RENCANA

JELAJAH MOA KUTIP DATA UNTUK RMK-12

18/10/2019 01:16 PM

Oleh Noorazlina Jindeh

KOTA KINABALU (Bernama) -- Seawal pukul 7 pagi, rombongan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) memulakan perjalanan sejauh 834 kilometer dari Kota Kinabalu menuju ke Semporna dalam program “Sixteen Walkabout”  (16WA) bermula 13 hingga 16 Sept lalu.

Perjalanan empat hari tiga malam dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda itu bertujuan untuk bertemu dan mendekati golongan petani, penternak, nelayan dan usahawan muda bagi mendapatkan data untuk penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Rombongan ini yang diketuai oleh Ketua Setiausaha MOA Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan turut disertai 16 orang pegawai pengurusan tertinggi Kementerian berkenaan, melibatkan semua agensi di bawah MOA.

Kawasan persinggahan yang dipilih meliputi daerah Kota Kinabalu, Papar, Sipitang, Tenom, Keningau, Nabawan, Kalabakan, Tawau dan Semporna yang julung kalinya diadakan di Sabah.

Perjalanan tinjauan mesra bersama Setiausaha Bahagian Pembangunan MOA Habshah Ali bermula di pasar tani Papar di Gerai Buah-Buahan Segar Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang menjual pelbagai buah-buahan tempatan antaranya durian, langsat, tarap dan duku.

Gerai berkenaan adalah antara program MOA yang dimulakan sejak 1 Nov 2017 melibatkan 14 usahawan daerah Papar. Ia berjaya mengutip pendapatan berjumlah RM3.2 juta pada 2018 sementara sejak Januari hingga Julai lalu berjaya mengutip sebanyak RM1.2juta.

 

TERNAKAN MADU KELULUT

Hujan lebat mengiringi perjalanan seterusnya iaitu lawatan ke projek ternakan madu kelulut di bawah program Usahawan Agropreneur Muda (UAM) di Kampung Bambangan, Membakut yang diusahakan oleh golongan belia kampung itu sejak Julai lalu melibatkan 18 orang peserta.

Menurut Pengurus Penternakan Madu Kelulut Razali Mohamad, sebanyak 270 sarang lebah kelulut dibina dikampung itu dengan bantuan FAMA.

“Sejak projek madu kelulut ini dimulakan, mereka sudah menuai dua kali. Hasil jualan itu dapat meningkatkan pendapatan belia antara RM500 hingga RM600 sebulan,” katanya yang juga merupakan penduduk di kampung itu.

Rombongan MOA juga diberi peluang menyedut madu menggunakan mesin dari sarang madu yang berbentuk seperti tempayan kecil. Malah penulis juga buat pertama kali berpeluang mencuba menyedut madu itu menggunakan straw dan rasanya agak sedikit masam kerana ketika itu bukan musim bunga.

Menurut maklumat MOA, bagi projek penternakan madu kelulut di Sabah seramai 200 peserta menerima kelulusan pinjaman berjumlah RM2 juta melibatkan 10 buah kampung di Membakut, Bongawan (lapan kampung) dan Kimanis (empat kampung).

 

PENGUSAHA KOPI

Dari Membakut, tinjauan seterusnya membawa kami ke Sipitang sejauh kira-kira 80 kilometer untuk bertemu dan beramah mesra dengan golongan nelayan di daerah itu sebelum menuju ke Tenom, yang amat sinonim dengan nama ‘kopi Tenom’ kerana keenakan rasa kopi Robusta.

Menurut sumber Jabatan Pertanian Tenom, sehingga kini terdapat 245 hektar ladang kopi yang diusahakan oleh 124 orang peladang.

Rombongan 16WA turut ke Taman Rekreasi Seri Cempaka, Keningau yang diusahakan oleh pesara guru Musa Numan, 63, sejak 2003 di atas tanah seluas kira-kira tiga hektar.

Taman rekreasi berkonsepkan ‘Perladangan Keluarga’ itu pada mulanya dibina untuk keluarga terdekat sahaja namun lama-kelamaan menjadi tumpuan pelanggan kerana mempunyai kolam untuk memancing.

Beliau berkata, kawasan kolam itu dahulunya adalah tanah gambut dan memiliki mata air yang kemudiannya menjadi sumber air kepada kolam berkenaan. Terdapat kira-kira 10 jenis spesies ikan air tawar antaranya ikan keli, ikan tilapia, patin, pelian, lampam dan udang kara di dalam kolam ini.

“Di taman ini juga ada mini ladang yang mempunyai lebih tujuh jenis unggas yang diternak antaranya burung puyuh, ayam kampung dan itik hasil bimbingan di bawah Tabung Pembangunan Usahawan Peladang,” kata Musa yang pernah menerima Anugerah Peladang Jaya sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri Sabah 2014.

 

SETERUSNYA KE NABAWAN

Selepas menjamu selera rombongan MOA meneruskan lagi perjalanan ke persinggahan seterusnya iaitu di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Nabawan yang terletak kira-kira 65 kilometer dari Keningau.

Ketibaan rombongan MOA disambut oleh Pengerusi PPK Nabawan Marutin Ansiung. Kami turut dijamu dengan pelbagai makanan tradisi antaranya ubi keledek, kuih muih dan durian kampung atau lebih dikenali sebagai durian ‘dalit’ dan ‘sukang’ yang mempunyai rasa lemak manis.

Kami meluangkan masa hampir 30 minit dan antara perkara yang diutarakan oleh PPK Nabawan ialah memohon agar diberikan dua buah jentera traktor dan sebuah traktor “mini combine” bagi menampung sebarang kegunaan untuk daerah itu.

Destinasi hari kedua berakhir di Pusat Konservasi Maliau Basin terletak kira-kira 138 kilometer dari Nabawan. Di sini rombongan MOA diberikan taklimat oleh Pengurus Bahagian Konservasi dan Pengurusan Alam Sekitar Maliau Basin (MBCA) Jadda Suhaimi berkaitan kegiatan yang dijalankan di Maliau Basin.

Beliau sempat berpesan agar tidak meninggalkan makanan yang boleh menarik deria bau beruang matahari yang biasanya gemar menceroboh masuk ke bilik penginapan pengunjung di situ.

Pada sebelah petangnya pula, rombongan MOA berpeluang merentasi hutan yang mempunyai pelbagai jenis spesies pokok antaranya pokok tualang atau di Sabah dikenali sebagai ‘manggaris’ malah penulis turut berpeluang melihat labah-labah yang mempunyai tanduk.

Di waktu malam pula, rombongan MOA tidak melepaskan peluang mencuba nasib untuk melihat pelbagai spesies haiwan liar yang terdapat di hutan Maliau Basin melalui aktiviti “Night Safari”. Antara haiwan yang kelihatan ialah kancil, kucing batu, tupai terbang dan musang.

 

KEROPOK AMPLANG

Keesokannya seawal pukul 6 pagi, rombongan MOA meninggalkan Maliau Basin menuju ke PPK Kalabakan melalui laluan jalan raya berbatu tidak berturap menyebabkan kelajuan kenderaan hanya mampu pada kadar 60 hingga 90km/jam.

Sekitar pukul 11 pagi, rombongan tiba di PPK Kalabakan dan meluangkan masa hampir 30 minit sebelum melawat perusahaan keropok amplang yang diusahakan oleh Kasmah Basiran, 63, di Kampung Marotai, Besar Kalabakan.

Kasmah membawa rombongan MOA melihat bagaimana proses menghasilkan keropok amplang bermula daripada menguli tepung, memotong tepung secara manual sebelum dimasukkan ke dalam mesin untuk dimasak.

Dari Kampung Marotai, destinasi seterusnya ialah bertemu usahawan yang mendapat bimbingan dibawah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) di Kampung Muhibbah, Tawau.

Rombongan turut melihat produk yang dihasilkan oleh usahawan yang terlibat antaranya penghasilan mi kuning kering, kerepek ubi kayu dan bakeri.

 

RUMPAI LAUT

Destinasi terakhir ialah Semporna yang terletak kira-kira 110 kilometer dari Tawau. Di Semporna destinasi tinjauan mesra yang terakhir ialah ke Pulau Ligit-Ligitan dan Kampung Gelam di Pulau Bum-Bum yang mengusahakan rumpai laut di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang menerusi PPK Semporna.

Menurut Ketua Pengarah LPP Azulita Salim, aktiviti pengeluaran rumpai laut di Semporna bermula pada 2004 di kawasan perairan milik PPK Semporna Pulau Ligit-Ligitan seluas 250 hektar.

Beliau berkata  kualiti air laut yang sesuai, dasar laut berpasir dan mempunyai batu karang amat sesuai untuk menanam spesies rumpai laut merah yang dikenali sebagai ‘kappaphycus sp.’ dan ‘eucheuma sp.’ merupakan spesies utama yang ditanam kerana ia kaya dengan kandungan carageenan dan biopolymer marin.

“Kawasan penanaman hanya seluas 25 hektar melibatkan 41 peserta bagi 270 baris penanaman. Melalui projek ini, sehingga Julai tahun ini, PPK telah mencatatkan pengeluaran rumpai laut (kering) hampir 34,000 kg dengan nilai RM138,400,” katanya.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan