RENCANA

GAJAH BORNEO: PERLU SITUASI MENANG-MENANG

11/11/2019 07:32 PM

Oleh Rohana Nasrah

Wartawan Bernama di Kota Kinabalu, Sabah, Rohana Nasrah menyingkap kehidupan gajah di bumi Sabah serta kebimbangan ia akan pupus sekiranya tiada langkah tegas menangani perbuatan pemburu haram membunuh haiwan ini sesuka hati mereka.

Bahagian 3 dari 5 bahagian ini mengenai gajah liar yang terpaksa masuk ke kampung untuk mencari makan kerana habitat semula jadi yang diterokai manusia.

 

KOTA KINABALU (Bernama) -- Insiden gajah Borneo masuk ke Kampung Sukau bukan perkara baru, malah masyarakat kampung menganggap ia sebagai satu rutin untuk mereka mengusir haiwan liar itu yang muncul untuk mencari makanan.

Kampung Sukau terletak di hilir Kinabatangan, kira-kira 380 kilometer dari Kota Kinabalu. Meskipun kawasan hutan berhampiran kampung ini sememangnya habitat semula jadi gajah Borneo, namun ada bahagian yang sudah diterokai untuk dijadikan ladang kelapa sawit!

Justeru tidak hairanlah jika ada gajah liar yangmerayau-rayau hingga masuk ke dalam kampung yang penduduknya, kebanyakan dari suku kaum Sungai, untuk kelangsungan hidup.

 

PERTEMBUNGAN MANUSIA DAN GAJAH

Kalau hendak diikutkan terdapat pelbagai kisah pertembungan penduduk kampung dengan haiwan yang dianggap sebagai harta berharga bumi Sabah ini memandangkan bilangannya yang semakin berkurangan akibat tindakan kejam pemburu haram.

Di sekitar hutan Kampung Sukau yang juga terdapat santuari hidupan liar, dianggarkan terdapat antara 250 hingga 300 ekor gajah Borneo.

Antaranya ialah kisah yang dikongsi Shafie Abdul Karim, 33, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan anak kelahiran Kampung Sukau.

Beliau berdepan detik cemas itu apabila seekor gajah jantan liar yang terlepas masuk ke dalam kebun kelapa sawit bapanya pada suatu malam awal 2018 sekitar pukul 8:30 malam, dengan tiba-tiba mahu menyerang beliau.

Gajah itu dianggarkan setinggi 2.74 meter bertindak demikian selepas menyedari kehadirannya di kebun berkenaan.

 

BAGAI DETIK TERAKHIR

Menurut Shafie pada malam kejadian, jiran sebelah rumahnya menelefonnya dan memberitahu ada gajah liar masuk ke kebun kelapa sawit bapanya.

“Ketika itu, saya baru sahaja pulang dari kerja. Saya makan malam terlebih dahulu sebelum bersiap untuk memeriksa keadaan kebun. Saya masuk ke kebun bapa saya melalui kebun jiran kerana kawasan (laluannya) lebih luas, " katanya kepada Bernama.

Kejadian itu sememangnya memberi kesan mendalam terhadap diri Shafie kerana dia langsung tidak pernah menyangka akan menghadapi situasi secemas itu.

"Saya ingatkan malam itu detik terakhir hidup saya memandangkan gajah jantan tersebut sudah berdiri tepat di depan saya, " kata Shafie sambil menambah, walaupun sudah lebih setahun kejadian itu berlaku namun ia masih tetap segar dalam ingatannya.

Perasaan trauma terhadap haiwan liar itu juga masih menebal dalam dirinya sehingga ke hari ini meskipun dia pernah bertembung beberapa kali dengan gajah liar sebelum ini. 

 

TERHIDU BAU GAJAH

Menyambung kisah hampir dipijak gajah jantan itu, Shafie berkata dia ke kebun itu bersendirian dan sebaik sahaja masuk ke dalam kebun ayahnya, dia terhidu bau gajah yang kuat.

Dengan menggunakan lampu suluh, dia juga dapat melihat kesan tapak kaki gajah di parit bersebelahan antara kebun jiran dan bapanya. Kesan tapak kaki gajah itu masih baru.  Sejurus Shafie menghalakan lampu suluh ke satu sudut kebun, dia ternampak kelibat seekor gajah.

"Pada mulanya gajah itu tidak sedar saya ada di situ. Bila saya menepuk tangan untuk menghalaunya, tiba-tiba gajah itu meluru ke arah saya. Gajah itu bubut (kejar) saya.

"Saya panik dan berlari.  Saya berhenti dan sembunyi di belakang pokok kelapa sawit. Kemudian berlari lagi dan sembunyi di belakang pokok yang lain. Kaki saya tersadung, sebelum terjatuh berhampiran parit kecil.

“Dalam hati saya, matilah. Mana sudah saya mahu lari ini. Saya semakin cemas. Saya berasa nyawa saya akan berakhir di situ kerana macam sudah tiada harapan untuk menyelamatkan diri. Tetapi saya terus berusaha dengan berguling ke arah parit kecil itu,” katanya.

 

SEMPAT MENGELAK

Ketika terbaring di parit kecil, Shafie berkata, dia menyalakan semula lampu suluh untuk mengetahui keadaan sekeliling dan dia terkejut apabila gajah itu berada di hadapan sambil mengangkat kaki untuk memijak badannya.

Tanpa berlengah, Shafie bingkas bangun dan dengan menggunakan sepenuh tenaga, berlari sepantas mungkin menuju ke rumahnya yang terletak tidak jauh dari kebun tersebut.

“Saya sempat mengelak daripada dipijak. Saya berlari dalam keadaan menangis dan ketakutan. Selepas beberapa hari peristiwa itu berlaku, baharu saya memberanikan diri untuk pergi ke kebun.

“Sekarang, kalau saya mahu ke kebun, saya akan pastikan terlebih dahulu, ada atau tidak gajah di situ. Jika saya ada terhidu bau gajah, saya akan terus pulang ke rumah. Saya masih trauma dengan kejadian itu,” katanya.

 

TANAMAN PENDUDUK MUSNAH

Sementara itu, Ketua Kampung Menanggol, Sukau, Ibnoh Kiju berkata, penduduk kampung sebenarnya tidak mempunyai masalah dengan kehadiran gajah.

Cuma apa yang menjadi kerisauan mereka apabila tanaman pertanian termasuk kebun kelapa sawit musnah akibat dimakan oleh haiwan tersebut.

Menurut beliau, penduduk kampung mengeluarkan modal besar sehingga mencecah ribuan ringgit bagi menanam dan menguruskan pertanian mereka, tetapi dengan sekelip mata, terpaksa menanggung kerugian kerana kerosakan pagar dan juga tidak memperoleh hasil tanaman.

“Penduduk kampung sudah berusaha memasang pagar di kebun mereka, masalahnya, meskipun kumpulan gajah itu sudah dihalau, tetapi dua tiga minit kemudian haiwan itu akan datang semula dan merosakkan pagar untuk masuk ke kebun dan memakan tanaman.

“Kos membuat pagar dan peralatannya memang mahal dan boleh menjangkau sehingga RM4,000. Belum lagi kerugian tanaman. Sekarang ini, satu anak pokok kelapa sawit dianggarkan RM16. Bayangkan kalau tanaman seluas tiga hingga lima ekar dimakan oleh gajah.

“Ia jumlah yang besar bagi penduduk kampung yang hanya menjalankan aktiviti pertanian. Mereka tidak ada modal pusingan sebab tidak dapat hasil akibat kerugian,” katanya, dan menambah, 80 peratus daripada penduduk di kampung itu adalah pekebun kecil yang mengusahakan kelapa sawit dan buah-buahan.

 

SITUASI MENANG-MENANG

Ibnoh juga tidak menafikan, di sebalik berdepan dengan ancaman gajah liar, haiwan itu juga menjadi antara nilai tarikan pelancong tempatan dan luar negara yang berkunjung ke kampung itu.

Sektor pelancongan juga merupakan antara sumber pendapatan penduduk setempat.

Bagaimanapun, Ibnoh berkata, selain jabatan kerajaan dan badan bukan kerajaan berkaitan, penggiat pelancongan di situ juga diharap dapat memberi kerjasama kepada penduduk kampung dengan memberi bantuan menyediakan peralatan pagar bagi meringankan beban pekebun khususnya yang tanaman mereka dirosakkan gajah liar itu.

Ibnoh turut optimis kawasan kampung dan sekitarnya mampu menjadi contoh dalam aspek hidup berharmoni dengan hidupan liar seperti gajah, sekiranya semua pihak berganding bahu dan mencapai kesepakatan selain mewujudkan situasi menang-menang dalam usaha menangani konflik manusia dan gajah.

“Kami biasa melihat gajah dan suka akan haiwan ini. Kanak-kanak di kampung ini juga sentiasa teruja sekiranya melihat kehadiran kumpulan gajah. Di kampung ini, sebetulnya tiada bermusuh dengan gajah. Kami tiada kacau gajah dan kami tiada pun membunuh gajah di sini.

“Tetapi, ada baiknya, jika pihak kerajaan termasuk pengusaha pelancongan di sini mempunyai inisiatif membantu pekebun kecil yang terjejas. Ini bagi memastikan aktiviti pertanian yang menjadi kegiatan utama penduduk kampung ini dapat terus diusahakan dan habitat semula jadi gajah dapat dipelihara,” katanya.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan