muzik dan tarian yang unik untuk Uzbekistan tetapi juga dalam kalangan semua negara timur. Sehingga kini, festival ini telah dianjurkan sebanyak 12 kali, petunjuk jelas dunia semakin menghargai melodi oriental.
"Pada festival pertama (1997) hanya 31 buah negara yang menyertai festival ini, kebanyakannya dari rantau Asia-Pasifik. Festival tahun ini dihadiri oleh 340 orang tetamu terkenal, kumpulan kreatif terkemuka dan yang berbakat besar dari 75 buah negara termasuk Argentina, Fiji, Latvia, Amerika Syarikat, Sepanyol, Estonia dan India.
"”Secara keseluruhannya, jika dikira daripada 12 penganjuran, jumlah negara yang mengambil bahagian ialah 115,” kata Djuraev sambil menambah festival tersebut kini menjadi jenama penting untuk Uzbekistan.
SATUKAN HATI DAN JIWA
Sementara itu, Presiden Shavkat Mirziyoyev dalam ucapan alu-aluannya berkata mereka yang muncul di pentas Registan Square untuk membuat persembahan, pastinya menyemarakkan lagi semangat kemanusiaan yang menyatukan semua orang tanpa mengira agama dan bahasa kebangsaan mereka.
“Sebagai fenomena humanistik yang unik, seni muzik mengandungi pelbagai kemungkinan untuk mengangkat serta membangunkan generasi baru. Golongan belia yang berkecimpung dalam bidang sastera mempunyai sikap yang tinggi terhadap kehidupan, menghormati adat serta tradisi kebangsaan serta nilai-nilai universal,” kata Presiden Uzbekistan itu.
Sewaktu festival, mereka yang membuat persembahan dinilai oleh panel juri terdiri daripada 11 orang mewakili tokoh seni dan kebudayaan, pengubah, sarjana muzik tempatan dan artis terkemuka.
Festival ke-12 ini berbeza daripada festival yang diadakan sebelum ini memandangkan mereka yang membuat persembahan dinilai dalam dua bahagian - muzik tradisional profesional dan lagu serta muzik moden atau lagu yang dihasilkan dalam bentuk tradisional.
Tahun ini, anugerah tertinggi iaitu the Grand Prix dianugerahkan kepada Mekhrinigor Abdurashidova dari Uzbekistan. Pemenang menerima AS$10,000 , diploma serta trofi.
Tempat pertama dimenangi oleh pasangan dari Kyrgyzstan iaitu Komuzchilar dan Parviz Gasimov dari Azerbaijan, tempat kedua, dimenangi wakil dari Turkmenistan dan Mongolia.
Sementara itu, pasukan dari Tajikistan dan Russia dianugerahkan tempat ketiga.
Disunting dan diterjemah oleh Melati Mohd Ariff
BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial
© 2024 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan