RENCANA

RAJA RIZA SEMAI NILAI SUKARELAWAN SEDARI KECIL

13/11/2019 11:31 AM

Oleh Tengku Faezah Tengku Yusof

Datin Raja Riza Shazmin Raja Badrul Shah adalah seorang peguam dan memiliki firma guamannya sendiri sejak 14 tahun lalu. Memperoleh ijazah dalam Undang-Undang (LLB Hons) dari University Of Glamorgan Wales United Kingdom, pengkhususan dalam undang - undang Perbankan & Komersial dan Litigasi.

Beliau yang juga mempunyai kelayakan dalam Diploma In Syariah Legal practice dari IIUM ialah Naib Presiden II dan Penasihat Undang-Undang MERCY Malaysia dan tulang belakang dalam penubuhan MERCY Malaysia United Kingdom (MMUK).

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Seawal usia lima tahun Datin Raja Riza Shazmin Raja Badrul Shah tidak seperti kanak-kanak lain yang hanya tahu bermain dan bersuka ria sepanjang hari.

Sebaliknya zaman kanak-kanaknya dimanfaatkan mempelajari erti kerendahan hati dan ihsan. Minatnya melakukan kerja-kerja amal mula bercambah seperti menjual buah epal dari rumah ke rumah bagi tujuan kebajikan.

Anak tunggal kepada Dr Raja Badrul Shah Raja Shah Kobat dan Fara Majmin Datuk Abu Bakar ini dilahirkan dan mendapat pendidikan awal di Ghent, Belgium, berikutan ayahnya menyambung pengajian dalam bidang pertanian peringkat Sarjana dan Ijazah Kedoktoran Falsafah (PhD) selama tujuh tahun sebelum kembali ke Malaysia ketika usianya semakin meningkat remaja.

Sifat rendah diri wanita ini terserlah apabila beliau cuma mahu dipanggil namanya serta melarang sesiapa menggelarnya ‘Datin’ tidak kira dalam kalangan sahabat, rakan sekerja mahupun yang baru mengenali dirinya.

Jika ada yang memanggilnya dengan panggilan itu, beliau tidak menyahut dan berpendapat orang tersebut tidak memaksudkan dirinya. 

Ketika ditemui Bernama di ibu pejabat MERCY Malaysia baru-baru ini, Raja Riza berkongsi kenangan ketika zaman kanak-kanaknya di mana beliau terlibat secara langsung dengan kerja amal serta bergiat aktif dengan kerja kesukarelawan.

“Sekolah di Belgium memupuk semangat kesukarelawan dan jati diri yang kuat dalam diri setiap kanak-kanak sejak kecil sehingga ia tersemat rapi dalam diri.

“Saya masih ingat ketika itu, guru akan berkongsi cerita sambil menunjukkan gambar tertentu. Kami kanak-kanak kecil akan diberikan sebuah baldi bagi membantu mengumpul sumbangan,” katanya. 

 

AKTIF DALAM MISI KEMANUSIAAN

Meskipun bergelar peguam, isteri, dan ibu pada masa yang sama, keadaan ini tidak menghalang Raja Riza untuk terus melibatkan diri secara aktif dalam misi kemanusiaan dengan menyertai MERCY Malaysia bermula pada 2003.

Menurut beliau, misi kemanusiaan pertamanya ke Acheh merupakan detik perubahan dalam hidupnya serta mengubah perspektifnya terhadap kehidupan.

Tragedi tsunami yang melanda Acheh pada Disember 2004 dan mengorbankan sekurang-kurangnya 280,000 orang mencetuskan keinsafan mendalam dalam dirinya, lantas beliau mengambil keputusan untuk turut serta dalam misi kemanusian ke Acheh.

 “Bau kematian masih boleh dihidu di Acheh. Ia membuatkan saya benar-benar insaf dan mengajar saya untuk lebih bersyukur, lebih menghargai, dan lebih memberi kerana saya percaya Tuhan akan membalas kebaikan dengan kebaikan.

“Ketika itu saya menolong mengedarkan makanan dan bantuan. Kami juga terpaksa berurusan dengan banyak pelawat yang datang untuk menawarkan bantuan dan melawat rumah tahan seismik yang kami bina,” katanya.

Beliau turut berkongsi pengalaman pilu apabila melihat seorang anak kecil perempuan dalam lingkungan umur lima atau enam tahun yang terselamat dari tragedi tsunami, duduk bersendirian tanpa ditemani sesiapa.

“Saya menghampirinya, dengan niat untuk menenangkannya, tetapi hati saya menjadi sebak ketika anak kecil itu menceritakan saat-saat getir terpisah dengan ibu bapanya yang hilang sekelip mata ditelan tsunami.

“Saya terus terkenangkan ahli keluarga dan anak-anak di rumah dan ini membuatkan  saya lebih menghargai apa yang kita ada sebelum kehilangannya,” katanya.

 

INGATAN YANG TERSEMAT DI HATI

Tragedi Acheh itu membuatkan Raja Riza lebih nekad untuk terus melibatkan diri dalam bidang kemanusiaan dan peluang itu datang sekali lagi ketika Siklon Nargis yang melanda Myanmar pada tahun 2008. 

Siklon Nargis disifatkan sebagai taufan ke-8 paling teruk sepanjang sejarah mengorbankan sekurang-kurangnya 146,000 mangsa, memusnahkan infrastruktur, ladang dan haiwan ternakan serta mengakibatkan pencemaran sumber bekalan air.

Beliau menceritakan dengan lebih lanjut peranan MERCY Malaysia di Mynmar iaitu membantu membina klinik Ibu & Anak yang pertama seumpamanya di sebuah perkampungan terpencil terletak di Ayeyarwady Delta.

Menurut Raja Riza, klinik tersebut hanya dilengkapi kemudahan asas peralatan perubatan dan keluasannya cuma sebesar sebuah klinik desa di Malaysia.

Setelah mengharungi perjalanan yang panjang selama hampir lima jam dengan menaiki van dari Yangon untuk sampai ke lokasi, beliau mendapati sekumpulan besar wartawan dan penduduk kampung sudah berkumpul menunggu kedatangan rombongannya. 

“Beberapa wanita sekitar umur 20-an dan ada di kalangan mereka yang hamil kemudiannya menerpa ke arah saya sejurus saya keluar dari van, menangis kegembiraan sambil menunjuk ke arah klinik dan anak mereka,” katanya. 

Tanpa memahami sepatah perkataan yang keluar daripada mulut mereka, Raja Riza terus membalas pelukan mereka sambil mengalirkan air mata.

Dengan bantuan jurubahasa yang datang kemudiannya, mereka menyatakan rasa berterima kasih kepada MERCY Malaysia yang menyediakan tempat yang selamat dan selesa untuk melahirkan anak serta mendapat bantuan perubatan buat bayi mereka. 

 

GUNA KEPAKARAN SEBAGAI SEORANG PEGUAM 

Selain itu, Raja Riza turut memanfaatkan kepakarannya dalam bidang undang-undang dan tadbir urus untuk membantu MERCY Malaysia.

"Sumbangan saya adalah untuk membantu pertubuhan menyusun deraf dasar dan Prosedur Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) dalam langkahnya ke arah transparensi dan tadbir urus yang baik.

“Pada ketika itu memang tak ramai golongan peguam yang terlibat sebagai sukarelawan. Ia adalah cabaran bagi saya untuk mengkaji dengan lebih mendalam berkenaan aspek International Humanitarian Law (IHL).

"Saya perlu banyak membaca rujukan, buku dan artikel dari negara Barat supaya lebih faham. Saya juga menyertai persidangan serta seminar, antaranya di Geneva, London dan Bangkok untuk belajar lebih lanjut tentang IHL dan isu yang berkaitan.

"Di samping menyelia isu perundangan dan pematuhan, saya turut menyelia jabatan kutipan derma dan acara. Ia adalah satu tugas di belakang tabir yang ramai orang tak nampak prosesnya, tetapi ia sama penting dengan kerja di barisan hadapan sendiri, " tambahnya. 

Setelah berkecimpung selama dua dekad dalam bidang guaman, Raja Riza bersara pada akhir 2018. Beliau kini menyandang jawatan Director of Philantrophy, Sunway Education Group (SEG) demi memperkasa generasi muda untuk lebih melibatkan diri dalam bidang kesukarelawanan serta membentuk semangat dermawan.

 

ISTERI, IBU YANG BERBAKTI

Menjadi isteri dan ibu kepada tiga orang cahaya mata berusia 21, 9 dan lima tahun adalah perkara paling utama buat diri Raja Niza.

Walaupun jadualnya kini dipenuhi dengan pelbagai komitmen sama ada kerjaya mahupun kemanusiaan, beliau masih sempat menguruskan rumah tangga dan memasak di rumah sebanyak mana yang boleh.

"Apa yang saya capai hari ini adalah hasil sokongan yang saya perolehi daripada ibu bapa saya. Mereka menyemai nilai baik dalam diri saya. Sudah tentunya juga saya memperolehi sokongan serta kasih sayang daripada suami dan anak-anak saya.

“Masa yang hilang dengan anak-anak anda tidak akan kembali. Oleh itu bagi wanita yang ingin menumpukan hidup mereka kepada perkhidmatan sosial, nasihat saya adalah untuk memberi keutamaan terhadap perkara yang paling penting buat mereka,” katanya mengakhiri sesi temubual.

 

Diterjemah dan disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA  

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan