RENCANA

JIBIUS DAUSIP, WIRA GAJAH TIDAK DIDENDANG

06/11/2019 05:45 PM

Oleh Rohana Nasrah

Wartawan Bernama di Kota Kinabalu, Sabah, Rohana Nasrah menyingkap kehidupan gajah di bumi Sabah serta kebimbangan ia akan pupus sekiranya tiada langkah tegas menangani perbuatan pemburu haram membunuh haiwan ini sesuka hati mereka.

Bahagian dua daripada lima bahagian ini mengenali lebih dekat Jibius Dausip yang mempunyai pengalaman kira-kira 30 tahun menjaga kepentingan gajah Borneo di Sabah.

 

KOTA KINABALU (Bernama) -- Jibius Dausip dengan tenang memakai sarung tangan getah berwarna biru sebelum mendekati seekor gajah jantan yang berada di tengah-tengah sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Sukau, Kinabatangan.

Gajah yang dianggarkan berumur lima tahun itu dan seberat 400 kilogram dalam keadaan terduduk kerana dipercayai kaki kanan di bahagian depannya mengalami kecederaan.

Cuaca mendung dan disusuli hujan renyai pada petang itu tidak menghalang Jibius untuk menempuh perjalanan lebih dua jam dari Pusat Sementara Penempatan Latihan dan Rawatan Gajah di Sepilok, Sandakan, untuk ke ladang kelapa sawit berkenaan.

Bertugas sebagai Penolong Pengurus Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU) Sabah dan dengan pengalaman hampir 30 tahun mengendalikan haiwan liar itu, Jibius menghampiri gajah tersebut dan mengusap kepala spesies mamalia berbadan besar itu.

Beliau yang terkenal dengan gelaran “guru” dalam kalangan anggota unit WRU dan badan bukan kerajaan (NGO) kerana usaha memulihara spesies gajah Borneo seolah-olah ‘bercakap’ dengan gajah itu untuk meminta kebenaran memeriksa lanjut bahagian kaki yang cedera.

 

TIGA DEKAD JAGA, SELAMATKAN GAJAH BORNEO

Pengalaman menjadikan tugas yang dilaksanakan Jibius kelihatan mudah. Gajah itu tidak langsung bertindak agresif malah membiarkan Jibius menyentuh kaki yang cedera.

Gajah jantan berkenaan kemudian dipindahkan ke Santuari Gajah Borneo (BES) di Kampung Sentosa Jaya, Kinabatangan, kira-kira 345 kilometer dari Kota Kinabalu untuk pemeriksaan lanjut menggunakan mesin x-ray bagi mengenal pasti punca sebenar kecederaan kaki gajah itu.

“Kita belum pasti jenis kecederaan sama ada tulang (kakinya) retak ataupun patah. Selepas pemeriksaan x-ray nanti baru kita akan dapat pastikan,” katanya kepada Bernama yang turut menyertai misi menyelamat gajah jantan itu di ladang kelapa sawit berkenaan, baru-baru ini.

Turut serta dalam misi berkenaan ialah dua renjer WRU iaitu Leonorius Lojivis dan Clement Madius serta seorang pemandu lori Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Donynisius Thomas. Mereka disertai dua orang anggota NGO, Sudirman Sawang dari Seratu Aatai dan Azman Abdullah dari HUTAN , selain beberapa pekerja ladang kelapa sawit terbabit.

Menurut Jibius, pihak pengurusan ladang kelapa sawit itu sentiasa memberi kerjasama erat kepada JHL Sabah, WRU dan badan NGO berkaitan dengan memberi maklumat sekiranya ada ternampak kehadiran kumpulan gajah liar di dalam ladang termasuk memberi bantuan dalam misi menyelamat haiwan berkenaan.

 

GALAS PERANAN DI BES KINABATANGAN

Jibius yang turut menggalas peranan sebagai Pegawai Penguasa BES berkata gajah liar diselamatkan dari ladang sawit itu serta dari kawasan lain akan ditempatkan di BES supaya kesemua gajah terbabit mendapat rawatan dan perlindungan secukupnya.

Pada masa ini terdapat tiga gajah liar yang diselamat dan ditempatkan di BES iaitu seekor gajah betina dinamakan Limbah berumur kira-kira 40 tahun, gajah jantan dinamakan sebagai Gambaron berusia 25 tahun dan seekor anak gajah betina berumur satu tahun yang dinamakan Nita.

Terletak di Lot 8 Santuari Hidupan Liar Kinabatangan, BES berkeluasan 25 hektar itu dibangunkan oleh JHL Sabah dengan kerjasama Majlis Minyak Sawit Malaysia dan Borneo Conservation Trust serta rakan-rakan kongsi (Zoo Asahiyama, Saraya, Hunting World, Tokio Marine, NTT Data Kirin, Taiseh and Yusen Logistics) sebagai sebahagian daripada tindakan susulan untuk menyokong pelaksanaan Pelan Tindakan Gajah.

Jibius berkata terdapat enam gajah jantan yang kini ditempatkan di Pusat Penempatan Latihan dan Rawatan Gajah sementara di Sepilok, Sandakan, juga akan dipindahkan di BES selepas menerima rawatan khusus dan dipersiapkan untuk dihantar ke santuari berkenaan.

Gajah-gajah tersebut masing-masing dinamakan sebagai Dumpas, Danum, Adun, Tunku, Budak serta Bani berumur antara enam hingga satu tahun dan kesemua gajah ini diselamatkan pada 2015, 2016 dan 2017, katanya.

Menurutnya, nama-nama gajah itu kebanyakannya diambil sempena nama tempat hidupan liar tersebut diselamatkan.

Antara rutin penjagaan gajah yang dilakukan Jibius bersama anggota WRU lain di pusat penempatan sementara itu termasuk memastikan kebersihan fizikal gajah dan persekitarannya serta menyediakan makanan selain melatih haiwan liar berkenaan.

Aktiviti gajah dilepas bebas untuk latihan dan bermain di kawasan tersebut dibahagikan kepada dua sesi iaitu pada sesi pagi bermula seawal pukul 9.30 pagi hingga 11.30 pagi dan sesi petang pada pukul 2 petang hingga 4 petang.

Bagaimanapun, Jibius memberitahu pusat penempatan latihan dan rawatan gajah sementara di Sepilok itu tidak dibuka untuk kunjungan orang awam atas faktor kesihatan dan keselamatan.

 

CINTA GAJAH

Berkongsi pengalaman menjinakkan gajah, Jibius berkata, sememangnya ada kaedah dan teknik tersendiri untuk menjinakkan haiwan liar itu. Ini termasuk perlu sentiasa meluangkan banyak masa bersama haiwan berkenaan bagi mewujudkan rasa keyakinan serta kepercayaan antara gajah dan manusia.

Menurut Jibius yang juga Pembantu Hidupan Liar JHL Sabah berkata, beliau adalah antara kakitangan pertama diterima bertugas di Unit Gajah JHL pada 1991 dan seterusnya mengetuai unit itu.

Tanpa berfikir panjang, beliau menerima tawaran berkenaan selepas melihat situasi di mana jabatan ketika itu kekurangan kakitangan dalam aspek penyelamatan gajah selain wujud keadaan mendesak berikutan banyak gajah diselamatkan dan ditempatkan di Sepilok pada tahun tersebut mati.

“Perasaan sedih timbul selepas melihat keadaan itu, selain saya sedar jika tidak ada satu orang pun tahu mengendalikan gajah, siapa lagi yang boleh diharapkan untuk menjaga gajah-gajah tersebut daripada terus mati.

“Bagi saya, gajah adalah haiwan paling istimewa. Apabila kita sudah biasa dengan gajah, kita akan tahu gelagatnya dan ini menimbulkan rasa sayang dan cintakan haiwan ini,” katanya.

Sepanjang bertugas, Jibius turut tidak terlepas berdepan peristiwa menyedihkan apabila ada antara gajah liar yang cuba diselamatkan tetapi tidak berjaya susulan kecederaan teruk dialami sukar untuk sembuh dan menyebabkan ia mati.

“Kita sudah berusaha sedaya upaya menyelamatkannya tetapi tidak berjaya. Perasaan memang sedih apatah lagi jika kita sudah menjaga dan merawat gajah itu sehabis baik berbulan-bulan dengan harapan ia boleh meneruskan hidup,” katanya.

 

KONGSI PENGALAMAN, KEPAKARAN DENGAN PELAPIS

Tugas dan tanggungjawab Jibius mungkin tidak sehebat jika dibandingkan dengan profesion lain, namun, komitmen serta kesungguhannya memastikan kelangsungan habitat gajah Borneo di Sabah seharusnya diberikan pujian.

Pengalaman berharga yang ada pada diri anak kelahiran Tambunan dan dari suku kaum Dusun ini perlu dimanfaatkan supaya ada yang menjadi pelapis kepada apa yang dilakukannya untuk hidupan liar itu.

Bagi Jibius, bukan pujian atau penghargaan diharapkannya, tetapi beliau mahu penjagaan ekosistem gajah Borneo yang dianggapnya seperti ‘keluarga’ sendiri diperkemaskan supaya khazanah berharga Sabah itu terus terpelihara.

Jibius berkata pengalaman dan pengetahuannya dalam aspek penyelamatan gajah akan dikongsikan kepada kakitangan baharu WRU sebelum beliau bersara dalam tempoh empat tahun lagi.

“Apa yang saya lakukan sekarang ini adalah memberi tunjuk ajar kepada kakitangan baharu, sekurang-kurangnya apabila saya bersara nanti, sudah ada dalam kalangan mereka yang boleh mengambil alih tempat saya sekali gus meneruskan penjagaan berkualiti untuk gajah Borneo,” katanya dengan penuh harapan.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan