RENCANA

UZBEKISTAN TINGGAL KENANGAN

08/11/2019 11:34 AM

Oleh Sakini Mohd Said

SAMARKAND (Bernama) -- Sebaik sahaja tayar pesawat penerbangan HY554 mencecah landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Tashkent, Uzbekistan, tepukan gemuruh bergema di seluruh ruang kabin sambil diiringi lagu rancak negara berkenaan.

Bertepuk tangan difahamkan sering dilakukan penumpang Uzbeks sebagai melahirkan rasa puas hati mereka atas kelancaran pendaratan selepas lapan jam penerbangan dari Kuala Lumpur.

Penulis berasa amat bertuah dapat menjejakkan kaki ke negara yang kaya dengan tradisi dan kebudayaan setelah diberi peluang membuat liputan 12th International Music Festival 'Sharq Taronalari' yang diadakan di Registan Square, Samarkand, baru-baru ini.

Malah, beberapa orang penumpang Uzbeks turut gembira apabila melihat rakyat Malaysia berada dalam pesawat Uzbekistan Airways untuk berkunjung ke negara mereka.

Ketika menunggu bagasi, penulis sempat bersembang dengan tiga wanita Uzbeks berusia sekitar lewat 50-an yang begitu teruja berkongsi pengalaman bercuti di Malaysia. 

Banyak yang dibualkan termasuk keseronokan membeli-belah, perihal makanan dan juga kejernihan air laut Pulau Langkawi yang turut menjadi destinasi percutian mereka sepanjang memanfaatkan percutian musim panas di luar Uzbekistan. 

Kerancakan perbualan bagaimanapun terganggu apabila menyedari beg hitam saya yang didaftar masuk masih belum kelihatan meskipun sudah hampir sejam menunggu.  Wanita Uzbeks tadi bersama beberapa penumpang lain sudah lama mendapat beg mereka. 

Begitu juga wartawan foto Bernama, Mahayudin Mohamad yang turut sama mengikuti liputan ini sudah lama mengambil bagasi dan berehat di satu sudut ruang lapangan terbang sedangkan kami mendaftar masuk beg bersama-sama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Mana pulalah beg aku ini. Takkan hilang, bukannya transit,” getus hati kecil saya. Perasaan semakin cemas apabila mesin pengagihan beg mula berhenti. 

 

“Kami minta maaf. Semua beg ada di sini dan tak ada lagi beg dari HY554,". Mendengar kata pekerja lapangan terbang itu, terus lenyap rasa keterujaan yang saya rasakan sebelum ini. 

Jarum jam sudah menunjukkan pukul 11.15 malam dan kebanyakan penumpang sudah lama keluar dari dewan menuntut bagasi. Cuma tinggal saya bersama tiga orang lagi penumpang yang ke hulu ke hilir masih mencari-cari beg.  

Seorang penumpang dari Singapura sudah mula bising. “Teruk betul, teruk betul. Saya perlu ke Tajikistan esok dan sekiranya saya tak dapat beg, tak mungkin saya boleh pergi ke sana."

Bagaimanapun yang peliknya, ada beberapa buah beg dari pesawat yang kami naiki tidak dituntut tetapi satu pun bukan milik kami.

Keadaan ini membuatkan saya teringat perbualan bersama dengan Mahayudin semasa di KLIA mengenai insiden kehilangan beg dalam kalangan media yang membuat liputan di luar negara.

Bagaimanapun, ketika itu saya tidak ambil penting sangat insiden tersebut kerana wartawan foto ini menyatakan ia biasanya berlaku disebabkan masalah transit. 

Tambahan, penerbangan saya ini adalah jenis penerbangan terus dari KLIA ke Tashkent atas nasihat Kedutaan Uzbekistan di Kuala Lumpur.

“Kami sudah periksa dan beg anda tidak ada di sini. Maaf, masalahnya bukan di pihak kami tetapi di lapangan terbang anda. Anda tidak mempunyai pilihan selain daripada menunggu beg anda sampai dengan penerbangan yang berikutnya, " kata seorang pekerja yang bertanggungjawab terhadap proses pencarian beg kami.

Ya, memang tidak dinafikan bahawa ketika penerbangan saya ke Tashkent pada Jumaat 23 Ogos lepas, rangkaian sistem KLIA berhadapan masalah kegagalan fungsi beberapa sistem.

Gangguan itu menyebabkan kebanyakan proses terpaksa dibuat secara manual sekali gus menyebabkan proses daftar masuk agak lama selain penerbangan yang sepatutnya pada jam 3.25 petang tertunda selama 3 jam bagi membolehkan urusan semua penumpang selesai.

 

Mahayudin sudah memberitahu saya untuk bersiap sedia membeli pakaian sepanjang seminggu di sana. Ini memandangkan adalah mustahil untuk saya menanti penerbangan seterusnya kerana ia hanya dijadualkan pada Khamis 29 Ogos iaitu tarikh kami dijadualkan berlepas balik ke Kuala Lumpur.

Untuk pengetahuan, penerbangan terus ke Tashkent dari KLIA (juga sebaliknya) menggunakan pesawat Uzbekistan Airways hanya ada sekali seminggu. 

Rasa cemas mengingatkan saya hanya ada AS$600 dalam tangan, tambahan tiada kad kredit. Wang yang saya ada mungkin tidak mencukupi kalau saya perlu beli pakaian untuk seminggu dan untuk belanja makan dan minum,

Apa yang berlaku ini mengingatkan saya kepada pengalaman hampir terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London semasa transit di sana selepas membuat satu tugasan di Cannes, Perancis dengan duit pun hanya RM300.

“Tak cukup duit balik Malaysia, kad kredit pun tidak ada. Kali ini, inisiden masih di airport tetapi beg hilang…. aduhai nasib,” saya mengeluh sendirian.

Ketika hendak mengisi borang aduan, seorang pegawai memberitahu mereka menjumpai sebuah beg dan memberi peluang kepada saya melihat beg itu sebelum memanggil yang lain.  Gembira tidak terhingga kerana beg itu memanglah milik saya, lantas spontan saya memeluk beg itu dengan penuh rasa syukur. Malang untuk tiga penumpang lain, beg mereka memang tidak ada.

 

Selepas tiga jam tersadai di lapangan terbang, penganjur terus membawa kami ke hotel untuk berehat. Kami akan hanya bertolak ke Samarkand, iaitu bandar kedua terbesar Uzbekistan pada keesokan harinya.

Untuk ke Samarkand memerlukan lima jam menggunakan pengangkutan darat dan tiga jam dengan Afrosiyab atau keretapi laju. Seronoknya apabila pihak penganjur memberi kami peluang menaiki Afrosiyab!

Selepas ujian kehilangan beg, saya ingat selepas ini dapat fokus pada tugas membuat liputan tetapi ada ujian lain yang menanti saya dan Mahayudin di Samarkand, bandar yang kaya dengan khazanah sejarah laluan sutera dan diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO ini.

"Kamu berdua tak boleh masuk. Kamu tak ada passport, " kata pegawai (dalam bahasa Inggeris) yang menjaga pintu masuk ke Registan Square, monumen bersejarah di Samarkand yang menjadi lokasi berlangsungnya festival muzik sangat berprestij ini. 

Biarpun kami menunjukkan kad jemputan, kami tetap tidak dibenarkan masuk. Pemeriksaan keselamatan memang agak ketat kerana festival itu turut dihadiri Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev dan beberapa tetamu kenamaan lain. 

Pasport kami sebenarnya disimpan pihak hotel kerana ada urusan yang belum selesai. Pihak penganjur menjadi panik lalu cuba mencarikan kenderaan untuk membawa kami balik ke hotel untuk mengambil passport. Ketika itu sudah pukul 4.30 petang dan sebolehnya kami perlu berada di lokasi festival sebelum pukul 5.30 petang.

Penganjur terpaksa menahan mana-mana kenderaan di tepi jalan dan nasib baik ada yang mahu membawa kami ke hotel. Namun, perjalanan balik ke Registan Square dari hotel yang sepatutnya mengambil masa 17 minit menjadi lambat apabila jalan utama ke sana sudah mula ditutup. 

Kami memilih untuk berjalan kaki yang dianggarkan sejauh 1.5 kilometer dan mengambil masa 45 minit dalam keadaan cuaca sangat panas terik memandangkan Uzbekistan pada masa itu adalah penghujung musim panas. 

 

“Aku tawakal sahaja. Kalau tak dapat masuk juga, nak buat macam mana,” kata Mahayudin semasa kami tengah menapak. 

Bagaimanapun, nasib memihak pada kami apabila sebuah kereta peronda polis yang kebetulan lalu di situ berhenti dan terus membawa kami ke pintu masuk Registan Square selepas hampir 20 minit berjalan kaki. 

“Wah, cantiknya,” bisik hati kecil saya sebaik sahaja berjaya masuk ke dalam Registan Square yang menggabungkan tiga bangunan madrasah - Ulugbek, Sher-Dor dan Tillya-Kari.

Rasa kagum semakin memuncak sebaik berlangsungnya persembahan yang dimulakan dengan lagu 'Samarkand’ memenuhi seluruh sudut ruang bersejarah ini. Dengan susunan indah alunan muzik kumpulan orkestranya, pihak penganjur bijak memainkan penataan cahaya lampu dalam setiap persembahan menjadikan festival ini terasa sungguh hebat. 

Pemilihan warna cahaya lampu dan teknik pancarannya yang memenuhi ruang secara berlainan bagi setiap persembahan ditambah keunikan seni bina bangunan warisan purbakala ini menjadikan ada kawan saya di Malaysia menganggap ia hanyalah imej 3D ketika saya menghantar gambar kepadanya. 

Paling menarik, apabila persembahan pemuzik daripada pelbagai negara yang menyertai Sharq Taronalari diadakan di ruang tengah antara tiga madrasah tersebut dengan hanya berbumbungkan langit bersama kerlipan bintang di udara. 

Keunikan ini menjadikan Sharq Taronalari yang merupakan platform memelihara muzik tradisional khususnya negara timur dengan menghimpunkan pemuzik pelbagai negara tidak terasa bosan malah sangat istimewa.

 

Dengan pas media yang ada, saya mengambil peluang memasuki ruang berkumpul para pemuzik di madarasah Sher-Dor. Sekali lagi membuatkan saya terpukau. 

Bukan sahaja dapat melihat secara dekat keunikan seni bangunan lama ini tetapi suasana di dalamnya yang menghimpunkan kumpulan muzik pelbagai negara lengkap berpakaian baju serta instrumen tradisional negara masing-masing, terasa seolah-olah berada di zaman purbakala. 

Apatah lagi, monumen bersejarah ini merupakan nadi penting Samarkand dalam sejarah laluan sutera sebagai antara tempat perdagangan dan penyebaran ilmu.

“Sukar untuk menggambarkannya. Hanya mereka yang berpeluang berada di sini yang dapat melihat keunikan festival ini. Kami berasa bertuah dapat membuat persembahan di sini, " kata Ben Wright, dari kumpulan muzik USA, Henhouse Prowlers.

Walaupun diuji dengan pelbagai cabaran sebelum sampai ke festival ini, perjalanan ini membuahkan pengalaman sangat berharga bagi diri saya.  

Hayr Sharq taronalari - 2019. Umid qilamizki 2021 - yilda yana ko'rishamiz. Selamat Tinggal Sharq Taronalari - 2019. Semoga bertemu lagi pada 2021.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan