RENCANA

PETRONAS BERI NAFAS BAHARU KEPADA SEKOLAH PEDALAMAN SARAWAK

21/11/2019 11:50 AM

Oleh Zaphne Philip

BETONG (Sarawak) (Bernama) – “Terima kasih Petronas”. Ringkas bunyi ucapan yang diungkapkan oleh 134 orang pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) St John kepada para sukarelawan Malaysia LNG Group of Companies.

Namun ianya penuh bermakna. Rasa syukur dan gembira  jelas terpancar di wajah mereka apabila kemudahan asas di sekolah itu ditambah baik dan ada yang digantikan dengan kelengkapan yang baharu.

SK St John yang berusia 53 tahun merupakan sebuah sekolah berasrama penuh dan terletak kira-kira 45 minit dari pekan Betong. Ia dipilih untuk program Outreach Petronas memandangkan sekolah ini mempunyai kemudahan asas yang serba kekurangan. 

Program Outreach Petronas ini adalah salah satu daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat Malaysia, LNG Group of Companies, sebuah syarikat subsidiari Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dalam meningkatkan modal insan serta kesejahteraan masyarakat luar bandar.

 

PROGRAM CSR PETRONAS

Antara kemudahan yang ditambah baik adalah mengubah suai makmal sains, asrama pelajar, tandas dan tempat tangkungan air yang dipasangkan jubin, dicat semula selain ditambahkan dengan kemudahan yang lain. Dewan sekolah juga dicantikkan dengan menyediakan bangku baharu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LNG Malaysia, Mohamed Syazwan Abdullah@Laga Jenggi, Petronas sangat prihatin terhadap masyarakat setempat, terutamanya bagi mereka yang tinggal di luar bandar.

Beliau berkata, aktiviti CSR Petronas dilaksanakan berdasarkan tiga teras utama iaitu Pendidikan, Kesejahteraan Komuniti dan Pembangunan serta Alam Sekitar.

“Bagi program Outreach Petronas di SK St John, ia meliputi kerja penambahbaikan kemudahan sekolah yang sangat diperlukan oleh murid dan guru di sekolah ini.

“Di samping itu, penambahbaikan makmal sains juga sebahagian daripada usaha untuk menyokong usaha penguasaan STEM dalam kalangan anak muda. Usaha ini  telah dibantu oleh ahli sukarelawan kami serami 100 orang dalam melakukan aktiviti fun learning untuk murid-murid bagi membentuk pembangunan secara holistik, " katanya pada majlis pelancaran Program ‘Outreach’ Petronas, baru-baru ini.

Projek ini yang dijalankan sejak awal Oktober sehingga awal November 2019 menelan belanja RM1.3 juta.

 

PENDIDIKAN MENTRANSFORMASIKAN KEHIDUPAN

Menurut Mohd Syazwan, pendidikan adalah kunci untuk mengubah masyarakat ke arah yang lebih baik dan mampu mentransformasikan kehidupan.

“Justeru, kami mahu melihat potensi itu digilap dalam kalangan golongan muda dan generasi baru di peringkat seawal, kami sedaya upaya  membantu anak muda dengan memberikan motivasi agar cemerlang dalam pendidikan mereka,” katanya.

Beliau menambah, program Outreach itu juga sejajar dengan usaha kerajaan Sarawak untuk membaik pulih sekolah daif terutamanya yang terletak di kawasan pedalaman.

Sementara itu,  Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, dalam ucapannya di majlis perasmian program CSR Petronas memuji usaha tanggungjawab korporat yang dilakukan oleh syarikat berkenaan.

Menurut beliau, program CSR itu adalah usaha murni untuk membantu pihak kerajaan dalam meningkatkan kemudahan di lebih 1,000 buah sekolah yang usang di negeri itu.

"Bagi saya dan anggota Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat, program CSR Petronas untuk memperbaiki kemudahan di SK St John ini umpama mimpi menjadi kenyataan.

“Sekolah ini merupakan sekolah missionary. Lama kita (kerajaan negeri) usahakan untuk bantu penambahbaikan. Selepas ini, apa yang penting adalah saya mahu pelajar di luar bandar mempunyai keazaman dan disiplin yang tinggi dalam mendapatkan pendidikan walaupun serba kekurangan, jika anda serius anda mampu mengubah kehidupan anda,” katanya.

 

IMPAK PROGRAM

Penolong Kanan 1, Austin Albert Jalin yang mengajar selama tujuh tahun di SK St John berkata, sebelum ini sekolah itu dikategori sebagai Sekolah Pedalaman Dua.

“Kini dengan adanya akses jalan raya, status Pedalaman Dua itu digugurkan dan menjadi status sekolah luar bandar, walaupun sudah boleh diakses namun kelengkapan di sekolah ini masih serba kekurangan.

“Kami melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) membantu setakat yang termampu sekiranya terdapat kerosakan yang perlu diperbaiki demi keselesaan murid-murid,” katanya.

Austin berkata, beliau bersyukur SK St John tersenarai bagi program Outreach yang dijalankan oleh pihak Petronas dalam usaha untuk membantu penambahbaikan kemudahan di sekolah itu.

“Kami sebagai tenaga pengajar bukan sahaja guru kepada mereka (murid sekolah) tetapi sebagai ibu bapa begitu terharu dengan usaha yang dijalankan oleh pihak Petronas.

“Kini anak-anak boleh tidur dengan selesa setelah kemudahan dan kelengkapan seperti di dalam asrama ditambah baik dengan tilam, katil dan almari yang baharu selain ditambah dengan kipas siling. Manakala bilik sains kini lengkap dengan kerusi meja baharu serta kelengkapan pembelajaran yang begitu kondusif,” katanya.

Pelajar Tahun 6, Oleyvia Peritty Sita berkata, sebelum ini mereka hanya tidur di atas lantai beralaskan tilam yang dikongsi bersama rakannya.

“Sekarang setiap seorang ada tempat tidur sendiri, tak perlu berhimpit, selesa dan ada almari baju sendiri,” kata dengan penuh kegembiraan.

Bagi Eddy Nielson Sigai pula berkata, dia berasa begitu teruja setiap kali tiba waktu subjek Sains kerana makmal Sains itu kini dilengkapi bahan pembelajaran baharu.

“Subjek Sains antara subjek kegemaran saya. Dulu bilik makmal ini kecil, sekarang seronok belajar sebab sudah ada komputer untuk kegunaan kami semua,” katanya yang merupakan pelajar harapan St John bagi peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah.

 

PERCEPATKAN USAHA

Bagi Timbalan Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah (LPS), Seli Kri, beliau berharap agar kerajaan mempercepatkan usaha membaik pulih sekolah usang di negeri ini.

“Seperti di SK St John, sekolah itu masih belum mempunyai bekalan elektrik 24 jam dan hanya bergantung kepada set generator selain sering mengalami masalah bekalan air.

“Kita berasa kasihan dengan murid-murid di mana mereka perlu mandi di sungai yang berdekatan sekiranya mengalami gangguan bekalan air. Keadaan ini bukan sahaja membimbangkan malah membahayakan diri mereka walaupun ada guru atau warden asrama yang mengiringi serta memantau,” katanya.

Menurut laporan akhbar, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM149 juta di bawah Belanjawan 2018, namun jumlah berkenaan hanya cukup untuk memenuhi keperluan 116 daripada 1,020 sekolah usang di Sarawak.

Sebanyak 371 buah sekolah di Sarawak masih bergantung kepada set genarator untuk bekalan elektrik, sementara 428 buah sekolah masih tidak mempunyai air yang dirawat.

Pada majlis itu, kesemua pelajar SK St John turut mendapat bantuan Program ‘Back To School’ di mana masing-masing menerima bantuan beg sekolah, alat tulis dan baju sekolah baharu.

Antara sekolah di Sarawak yang sudah dilaksanakan program Outreach Petronas itu adalah SK Ulu Pelagus, SK Nanga Penyarai, SK Sungai Selad, Sk Sungai Setiam, SK Sungai Genaan, SK Kidurong I, SK Kidurong II, SJK Siong Boon, SJK Sebiew, SMK Sebauh, SK Hermanus Assan, SJKC Chung Hua No 2, SMK Bandar, SMK Baru dan SMK Bintulu.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan