RENCANA

KENDURI RAKYAT ANTARA TARIKAN HPPNK 2019

18/11/2019 03:35 PM

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Kenduri Rakyat Nasi Ambeng, Budaya dan Seni Tani serta Karnival Kerjaya antara yang menjadi tarikan pada sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2019 yang akan berlangsung pada 28 November hingga 1 Disember 2019, di Angsana Johor Bahru Mall.

Menurut Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Azulita Salim, HPPNK 2019 antara lain turut menampilkan 13 pavilion negeri yang setiap satu mempunyai reka bentuk rumah yang unik dengan menampilkan identiti dan budaya serta makanan tradisi masing-masing. 

“Tarikan lain yang sering dinanti-nantikan oleh pengunjung ialah jualan bahan pertanian dan makanan seperti produk Industri Asas Tani (IAT), buah-buahan, sayuran segar, anak pokok, bunga-bungaan, ikan, makanan laut segar serta kerang-kerangan.

“HPPNK sentiasa popular dengan jualan segar hasil pertanian, makanan dan minuman. Pada kali ini sebanyak 345 juadah popular yang juga merupakan menu pelbagai etnik dan suku kaum di Malaysia akan diketengahkan kepada pengunjung,” katanya kepada Bernama. 

 

PELBAGAI AKTIVITI

HPPNK 2019 akan diadakan di Padang A dan B, Angsana Johor Bahru Mall dan dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ia merupakan kerjasama antara Kerajaan Negeri Johor dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sementara LPP sebagai Agensi Pelaksana.

Di samping menghargai sumbangan peladang, penternak dan nelayan yang menjadi penyumbang utama makanan negara, program tahunan itu turut memberi peluang kepada penggiat industri  mengetengahkan hasil pertanian dan teknologi terkini selain membuka peluang perniagaan dalam sektor pertanian.

Azulita berkata sehingga hari ini, sambutan pelbagai pihak terhadap HPPNK 2019 amat menggalakkan.

“Ramai usahawan menghubungi kami untuk mendapatkan slot jualan di tapak HPPNK 2019.  Sehingga hari ini, sebanyak 90 peratus gerai jualan telah ditempah.

“Kira-kira 350 gerai jualan dibuka untuk disewa dalam kluster pemasaran produk sepanjang HPPNK 2019. Produk-produk yang akan diketengahkan akan disegmenkan melalui ciri-ciri seperti Ready To Eksport (RTE), nilai estetik, wellness, celebrity corner, produk kering, jualan segar dan basah, makanan dan minuman,” katanya. 

Selain enam aktiviti utama iaitu makanan dan minuman, gaya hidup, kesejahteraan, hasil pertanian, agro teknologi dan pembangunan modal insan, HPPNK 2019 turut mengetengahkan 15 komponen iaitu Pertandingan HPPNK dan Konvensyen, Showcase Agro Teknologi, Mekanisasi dan Automasi, Agro Pelancongan, Agro Kulinari, Agro Belia, Empayar Makanan, Jualan Segar, MySeafood, Budaya dan Senitani, Kenduri Rakyat Nasi Ambeng, Hasil Pertanian dan Perikanan serta Forum Perdana Ehwal Islam.

“Buat julung kalinya Forum Perdana Ehwal Islam akan disiarkan secara langsung dari tapak HPPNK 2019 di Angsana Johor Bahru Mall dan dibawakan khas oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan AgroBank dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ),” katanya.

 

MAKANAN MASA DEPAN

HPPNK 2019 mensasarkan seramai 500,000 orang pengunjung dari seluruh Malaysia dan negara jiran, Singapura, bagi melihat sejauh mana perkembangan produk dan hasil keluaran pengusaha sektor pertanian dan industri asas tani negara ini.

Turut mengulas mengenai tema HPPNK 2019 ‘Makanan Kita Masa Depan Kita’,  Azulita berkata ia sinonim dengan Hala Tuju Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani: Prioriti dan Strategi 2019 - 2020, yang dirangka berasaskan tiga dimensi sektor agromakanan iaitu keselamatan makanan negara, pembangunan ekonomi luar bandar serta pelaburan swasta dan perdagangan antarabangsa.

Hala tuju itu memberi fokus bagi memperkukuh struktur dan amalan dalam tiga subsektor yang menghasilkan sumber makanan utama negara iaitu padi, ruminan dan perikanan namun dalam masa sama tidak mengenepikan pengeluaran pertanian dari subsektor lain.

“Makanan sering digunakan sebagai alat diplomatik untuk sesebuah negara mengembangkan pengaruhnya. Sebagai contoh, apabila berlaku bencana dan kecemasan, negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kesatuan Eropah akan bertindak menghantar bantuan makanan...maka berkibarlah bendera mereka sebagai isyarat kehadiran dan pengaruh mereka di pentas dunia.

“Sejarah turut mencatatkan apabila berlaku peperangan, banyak negara menjadi lumpuh malah tergadai kedaulatannya akibat masalah tidak cukup bekalan makanan hingga terpaksa bergantung kepada bekalan dari luar.

“Justeru, kekuatan sesebuah negara bukan sahaja ditentukan dengan saiz bala tenteranya, tetapi keupayaan untuk mempertahankan bekalan makanan daripada berhadapan krisis kebuluran. Masalah bekalan makanan secara automatik boleh mencetus konflik dalaman sekaligus menjadi senjata bagi pihak lawan,” katanya.

 

KUALITI MAKANAN

Azulita pada masa sama menambah selain kecukupan makanan, kualiti makanan yang dihasilkan turut menjadi elemen penting dalam pembangunan negara melalui strategi nutrisi yang tepat kerana ia mampu menyumbang kepada tahap kesihatan rakyat.

“Makanan yang dihasilkan hari ini menentukan tahap kecergasan fizikal dan kecerdasan minda generasi akan datang. 

“’Kedaulatan Makanan’ turut menjadi asas kekuatan negara kerana ia berupaya menentu dan mengawal sumber dan penghasilan bahan makanannya sendiri tanpa perlu bergantung kepada pihak luar,” katanya.

Menyentuh mengenai konsep Pemodenan Pertanian dan Teknologi dalam industri agromakanan negara pada HPPNK 2019, beliau berkata melalui kecanggihan teknologi, lebih banyak produk pertanian dapat dihasilkan yang secara langsung dapat menerajui kedaulatan makanan negara sekaligus menjadikan negara pengamal pertanian moden sepenuhnya menjelang 2030.

“Antara yang menarik bakal dipamerkan di HPPNK 2019 adalah dron yang boleh digunakan dalam sektor pertanian dan Internet of Things bagi menggalakkan industri pertanian Malaysia beralih kepada ‘Internet-based Agriculture’ menerusi penggunaan Teknologi Digital dan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

“Pemodenan, teknologi dan inovasi pertanian dalam industri agromakanan negara bertujuan mewujudkan keyakinan masyarakat terhadap penyelidikan dan teknologi terkini dalam membangun dan meningkatkan industri pertanian negara. 

“HPPNK 2019 dijangka akan menyediakan pelbagai ruang untuk perdagangan, pelaburan, kerjasama dan pemindahan teknologi disamping menjadi platform perkongsian idea untuk membangunkan import dan eksport pasaran sekaligus menjalin pakatan antarabangsa serta membina strategi untuk meningkatkan pasaran saingan,” katanya.

 

PRODUK UNIK

Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Ishak Ismail berkata antara menu Empayar Makanan termasuklah puding raja, nasi dagang, nasi kerabu, keropok lekor, mee kolok, latok, laksa, bihun sup, char kuew teow, rendang, nasi lemak, masak lemak cili api, asam pedas, otak-otak serta pelbagai jenis kuih tradisional.

Bagi Laman Jualan Segar pula, pengunjung berpeluang mendapatkan produk unik seperti kerang bulu, udang putih, daging ayam piru dan ikan susu selain turut ditawarkan potongan harga lima hingga 20 peratus bagi buah-buahan dan sayur-sayuran.

“Terdapat 50 jenis buah dan sayur termasuk sayur kampung serta pelbagai jenis ulam boleh didapati seperti nanas (MD2, Josapine, N36), umbisi (ubi kayu, keladi, keledek), buah dari Borneo (nanchem, rambutan Anak Sekolah Sri Aman, terung asam, pomelo tenom) serta buah keranji dari Terengganu.

“Di samping itu, sebanyak 1,001 jenis orkid (Dendrobium, Mokara, Cattleya, Oncidium, Vanda, Renanthera, Papilionanda, Phalaenopsis, Ascocenda, Spatoglottis) dan bunga-bungaan (Heliconia, Japanese Bamboo, Bunga Ros dan Jasmine) turut boleh didapati di Laman Jualan Segar,” katanya sambil menambah pengunjung berpeluang menikmati lempuk durian.

 

PLATFORM ‘LEBAR SAYAP’

Pensyarah Jabatan Perniagaantani dan Ekonomi Biosumber Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia, Mejar Muhamad Fadzil Repin @ Rebin berkata inisiatif HPPNK 2019 merupakan platform kepada usahawantani berkumpul dan berkongsi maklumat serta ‘melebar sayap’ dalam sektor pertanian.

Beliau berkata, ia mampu menggerakkan industri agromakanan menjadi berdaya saing dan mampan sejajar dengan objektif Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2011-2020.

“HPPNK 2019 mampu menjadi penunjuk aras kepada pencapaian jaminan bekalan makanan selain memperbanyak peluang perniagaan dan pekerjaan yang boleh diceburi oleh usahawantani.

“Pelbagai maklumat juga dapat dikongsi dari mereka yang berpengalaman dan pakar dalam bidang pertanian di mana ia mampu membina sikap dan sistem nilai bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan pemain industri,” katanya.

Tambah beliau, penggunaan teknologi dan inovasi terkini mampu meningkatkan pengeluaran secara optimum dan usahawan harus bersikap lebih berani mencuba teknologi baharu.

“Dalam jangka masa panjang inisiatif program seperti HPPNK 2019 dapat membantu mengurangkan import makanan serta memperbaiki keseimbangan perdagangan makanan negara,” katanya.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------

RUANGAN SISI

HPPNK 2019

 

Sinonim dengan ekspo pameran dan jualan kedua terbesar di Malaysia selepas Malaysia Agriculture, Horticulture & Agrotourism Show (MAHA), HPPNK 2019 dijangka menjana transaksi sebanyak RM30 juta.

Selain urus niaga tanpa tunai dan padanan perniagaan, pengunjung juga dijangka turut berpeluang beramah mesra bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal pada program itu.

Mereka yang berminat mendapatkan tapak pada HPPNK 2019 boleh menghubungi 03-89484699/ 016-20173452 atau menghantar emel kepada pemasaranprodukhppnk2019@gmail.com. 

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA  


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan