RENCANA

KEBAYA NYONYA DICINTAI SEGENAP LAPISAN MASYARAKAT

15/11/2019 12:02 PM

Oleh Shaidathul Suhana Ros

MELAKA (Bernama) -- Seorang wanita warga emas, Emmy Sahar, 62, yang sedang tekun melakar lukisan corak sulaman di satu helaian kertas minyak, tiba-tiba gerak tangannya terhenti dek kerana terkenangkan memori manis sewaktu kecil saat dikendong ibunya pada usia dua tahun.

Waktu itu, dia masih ingat lagi pada tahun 1959 arwah ibunya, Roslalainy Marhum adalah orang yang paling gembira kerana berjaya membuka sebuah butik menjahit busana tradisional kebaya nyonya di Jalan Laksamana di sini hasil titik peluh bersengkang mata menyiapkan tempahan baju kebaya nyonya.

Lebih menarik, Roslalainy hanya mengenakan upah RM5 menjahit sepasang kebaya nyonya dan pelanggan tetapnya bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Baba Nyonya, sebaliknya terdiri juga dalam kalangan Melayu, Cina, India, Portugis dan Chetti/Malabar.

Walaupun sudah 60 tahun berlalu, Emmy masih teringat kenangan silam sewaktu beliau kecil, lebih-lebih lagi tatkala bermain dengan tiga adiknya di dalam butik yang diberikan nama Butik Toko Ce Rose sempena nama panggilan mesra ibu oleh rakan-rakannya.

Bagaikan baru berlaku semalam, kenangan apabila penat bermain pastinya Emmy akan duduk bersandar di sebelah Roslalainy untuk memerhatikan ketekunan, kegigihan dan ketelitian ibunya melukis corak sulaman bermotifkan flora dan fauna untuk dijadikan sepasang kebaya nyonya.

 

KEBAYA NYONYA SIMBOL PERPADUAN

Bagi Emmy, kebaya nyonya sering mendapat tempat dalam kalangan pelbagai kaum di negara ini kerana pakaian peranakan Cina itu membuatkan penampilan si pemakainya tampak lebih klasik dan ayu. Si  pemakai akan bertambah anggun apabila kebaya nyoya dipadankan bersama-sama kain batik sarung dan aksesori untuk melengkapkan gaya.

"Walaupun Melayu, Cina, India, Portugis dan Malabar mempunyai pakaian tradisional masing-masing, namun kebaya nyonya tetap menjadi pilihan kerana busana ini amat selesa dipakai bukan sahaja ketika perayaan, tetapi juga ketika menghadiri majlis rasmi termasuk perkahwinan, pertunangan, makan malam dan boleh juga dijadikan pakaian harian.

"Ini juga membuktikan kebaya nyonya sebagai simbol perpaduan dan kesaksamaan. Semua wanita tanpa mengira kaum boleh memakainya dan cara paling mudah untuk kita saling menghargai adalah dengan mengenakan pakaian kaum lain," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual di sini, baru-baru ini.

Emmy  berkata, beliau bersama anak bongsunya Ezrizikri Kamarazaman, 31, dengan bantuan kira-kira 60 pekerja tukang jahit menghasilkan lebih 100 corak sulaman bermotifkan flora, fauna, geometri dan abstrak buat penggemar busana tradisional itu untuk pelanggan dari dalam dan luar negara.

Katanya kebanyakan tempahan kebaya nyonya di butiknya itu diterima ketika musim perayaan dan cuti sekolah dan pelanggannya bukan sahaja dari seluruh negara, bahkan dari China, Singapura, Indonesia, Brunei, Jepun dan Los Angeles.

Menurut Emmy seawal usia dua tahun lagi dia didedahkan dengan budaya Baba Nyonya berikutan jiran-jiran di sekeliling rumah arwah ibu dan neneknya yang terletak di sekitar Bandar Hilir itu merupakan komuniti peranakan Cina yang fasih bertutur bahasa Melayu selain mengamalkan adat istiadat Melayu.

"Ramai rakan arwah ibu merupakan Baba Nyonya, dan ketika usia arwah ibu 23 tahun, dia menerima tempahan menjahit pakaian lelaki dan wanita komuniti itu bermula dengan rakan-rakan terdekat dan selepas itu berkembang kerana ramai berpuas hati dengan hasil jahitannya," katanya.

 

MINAT TERHADAP SENI SULAMAN

Emmy seorang ibu tunggal berkata sulaman pada baju kebaya nyonya yang ditawarkan di butik berusia 60 tahun itu dihasilkan secara manual mengunakan jahitan tangan bagi menghasilkan sulaman yang kemas, teliti dan berkualiti.

"Sejak kecil lagi saya diajar oleh arwah ibu untuk melukis corak sulaman kebaya nyonya dan ilmu itu saya sampaikan pula kepada tiga anak agar seni warisan itu dapat disampaikan pula kepada generasi seterusnya, rugilah jika seni kemahiran itu tidak diwarisi.

"Oleh kerana minat mendalam terhadap pakaian ini, ketika umur belasan tahun, saya mula membantu arwah ibu mengambil tempahan sedikit demi sedikit dengan mula belajar menjahit seni sulam biku dan dari  sulam biku bertambah kepada sulaman motif dan sulaman kerawang," katanya.

Menurut beliau selain kebaya nyonya sulaman menggunakan tangan, butiknya juga menghasilkan kebaya nyonya sulaman menggunakan mesin elektrik dan pelanggan diberi pilihan sama ada mahu kebaya nyonya menggunakan kain kasa rubia Jepun atau swiss voil.

"Jika corak pada kebaya nyonya itu menggunakan sulaman secara manual, ia akan disiapkan dalam tempoh kira-kira enam hingga lapan bulan, manakala bagi sulaman menggunakan mesin elektrik, kebaya nyonya itu boleh disiapkan dalam tempoh hanya seminggu. Harganya pula adalah antara RM100 dan RM300 atau RM1,000 dan RM4,500," katanya.

"Kebaya Nyonya yang disulam menggunakan mesin elektrik siap dalam tempoh singkat kerana ia hanya menggunakan tiga warna benang berbanding sulaman secara manual yang menggunakan kira-kira 24 warna benang yang akan ditukar-tukar bagi menghasilkan corak yang nampak lebih hidup," jelas Emmy.

Menurutnya Butik Toko Ce Rose menyasarkan jualan sebanyak RM100,000 pada penghujung tahun ini selain bercadang untuk meluaskan perniagaan kasut manik nyonya dalam masa terdekat.

 

WARISKAN KEPADA GENERASI KETIGA

Emmy berkata tiga anaknya tidak hanya diajar melukis corak sulaman, sebaliknya langkah demi langkah diperturunkan kepada mereka termasuk menjahit corak sulaman menggunakan pemidang kayu atau ram, sehinggalah menjadi sepasang baju kebaya nyonya.

"Jadi setiap tahun saya dan anak-anak akan bersama-sama menyediakan corak sulaman tersebut di helaian kertas minyak bersaiz A4 sebelum dilukis pada kain kasa rubia untuk dijadikan kebaya nyonya dan dari masa ke masa saya sekeluarga perlu memastikan corak itu adalah berbeza antara satu sama lain," katanya.

Ezrizikri yang berkecimpung dengan penghasilan corak sulaman sejak berusia 10 tahun, adalah generasi ketiga dalam keluarganya yang mengusahakan kebaya nyonya bersama ibunya selain dibantu oleh kakaknya Ezriawiwin, 39, dan abangnya Ezwandi, 35.

Katanya dia berasa amat bertuah dilahirkan dalam keluarga yang mahir melukis corak sulaman dan menjahit kebaya nyonya kerana dapat mewarisi seni sulaman yang hampir pupus kerana ramai tidak mempunyai ilmu menjahit sulaman.

"Insya-Allah, ilmu ini saya akan perturunkan kepada anak dan seterusnya kepada cucu supaya tidak lenyap ditelan zaman dan arus pemodenan, walaupun sekiranya mereka tidak berminat, bakat mereka tetap perlu diasah agar legasi kami dapat diteruskan.

"Walapun saya tidak dilahirkan dalam generasi Baba Nyonya atau Cina peranakan, tetapi saya dan keluarga diberikan kelebihan untuk menghasilkan kebaya nyonya sulaman dengan rekaan tersendiri," kata Ezrizikri yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Elektrik-Elektronik) dari Universiti Teknologi Malaysia.

 

KEBAYA NYONYA JADI PILIHAN

Seorang pekerja swasta Nursuhaizah Ahmad, 28, mendapati Butik Toko Ce Rose menjadi pilihan pelancong tempatan dan asing kerana lokasi butiknya sangat strategik iaitu di bangunan merah berhampiran Bangunan Stadthuys.

"Reka bentuk sulaman yang dihasilkan sangat halus dan indah, walaupun harganya agak tinggi namun sangat berbaloi dan berpuas hati kerana agak susah pada masa kini untuk mencari kebaya nyonya yang menggunakan sulaman tangan," katanya.

Bagi seorang pelajar swasta Ng Hui Yen, 22, beliau gemar mengumpul kebaya nyonya untuk digayakan pada Tahun Baharu Cina dan sehingga kini mempunyai koleksi kira-kira 10 helai pakaian tradisional itu.

"Sejak di sekolah menengah lagi saya suka melihat orang memakai pakaian Cina peranakan ini dan rasa tidak lengkap beraya tanpa kebaya ini lagipun ia adalah salah satu warisan budaya bangsa yang harus dipulihara," katanya yang turut gemar mengenakan baju kebaya nyonya bersama seluar.

Sementara itu, Asma Mansor, 55 dari Perlis yang turut mempunyai lebih 10 pasang koleksi baju kebaya nyonya berkata baju kebaya mempunyai pelbagai jenis namun rekaan kebaya nyonya tetap menjadi pilihan lebih-lebih lagi untuk digayakan dengan kain potongan kipas.

"Jika dilihat kebaya pada zaman dahulu dan sekarang, tidak banyak berbeza dari segi reka bentuknya. Baju kebaya memang cantik bila digayakan dan fesyen yang tak pernah lapuk ditelan zaman. Sejak dari zaman filem Allahyarham Tan Sri P Ramlee lagi kita boleh tengok pelakon-pelakon wanita menggayakan baju kebaya ini," katanya.

 

Disunting oleh Rafeáton Md. Ali 

BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan