RENCANA

PELAJAR DENGAN MASALAH PENGLIHATAN LAMBAT DAPAT BUKU

19/11/2019 06:02 PM

Oleh Sakina Mohamed

(Artikel ini disiarkan sempena Hari Kanak-kanak Sedunia pada 20 Nov.)

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Ramai kanak-kanak cacat penglihatan yang bersekolah di institusi pendidikan khas tidak mendapat buku yang diperlukan pada awal sesi persekolahan.

Ini menjejaskan hak mereka untuk mendapatkan pendidikan berkualiti, kata Hani Nursyahira Muhamat Halis, 15, ketika ditemui di Forum Kanak-kanak Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ‘Welcome to our 2030’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Ada rakan-rakan saya yang mempunyai masalah penglihatan memberitahu saya, mereka tidak mendapat buku Braille sehingga lewat semester. Ini menyukarkan usaha mereka mendapatkan pendidikan berkualiti,” kata pelajar SMK Sultan Badlishah, Kedah itu kepada Bernama.

Isu itu antara yang dibangkitkan oleh kanak-kanak cacat penglihatan yang menghadiri forum tersebut, yang juga dihadiri dan dikendalikan sepenuhnya oleh 50 kanak-kanak berusia antara 13 dan 18 tahun dari seluruh negara.

Acara itu yang memberi tumpuan kepada lima daripada 17 matlamat SDG iaitu Matlamat 1 (Tiada Kemiskinan), Matlamat 3 (Kesihatan Yang Baik dan Kesejahteraan), Matlamat 4 (Pendidikan Berkualiti), Matlamat 10 (Mengurangkan Ketaksamaan) dan Matlamat 13 (Tindakan Iklim).

 

CABARAN HASILKAN BUKU BRAILLE

Bernama menghubungi beberapa sekolah untuk kanak-kanak dengan masalah penglihatan bagi mendapat penjelasan lanjut mengenai isu yang berbangkit. Ada yang menafikan dakwaan itu manakala yang lain tidak mahu memberi sebarang komen.

Bernama kemudian menghubungi KL Braille Resources, sebuah syarikat pembekal buku Braille di Lembah Klang dan diberitahu tiada masalah kekurangan buku teks dalam bentuk Braille.

 “Biasanya kami akan menerima pesanan daripada Kementerian (Pendidikan) dan memenuhi pesanan itu dengan serta-merta. Setakat yang kami tahu, tiada masalah kekurangan buku teks dalam bentuk Braille dan semua bekalan buku memang sampai ke sekolah pada masa yang ditetapkan.

“Mungkin kelewatan yang dimaksudkan ialah bagi buku rujukan dalam bentuk Braille. Negara kita memang mengalami masalah kekurangan buku rujukan dalam bentuk Braille kerana kekurangan pakar yang dapat menukarkan teks biasa kepada Braille. Proses itu sememangnya mengambil masa yang panjang dan tenaga kerja yang banyak,” kata jurucakap syarikat itu.

Bernama juga menghubungi Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) untuk mengetahui jika NGO itu ada menerima aduan mengenai kelewatan buku teks Braille di sekolah pendidikan khas.

“Mungkin dulu memang ada aduan sebegini, tapi tiada aduan sedemikian dalam dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Namun jika isu itu masih wujud di sesetengah sekolah, ianya tidaklah berapa menghairankan. Ini kerana proses menukarkan buku teks biasa kepada bentuk Braille memang rumit dan mengambil masa yang sangat panjang,” kata Ketua Pegawai Eksekutif persatuan itu Silatur Rahim Dahman kepada Bernama.

Menurut beliau, jika sesuatu buku teks itu dicadangkan untuk penggunaan pada 2021, maka pihak pembekal buku Braille harus memulakan proses penukaran kepada bentuk Braille beberapa tahun sebelum itu.

Namun, kata beliau, proses itu boleh dipendekkan jika salinan digital (soft copy ) buku teks yang akan dipakai oleh sekolah-sekolah, diberikan kepada penerbit buku Braille lebih awal.

“Saya mencadangkan agar penerbit buku teks yang diluluskan pihak Kementerian (Pendidikan) memberikan soft copy buku teks kepada penerbit buku Braille agar mereka dapat terus memasukkan salinan digital itu ke dalam mesin percetakan Braille.

"Ini sekaligus mempercepatkan proses penerbitan dalam bentuk Braille. Jika tidak, pihak penerbit buku Braille terpaksa menaip semula keseluruhan buku itu dan ini proses yang amat rumit,” katanya.

Sebelum adanya mesin percetakan Braille, sebuah salinan master buku teks dalam Braille akan dihasilkan dengan mengupah pekerja untuk menaip semula keseluruhan teks dalam buku teks yang digunakan di sekolah.

Silatur Rahim menjelaskan, lukisan, gambar rajah, peta, carta dan graf yang terdapat dalam buku teks perlu dihasilkan semula menggunakan bahan yang timbul dan bertekstur seperti lidi, pasir dan gam, sebelum dimasukkan ke dalam mesin thermoform.

“Proses inilah yang menyebabkan penghasilan buku teks Braille memakan masa dari berbulan hingga bertahun. Bayangkan jumlah peta, gambar rajah, carta dan lukisan dalam buku Geografi, Sains dan Matematik. Jadi sekiranya pihak penerbit Braille diberikan soft copy buku teks, ini sudah tentu dapat membantu mempercepat dan mempercekapkan proses,” katanya.

 

OLEH KANAK-KANAK DAN UNTUK MEREKA

Sementara itu, Hani Nursyahira menyeru golongan dewasa agar lebih peka kepada keperluan kanak-kanak kurang upaya dan mempercepatkan usaha untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi supaya mereka  memperolehi kualiti pendidikan yang lebih baik.

Pelajar ini adalah sebahagian daripada anggota kumpulan kanak-kanak yang mengusahakan Matlamat 4 (Pendidikan Berkualiti).

Selain membangkitkan kepentingan pendidikan inklusif bagi kanak-kanak kurang upaya, kumpulan itu juga mengetengahkan isu pendidikan bagi kanak-kanak yang tidak mempunyai dokumen, kekurangan kemudahan pembelajaran terutama bagi masyarakat luar bandar dan bagi yang berhenti sekolah untuk membantu ibu bapa di rumah.

Mengulas lanjut mengenai kualiti pendidikan di sekolah-sekolah di Malaysia, Hani Nursyahira     berpendapat bentuk pendidikan di negara ini terlalu berkisarkan peperiksaan.

“Saya luangkan begitu banyak masa untuk menghafal itu dan ini untuk peperiksaan, namun selepas itu saya dapati pengetahuan itu tidak banyak digunakan dalam kehidupan seharian.

“Kita tidak sepatutnya terlalu focus pada ranking, pemarkahan dan straight As. Bentuk pendidikan yang kita perlukan ialah yang boleh digunakan dalam kehidupan kita, bukan setakat dalam peperiksaan,” katanya.

 

MENDIDIK RAKAN-RAKAN

Ada peserta yang bersurai dari forum itu dengan memahami lebih jelas peranan mereka dalam menangani isu-isu besar yang dihadapi dunia.

Seorang pelarian dari Somalia, Amin Sahal, 15, kurang memahami kepentingan menangani masalah perubahan iklim sebelum menyertai forum itu.

“Saya biasa mendengar tentangnya tetapi tidak berapa peduli tentang isu itu. Setelah bersama-sama mengusahakan Matlamat 13 – tindakan iklim – saya menjadi terkesan tentang krisis iklim yang kita alami. Sekarang saya dapat merasakan betapa pentingnya untuk bertindak segera menanganinya,” katanya.

Beliau berpendapat antara tindakan yang terbaik yang boleh diambil oleh seorang pelajar ialah dengan menyebarkan kesedaran tentang isu itu kepada rakan-rakan sekolahnya.

“Kita boleh lakukan ini dengan berkongsi ilmu ketika perhimpunan sekolah. Kita jugak boleh menggunakan wadah media sosial untuk berkongsi video dan gambar mengenai krisis iklim. Ini cara termudah dan terpantas untuk menyebarkan maklumat kepada seramai mungkin,” kata Amin, yang menuntut di sebuah sekolah komuniti untuk pelarian di Gombak.

Amin kini tinggal bersama ibunya dan tiga adik-beradiknya di Malaysia, sementara bapa dan seorang lagi adiknya masih di Somalia.

 

BERGERAK BERSAMA-SAMA

Sementara itu, Elmus Zechary Tonduyuk Solibun, 16, berkata perkara paling penting yang dipelajarinya di forum itu ialah acara itu bukan sekadar acara kanak-kanak.

“Kami menjayakan acara ini dengan kerjasama orang dewasa dalam UNICEF. Apa yang saya boleh simpulkan ialah apabila sekumpulan kanak-kanak dan orang dewasa bekerjasama untuk kebaikan, kita boleh mencapai kejayaan yang luar biasa.

“Kalau satu kumpulan kecil boleh mencapai sesuatu yang besar sebegini, bayangkan apa yang boleh dicapai dengan kumpulan yang lebih besar,” kata pelajar SMK St Anthony, Sandakan itu, yang juga Presiden Majlis Perwakilan Kanak-kanak Malaysia.

Walaupun mengakui kepentingan untuk terus maju ke hadapan, beliau berkata yang lebih penting ialah untuk orang dewasa bersatu dan bergerak menyokong kemajuan serta kebajikan kanak-kanak.

“Bila kita memperjuangkan hak kanak-kanak, kita berjuang bersama-sama mereka dan berjuang untuk masa depan semua.”

Forum itu yang sebahagian daripada Sidang Kemuncak SDG Malaysia 2019, bertujuan memperkasakan kanak-kanak dalam menyelesaikan isu kemampanan kompleks, memudahkan pemahaman dan kesaksamaan antara orang dewasa dan kanak-kanak serta mencetuskan dialog antara generasi.

 

Diterjemahkan oleh Sakina Mohamed dan disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan