Beberapa jalan di ibu negara dilanda banjir kilat [ 19m ago ]

Berita RENCANA


Sengsara Hidup Kerana Artritis

Tarikh kemaskini: 10/10/2019
Lokasundari Vijaya Sankar (kiri) dan Masfuzah Ramli berkongsi pengalaman hidup dengan penyakit Artritis Reumatoid (RA). --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
Oleh Ainul Huda Mohamed Saaid

(Artikel ini bersempena sambutan Hari Arthritis Sedunia pada Sabtu, 12 Okt)

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Ia berlaku secara tiba-tiba. Suatu pagi sekitar tahun 2006, Lokasundari Vijaya Sankar, bekas pensyarah dari Petaling Jaya, tersedar dari tidur dan berasa seluruh tubuhnya sakit dan kejang.

Dia tidak dapat bergerak. Pada hari kejadian, untuk ke bilik air sekali pun beliau mengambil masa yang sangat lama.

Jauh di benak hatinya, beliau sudah dapat menggagak punca kesakitan dirinya itu. Dua tahun lepas, Lokasundari pernah diuji positif Reumatoid.

Selepas beberapa siri ujian dijalankan, beliau disahkan menghidap artritis reumatoid (RA) dan sejak itu, beliau mula menjalani rawatan susulan di Hospital Selayang, dekat sini.

Walau bagaimanapun, ubat-ubatan yang dibekalkan pihak hospital memerlukan masa untuk tubuhnya menerima kesannya.

"Saya mengalami penderitaan yang sangat perit pada tahun pertama menghidap RA, bayangkanlah, sebagai seorang pensyarah, saya tidak dapat memegang pen kerana semua sendi menjadi kejang.

"Anda tidak boleh memegang pen, anda tidak boleh membuka pintu, lutut anda membengkak, pergelangan kaki juga bengkak…bengkak terjadi di mana sahaja bahagian badan yang mempunyai sendi. Bahagian belakang, bahu, semuanya menyakitkan," kata Lokasundari, 66, yang mengimbau pengalaman beliau sebagai pesakit artritis.

Seorang lagi pesakit RA, Masfuzah Ramli, eksekutif pentadbiran berusia 47 tahun dari Rawang, turut berkongsi pengalamannya ketika mula-mula disahkan menghidap penyakit itu.

"Saya tak boleh jalan. Pergi tandas kena orang angkat. Kadang-kadang dah terbuang dulu.

“Memang saya ada rasa dah tak berguna untuk hidup. Rasa macam putus asa.

“Nak buat kerja rumah tak boleh, nak angkat barang-barang yang kecil-kecil pun rasa macam sakit sangat,” said Masfuzah yang didiagnosis dengan RA pada tahun 2013.



ARTRITIS

Artritis adalah keradangan yang terjadi pada satu atau lebih sendi kecil dengan simptom utamanya adalah kesakitan sendi dan kekejangan yang akan mengehadkan pergerakan.

Artritis yang paling umum adalah dari jenis RA, dan ia juga penyakit autoimun.

Pakar Perunding Rheumatologi Hospital Selayang, Dr Mollyza Mohd Zain menjelaskan bahawa apabila seseorang itu mempunyai keadaan autoimun, sistem imun badannya akan tersilap menyerang tisu-tisu sihat pada tubuhnya seperti sendi, sehingga menyebabkan keradangan.

Bagi pesakit RA, keradangan dalam sendi boleh menyebabkan bengkak dan kejang pada sendi: Bengkak dan kekakuan pada sendi ini berlaku pada waktu pagi dan boleh berlarutan lebih setengah jam; keletihan atau keletihan yang teruk; dan secara keseluruhannya berasa diri tidak sihat.

"Penyakit ini mulanya menyerang sendi-sendi kecil pada tangan dan kaki dan ia biasanya terjadi secara simetri.

"Ia boleh bermula agak perlahan dan kemudian secara beransur-ansur menjadi lebih teruk, atau ia boleh bermula dengan lebih agresif," katanya, sambil menambah RA boleh mempengaruhi orang dewasa tanpa mengira usia, namun lazimnya golongan yang berusia antara 40-an dan 60-an.

Penyakit ini juga lebih banyak berlaku dalam kalangan wanita berbanding lelaki.

Artritis jenis lain ialah osteoartritis, lupus eritematosus sistematik (SLE), gout dan artritis psoriatik.



CEGAH AWAL DAPAT MENINGKATLKAN KUALITI HIDUP

Dr Mollyza menegaskan seperti kebanyakan penyakit lain, diagnosis awal RA boleh mengubah kualti hidup seseorang pesakit.

Menurut beliau, pada peringkat awal, keradangan kurang berlaku dan ia lebih mudah dikawal dengan ubat-ubatan anti-inflamasi.

Justeru, mendapatkan rawatan susulan yang sewajarnya pada peringkat ini dapat mencegah kerosakan kekal dan meminimumkan kesan RA pada kualiti hidup seseorang.

"Diagnosis lewat akan menyebabkan berlakunya keradangan yang kronik, sukar untuk dirawat. Kemungkinan juga akan meningkatkan risiko kerosakan pada sendi kekal, " kata Mollyza sambil menambah bahawa melalui kemajuan dalam teknologi ubat-ubatan dan rawatan lain, prognosis untuk RA lebih baik berbanding sebelum ini.



HIDUP DENGAN RA

Salah satu aspek sering diabaikan mengenai RA dan jenis artritis ialah pesakitnya terpaksa meneruskan hidup dengan menjadi kurang upaya. Malah ramai dalam kalangan pesakit arthrithis menggunakan kerusi roda.

Pekerjaan dan rutin harian mereka juga akan terjejas kerana penyakit ini.

Menurut Lokasundari beliau berterima kasih kepada dekan fakultinya yang memahami keadaannya dan mengaturkan kuliah untuk beliau hanya pada waktu pagi.

Apabila hari bekerja, Lokasundari terpaksa bangun awal untuk bersiap kerana masa lama diperlukan untuk mengerakkan tubuhnya.

"Baru pukul 1 tengah hari, saya sudah berasa sangat letih dan mahu tidur," katanya.

Lokasundari melawan penyakit RA yang dihidapi beliau itu dengan melakukan senaman. Melalui bantuan pelatih peribadi, beliau pernah bersenam tiga kali seminggu walaupun sendi-sendinya membengkak dan sakit.

"Pada tahun pertama, walaupun dengan mengambil ubat-ubatan, masa yang lama diperlukan sebelum saya dapat melihat kesannya.

"Namun, saya akui bahawa senaman sememanya bagus kerana otot-otot di sekeliling sendi akan menjadi semakin kuat apabila ia digerakkan. Apabila otot semakin kuat, sendi akan lebih kuat,” kata wanita warga emas itu.

Sementara itu, bagi Masfuzah, keterlibatan beliau dalam aktiviti masyarakat dan menghabiskan waktu bersama rakan-rakan dapat membantu meningkatkan semangatnya.

"Apabila saya bersama rakan-rakan, saya rasa bersemangat, rakan sekerja terutamanya, banyak membantu saya suatu ketika dahulu ketika saya tidak dapat berjalan. Mereka belikan makanan tengah hari dan membantu saya untuk ke tandas," katanya. .

Lokasundari dan Masfuzah menasihatkan pesakit artritis agar tidak mengasingkan diri mereka daripada kehidupan bersosial. Bagi kedua-dua pesakit ini, meskipun terdapat segelintir manusia yang mempunyai pandangan negatif terhadap pesakit RA, namun kebanyakan mereka tidak tahu atau dangkal mengenai penyakit RA.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------

RUANG SISI

UBAT DMARD

Untuk mencegah keradangan penyakit RA, ubat-ubatan anti-reumatik (DMARD) digunakan bagi mengurangkan keradangan dan memberikan kelegaan.

Terdapat dua jenis DMARD, iaitu jenis bukan biologik dan biologik.

Ubat dari jenis bukan biologik secara umumnya akan merosakkan sistem imun badan, manakala ubat biologik memfokuskan pada bahagian-bahagian tertentu dari jalur keradangan.

Perubatan biologi sejak kebelakangan ini telah dihasilkan dalam bentuk pil sedangkan sebelum ini, pesakit diberikan DMARD melalui suntikan.

Tahun lepas, sepasukan pakar bedah ortopedik dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia mengumumkan kejayaan dalam rawatan osteoartritis menggunakan sel stem yang diperoleh daripada tali pusat.

Penyelidikan sejak tahun 2016 ini menunjukkan bahawa tulang rawan sendi tumbuh sepenuhnya selepas setahun tanpa sebarang kesan sampingan walaupun permukaan tulang tidak begitu licin sebagaimana tulang rawan asal.



Disunting oleh Rafe'aton Md Ali

BERNAMA







       Berita Utama Terdahulu