RENCANA

DPN TINGKATKAN DAYA SAING NEGARA DALAM DUNIA LOGISTIK

16/10/2019 02:49 PM

Oleh Ali Imran Mohd Noordin

Artikel ini bersempena pelancaran Dasar Pengangkutan Negara (DPN) 2019-2030 pada 17  Okt.

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Pelancaran Dasar Pengangkutan Negara (DPN) 2019 - 2030 yang dijadualkan berlangsung esok akan menyaksikan dasar pengangkutan yang menggabungkan laluan darat, udara dan laut dalam satu dokumen yang diharap bakal melincirkan aliran penumpang dan barangan di negara ini.

Dengan populasi 32.58 juta penduduk, Malaysia kini memiliki jaringan jalan raya lebih 200,000 kilometer, liputan landasan rel sepanjang 2,900 kilometer, 18 pelabuhan dan 22 lapangan terbang.

Justeru,  setiap mod pengangkutan iaitu jalan raya, rel, udara dan air yang saling bersambung, amat penting dalam memastikan pengguna dan industri mendapat capaian kepada mod pengangkutan yang diperlukan seterusnya mendapat manfaat daripada semua infrastruktur yang telah disediakan.

Presiden The Chartered Institute of Logistics and Transport (CILT) Malaysia, Ramli Amir adalah antara pemain industri yang melahirkan rasa gembira dengan kelahiran DPN kerana ia memberi peluang untuk Malaysia ‘menghubungkan’ titik-titik lompong yang ada dalam tadbir urus landskap pengangkutan negara.

CILT adalah badan profesional bagi pengamal industri pengangkutan dan logistik yang berpangkalan di United Kingdom. Ia mengumpulkan 71 pemain industri di negara ini di samping mempunyai 2,728 ahli.

“Dahulu kita rasa macam disconnected kerana tiada badan yang membuat pemantauan menyeluruh dan memberi maklum balas kepada kementerian yang berkenaan agar aliran kegiatan ekonomi menjadi lebih efisyen,” katanya.

Menurut Ramli, terdapat tiga kementerian yang memberi impak secara terus kepada landskap pengangkutan negara iaitu Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Beliau berharap dengan kewujudan DPN, ketiga-tiga kementerian ini dapat bekerjasama atau menubuhkan satu jawatankuasa sebagai badan pemantau terutamanya terhadap aduan pengguna.

 

SAINGI SINGAPURA

DPN juga dilihat sebagai pemangkin penting bagi membolehkan industri logistik negara untuk bersaing dengan negara lain di rantau ini terutamanya Singapura.

Pada pendapat Ramli, tempoh 10 tahun pertama daripada 2019 hingga 2030 DPN adalah penting untuk membina asas yang kukuh agar penambah baikan dapat dibuat dalam pelaksanaan DPN yang akan dibuat selepas tamat tempoh itu.

Ramli percaya Malaysia tidak perlu terburu-buru mengejar tahap infrastruktur yang ditawarkan Singapura sebaliknya memberi fokus kepada peningkatan prestasi serta kualiti perkhidmatan yang ditawarkan.

“Sebagai contoh jika pergerakan TEU (twenty equivalent unit) di pelabuhan mereka adalah 60 pergerakan setiap jam, kita harus mengupayakan diri kita untuk mencapai standard itu. Walaupun dari aspek lokasi kita tidak boleh bandingkan diri kita dengan Singapura tetapi apa yang kita boleh ikut adalah prestasi setiap industri seperti perkhidmatan di lapangan terbang, pelabuhan dan aliran trafik yang efisyen,” tambahnya.

 

POTENSI SABAH

Ramli mengambil contoh landskap dunia pengangkutan di Sabah kerana menganggap negeri itu mempunyai potensi besar untuk digali.

Beliau berpendapat pengumuman Presiden Indonesia Joko Widodo atau Jokowi tentang pemindahan ibu negara itu dari Jakarta ke Kalimantan Timur baru-baru ini sebagai satu peluang besar buat negeri di bawah bayu itu.

“Kita bersyukur bila kerajaan meneruskan projek Lebuhraya Pan Borneo kerana itu adalah infrastruktur asas yang diperlukan untuk mempercepat pergerakan kargo dan penumpang. Sabah juga sudah mempererat hubungan dengan Kalimantan Timur melalui Tawau. Cuma kita masih kurang dari aspek pengangkutan urban seperti LRT kerana dikatakan pembinaannya tidak ekonomikal di sini kerana kekurangan penumpang,” jelasnya.

Menurut Ramli, situasi tersebut adalah ibarat hujah chicken and egg kerana jika tidak sekarang, pada masa depan kos pembinaannya infrastruktur serupa akan meningkat dan dikhuatiri isu kos pula akan dijadikan alasan untuk tidak membinanya.

Beliau turut berharap industri pelabuhan terus maju dengan mempercepat pembinaan Sepanggar Bay Container Bay yang diharap bakal melonjak negeri itu sebagai hab pemunggahan (transhipment) kontena di rantau ini.

 

MASALAH PENGANGKUTAN AWAM

Sementara itu, Pengarah Institut Pengangkutan Malaysia (Mitrans), Dr. Harlina Suzana Jaafar berkata, melalui pelancaran DPN penggabungan fungsi keempat-empat mod pengangkutan iaitu jalan raya, rel, air dan udara perlu diteliti dan disesuaikan dengan penggunaanya mengikut kategori iaitu sebagai pengangkutan awam atau pengangkutan barang.

Harlina berpendapat peningkatan fungsi sesuatu mod pengangkutan tidak boleh dipisahkan dengan mod pengangkutan yang lain demi mencapai satu aliran pengangkutan yang diklasifikasikan sebagai seamless yakni lancar.

“Kita perlu meningkatkan jumlah orang yang menaiki pengangkutan awam dan memastikan penumpang merasa selamat. Sama juga dengan pengangkutan barang pengguna perlu merasa selamat dan terjamin, “ katanya sewaktu ditemubual dalam slot Jendela Fikir terbitan Radio Bernama pada 11 Oktober lalu.

Matlamat akhir penyediaan pengangkutan awam adalah untuk menarik pengguna kenderaan persendirian untuk beralih kepada pengangkutan awam. Atas sebab inilah kesalinghubungan antara pelbagai mod pengangkutan perlu diberikan perhatian khusus.

Untuk mencapai tujuan ini Harlina berkata beberapa pendekatan yang boleh diambil adalah mewujudkan sistem tiket tunggal serta sistem penjadualan bersepadu.

Sistem penjadualan bersepadu merangkumkan semua mod pengangkutan dalam satu jadual agar saling mendokong dan melengkapi antara satu sama lain.

Melalui sistem ini pengguna pengangkutan awam dapat berpindah daripada satu mod pengangkutan kepada mod yang lain dengan lancar tanpa perlu menunggu terlalu lama.

Ini akan memudahkan pengguna merancang perjalanan mereka dengan baik seterusnya meningkatkan keyakinan pengguna dan dalam jangka masa panjang dapat menarik lebih ramai orang untuk menggunakan pengangkutan awam.

Menyentuh tentang pengangkutan barang, Harlina menekankan kos logistik memberi impak kepada harga barang yang akhirnya akan membebankan pengguna, oleh itu DPN turut diharap dapat memberi tumpuan kepada aspek logistik.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan