RENCANA

PERTUKARAN KESUSASTERAAN MENYATUKAN ASIA

09/10/2019 11:52 AM

Oleh Siti Baaqiah Mamat

NUR-SULTAN (Kazakhstan)  (Bernama) -- Bukan setakat berkongsi hasil kesusteraan tetapi mahukan karya diterjemah kepada bahasa Asia lain bagi memperkukuhkan ikatan dalam kalangan masyarakat etnik rantau itu.

Pandangan ini disuarakan pada Forum Penulis Negara Asia yang berlangsung selama tiga hari (4-6 Sept) di Nur-Sultan (dahulu dikenali sebagai Astana), ibu negara Kazakhstan.

Penulis Asia senada ketika membuat seruan itu kerana perkongsian hasil kesusasteraan boleh membantu mewujudkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat di benua ini.

Seramai 300 orang penulis dan pujangga hadir di forum tersebut yang dianjurkan oleh Writers Union of Kazakhstan.

Pengerusinya, Ulyqbek Esdaulet berkata bidang kesusasteraan adalah salah satu faktor penyatuan di rantau ini, tanpa mengira bangsa atau agama.

“Di sebalik perbezaan dalam bahasa dan kebudayaan, kesusasteraan boleh menyemai semangat perpaduan, “katanya di majlis tersebut.

Bercakap menggunakan penterjemah, beliau menambah bagi memperkukuhkan interaksi antara komuniti kesusasteraan negara Asia, usaha gigih perlu dibuat untuki menterjemah puisi ke dalam bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain.

"Bagaimanapun, bentuk puisi di negara Asia berbeza dari puisi Eropah dan Amerika. Untuk itu penting untuk kira bina dan mengekalkan tradisi kita, “ tambahnya. 

Sementara itu, penulis dari India, Amar Mitra berkata penterjemahan hasil kesusasteraan boleh menjadi "jambatan" untuk menghubungkan semua pihak yang menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi.

Menurut beliau penterjemah perlu memastikan hasil terjemahan mereka perlu dapat mencetuskan rasa yang sama apabila orang membacanya seperti karya asal.

“Bukan mudah untuk membuat terjemahan terutama sekali untuk menterjemah puisi. Bagaimanapun, adalah juga penting untuk masyarakat moden kita mempromosikan perkongsian kesusasteraan antara negara.

“Asia memerlukan projek komprehensif untuk menterjemah sebanyak mungkin hasil kesusasteraan kepada sebanyak mungkin bahasa. Hari ini saya tidak tahu kesusasteraan anda kerana ia tidak sampai kepada saya menerusi bahasa saya. Begitu juga hasil kerja saya tidak sampai kepada kamu, “ katanya di forum berkenaan.

 

PERPUSTAKAAN ELEKTRONIK 

Penulis dari Filipina, Aldrin P. Pentero berpandangan rantau ini memerlukan perpustakaan elektronik atau komuniti dalam talian untuk memudahkan perkongsian hasil kesusasteraan dalam kalangan penulis di rantau ini.

“Perpustakaan elektronik membolehkan penulis menerbitkan kerja mereka menerusi Internet perkongsian kandungan digital ini akan memperhebatkan lagi hasil kesusasteraan penulis kita. Sesiapa juga boleh mengakses di mana-mana dan pada bila-bila masa.

"Di samping itu, kita boleh menggunakan komuniti dalam talian untuk berhubung antara satu sama lain serta memberi sokongan kepada hasil kesusasteraan yang sudah dikeluarkan, " tambahnya.

Penulis dari Vietnam, Kieu Bich Hau mencadangkan penubuhan Institut Kajian Kesusasteraan Asia bagi membolehkan pelajar kesusasteraan perbandingan dari seluruh dunia berkumpul untuk mengkaji keindahan kesusasteraan Asia.

"Apa yang saya cadangkan itu berkemungkinan besar boleh dilaksanakan. Sekiranya saya mahu mengkaji puisi Azerbaijan dan membandingkannya dengan puisi Vietnam, ia boleh dilakukan menerusi institut ini. Usaha ini akan memberi manfaat kepada dunia kesusasteraan Asia, " katanya.

Beliau turut menggesa penulis Asia agar membuat inisiatif mengadakan program pertukaran. Melalui program itu penulis boleh melawat setiap negara dan belajar lebih lanjut tentang tradisi kesusasteraan mereka.

 

KURIKULUM KESUSASTERAAN 

Sementara itu, Sasterawan Negara Prof Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh, berkata kesusasteraan perlu dimasukkan ke dalam kurikulum pendidikan sekiranya mahu ia berkembang.

“Sudah lama saya bimbang dengan keadaan kesusasteraan di dunia. Pada masa dahulu, kesusasteraan adalah bahagian penting dalam kurikulum. Ini tidak berlaku lagi pada masa ini.

“Dengan perkembangan teknologi, di sesetengah negara kesusasteraan dipinggirkan. Negara yang tidak mempunyai kesusasteraan dalam kurikulum pendidikannya adalah negara yang singkat pandangan dan saya fikir sukar untuk mencapai peradaban dengan sains dan teknologi semata-mata, " tambahnya.

 

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan