RENCANA

EKSPEDISI TERENGGANU HARGAI ALAM DAN AIR

09/10/2019 12:32 PM

Oleh Ainul Huda Mohamed Saaid

KUALA TERENGGANU (Bernama) -- Malaysia adalah antara negara yang paling banyak menerima hujan di dunia dengan menerima taburan hujan purata 7000 milimeter setahun.

Kewujudan lembangan atau kawasan tadahan air serta sungai menjadikan negara ini mewah sumber air, termasuk sumber air bawah tanah yang berpotensi untuk dijadikan sumber air tambahan.

Semestinya khazanah ini perlu dipelihara sebaiknya sebagai warisan untuk generasi akan datang.

Tanpa pengurusan air yang efektif serta sikap tidak bertanggungjawab, bencana seperti yang terbaharu insiden keracunan gas kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, dan kekeringan Sungai Pahang akibat aktiviti pembalakan yang tidak terkawal, kemungkinan besar berulang!

Menyedari peri pentingnya meningkatkan kesedaran dan kecintaan orang awam terhadap sumber air,  Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia bersama JPS Terengganu, Unesco dan The International Hydrological Programme (IHP) Malaysia menganjurkan Ekspedisi Sumber Air Negara Terengganu pada 9 hingga 12 Sept lalu.

Edisi ketiga itu yang sebelum ini diadakan di Kedah dan Perak, dihadiri 77 peserta termasuk tiga orang wakil media. Peserta lain terdiri daripada para penyelidik universiti tempatan, guru serta wakil agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

 

JERNIH AIR DI HULU

Kembara ke Tasik Kenyir yang terletak di daerah Hulu Terengganu bermula seawal pukul 9 pagi. Warna zamrud air bertemu dengan biru langit di ufuk, diselangi pulau-pulau menghijau, menjadi halwa mata para peserta yang berada di tengah-tengah tasik menaiki bot laju.

Saujana mata memandang, tasik seluas 260,000 hektar itu terbentuk hasil pembinaan Empangan Kenyir yang dimulakan pada 1978 dan siap pada 1986. Tasik itu juga dilaporkan mempunyai kedalaman kira-kira 145 meter dan tidak mustahil sekiranya terdapat ikan gergasi mendiami tasik ini!

Tasik buatan terbesar di Malaysia itu menenggelami beberapa batang sungai sedia ada, bukit-bukau serta tanah tinggi, kecuali puncak yang melebihi 138 meter yang kini menjadi pulau-pulau.

Bersempadan dengan negeri Kelantan di barat dan Pahang di selatan, tasik itu turut menyimpan hutan hujan tropika tertua dunia berusia 130 juta tahun.

Selain berperanan sebagai takungan air, Tasik Kenyir juga adalah pusat eko pelancongan yang menjadi tumpuan penggemar aktiviti luar seperti memancing, merentas hutan, berkhemah, memerhati burung, dan menjelajah gua.

Sekitar 40 minit perjalanan dari Pengkalan Gawi Tasik Kenyir, kumpulan ekspedisi yang dipimpin Timbalan Pengarah Pembangunan JPS Terengganu, Osman Abdullah, akhirnya tiba di pulau bernama Sungai Petang, tempat terletaknya sanktuari ikan kelah. Ikan yang digelar “Raja Sungai” oleh kaki pancing itu hanya hidup di dalam air sungai yang bersih.

Oleh sebab itu kawasan tersebut diwartakan sebagai zon larangan memancing. Hanya 200 orang pelawat sahaja dibenarkan bermain dengan kelah sehari. Hanya 50 pelawat dibenarkan berada di dalam sungai pada satu-satu masa bagi tempoh 30 minit. 

Untuk sampai ke sanktuari ini pengunjung perlu berjalan kaki sejauh 1.6 kilometer serta merentas jambatan gantung setinggi kira-kira 15 meter dan sepanjang 200 meter.

Bagi penulis yang rutinnya mengharungi kesesakan lalu lintas di ibu kota bersama hiruk-pikuk dan udara berdebu, pengalaman menyusuri laluan di bawah naungan pepohon hijau sambil menikmati udara segar, diiringi bunyian unggas, menimbulkan ketenangan yang sukar digambarkan.

Akhirnya deru lembut aliran sungai dan anak-anak kelah yang jelas kelihatan berenang di air jernihnya menyapa para peserta sekali gus merawat lelah perjalanan tadi. Masing-masing sudah tidak sabar untuk turun ke dalam sungai bagi merasai pengalaman bermain dengan kelah.

Pastinya peserta merasai pengalaman unik yang tidak dapat dilupakan apabila ikan-ikan kelah meluru ke arah peserta, menggigit manja mana-mana anggota badan mereka yang berada di dalam air untuk mendapatkan makanan.

Ada yang menjerit teruja dan ramai yang beraksi untuk mengambil swafoto bersama ikan-ikan.

 

KEPENTINGAN EMPANGAN DALAM PENGURUSAN SUMBER AIR DAN SALIRAN

Destinasi kami seterusnya ialah Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud, Kenyir, bagi mendapatkan gambaran sebenar fungsi empangan.

Menurut Pengurus Kanan (Pengeluaran) Bahagian Penjanaan Tenaga Nasional Berhad, Md Yuzeiry Md Yasin, Empangan Kenyir membekalkan sebanyak 60 hingga 70 peratus air Sungai Terengganu.

Menurut beliau topografi sungai yang mengalir 52 kilometer ke muara itu, sangat landai, sehingga menyebabkan air laut mengalir sejauh 20 kilometer ke hulu pada kejadian air pasang.

Kejadian itu katanya berlaku lapan hingga sepuluh kali dalam sebulan.

“Apa yang berlaku ialah di muka sauk yang terdekat dengan muara iaitu di Pulau Musang, yang terletak 15 km daripada muara, muka sauk ini akan menyedut air masin.

“Bagi mengelakkan insiden (air laut masuk ke dalam sauk) ini fungsi kita (TNB) ialah ketika hari berlaku kejadian air pasang itu, iaitu lapan jam sebelum air pasang, kita akan mengalirkan air (daripada empangan) untuk mengeluarkan air laut,” jelas beliau.

Usaha itu adalah bagi memastikan para pengguna mendapat bekalan air tawar yang bersih. (Muka sauk ialah pusat pam air di tebing sungai yang berfungsi mengambil air mentah daripada sungai untuk dialirkan ke loji rawatan air, sebelum dapat dibekalkan kepada pengguna)

Md Yuzeiry menjelaskan empangan sebenarnya lebih banyak berperanan dalam pengurusan saliran dan bekalan air berbanding menjana elektrik.

“Sebuah kawasan yang mempunyai empangan sebenarnya ia dilimpahi bekalan air yang banyak’. Seperti di kawasan Hulu Terengganu ini, tidak pernah berlaku masalah bekalan air yang teruk,” katanya.

Selain itu, jelas beliau, sejak siapnya empangan tersebut tidak pernah lagi berlaku banjir besar di kawasan lembah Sungai Terengganu kerana empangan juga berfungsi sebagai tembatan banjir.

“Apa yang kita buat ialah sebelum berlakunya monsun, iaitu sebelum November kita akan menyediakan paras takungan yang selesa untuk kita menerima air hujan monsun,” tambahnya.

 

SUNGAI NADI KEHIDUPAN

Melepasi empangan, sungai yang mengalir ke hilir menjadi sumber air kepada penduduk dan hidupan di sekitarnya. Sungai ini juga menjadi habitat haiwan akuatik dan sangat penting pada pelbagai haiwan lain.

Berikutnya lawatan ke Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir (KECV) membuka mata peserta betapa pentingnya sungai kepada haiwan khususnya gajah yang sememangnya gemarkan air dan mandi sehingga enam hingga tujuh kali sehari untuk menyejukkan badan.

Di KECV, pengunjung boleh melihat secara dekat gajah-gajah yang dibiarkan berkeliaran secara bebas di kawasan hutan seluas 256 hektar itu.

Setakat rencana ini ditulis sebanyak 13 ekor gajah yang semuanya terdiri daripada spesies tempatan dipulihara di perkampungan ini.

Gajah-gajah ini terdiri daripada gajah liar yang diselamatkan dan yang tersesat ke kawasan tersebut.

Peserta ekspedisi berpeluang melihat gajah-gajah mandi di sungai sambil menikmati minum pagi di menara pondok.

Dalam menentukan tahap kebersihan sungai, kewujudan haiwan tertentu menjadi penunjuk aras, sebagai contoh tuntung yang diancam kepupusan akibat aktiviti manusia.

Justeru, menerusi Pusat Konservasi Tuntung di Bukit Paloh, Kuala Berang, Jabatan Perhilitan Terengganu melaksanakan inisiatif untuk memulihara reptilia ini yang melibatkan program pembiakan, pelepasan dan kesedaran awam.

Selepas membelai gajah, keterujaan peserta jelas kelihatan apabila turut diberi peluang untuk melepaskan anak tuntung ke Sungai Terengganu.

 

MUDIK KE HILIR

Pada hari terakhir, kumpulan Ekspedisi Sumber Air Negara Terengganu dibawa menaiki bot untuk meninjau suasana di muara sungai Kuala Terengganu. Banyak pembangunan dapat dlihat di tebing muara seperti Masjid Kristal, hotel dan pusat membeli-belah. 

Di sebalik pembangunan pesat ini, masih dikekalkan warisan generasi terdahulu seperti bengkel pembuatan bot tradisional, rumah tradisional dan bot nelayan.

Peserta juga belayar menyusuri bahagian bawah Jambatan Angkat Kuala Terengganu yang menjadi kemegahan rakyat Terengganu. Jambatan sepanjang 638 meter itu yang menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus itu adalah Jambatan Angkat pertama di Asia Tenggara. Ia mempunyai dua menara berkembar setinggi 16 tingkat dengan kos pembinaan RM248 juta.

Di akhir program, Osman berkata penganjuran ekspedisi ini bertujuan memberi pendedahan kepada orang awam mengenai kepentingan sumber air, ekosistem akuatik dan alam sekitar, selain menyediakan platform bagi para pengkaji mencari ruang penyelidikan.

“Saya berharap peserta program ini akan menjadi ejen perubahan yang akan meuar-uarkan kepentingan memulihara sumber air serta alam sekitar kepada masyarakat,” katanya.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan