RENCANA

PROGRAM SUBSIDI PETROL HANYA UNTUK YANG BERHAK

11/12/2019 01:13 PM

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR -- Pada awal Oktober lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberikan analogi menarik mengenai Program Subsidi Petrol (PSP) yang diharap dapat menyakinkan orang ramai mengapa ia amat perlu dilaksanakan. 

Ketika menulis untuk sebuah akhbar tempatan, beliau membuat pembandingan penggunaan petrol antara kereta berkapasiti tangki minyak 30 liter dengan 70 liter.

Ia berpandukan harga petrol RON95 yang sepatutnya sekitar RM2.38 seliter berbanding harga runcit bersubsidi sekitar RM2.08, semasa komentar tersebut disiarkan. 

Ini bermakna, kerajaan sebenarnya memberi subsidi sebanyak 30 sen bagi setiap liter RON95. 

Menurut Saifuddin, kenderaan berkapasiti tangki minyak 30 liter memerlukan sebanyak RM62.04 setiap kali diisi penuh, antaranya untuk pergi balik kerja, jalan-jalan hujung minggu. Ini bererti, golongan B40 yang kebiasaannya memiliki kereta jenis begini membelanjakan sekitar RM249.60 sebulan untuk RON95.

Berdasarkan konsep pemberian subsidi 30 sen setiap liter, situasi itu jelas menunjukkan kerajaan membayar sebanyak RM36 sebulan untuk penggunaan petrol RON95 yang berjumlah RM249.60 bagi golongan berpendapatan rendah ini.  

“Bayangkan pula senario kedua. Tangki sebuah kereta mewah biasanya paling kurang 70 liter. Setiap kali diisi penuh, orang kaya ini berbelanja sekitar RM145.60. Kita gunakan formula sama iaitu orang kaya isi empat kali seminggu. 

“Orang kaya ini menggunakan 280 liter sebulan atau RM582.40 sebulan. Bermakna orang kaya ini menggunakan subsidi RON95 daripada kerajaan sebanyak RM84,” katanya dalam penulisan tersebut. 

Perbezaan sangat ketara di mana rakyat B40 menggunakan subsidi RON95 dengan kos RM36 sebulan manakala orang kaya memperolehi subsidi lebih dua kali ganda pada kadar RM84. Itu baru untuk sebuah kereta, memandangkan kebiasaannya orang kaya memiliki lebih daripada satu kenderaan. 

Justeru, persoalannya ialah siapakah sebenarnya yang lebih banyak menikmati subsidi petrol ini, sedangkan tujuan ia diperkenalkan adalah untuk membantu meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah?

 

DILEMA KERAJAAN 

 

“Adakala saya pun pun hairan mengapa ada segelintir orang kaya berkereta besar turut menggunakan RON95. Bukankah subsidi minyak itu untuk orang berpendapatan kecil seperti saya.

“Rasa terkilanlah juga kerana saya pun bukannya selalu memandu kereta. Saya pergi kerja naik bas. Jadi, tidaklah berasa sangat pemberian subsidi tu,” kata Johari Salleh, 41, kepada Bernama ketika ditanya mengenai kewajaran golongan tidak sepatutnya menikmati subsidi petrol daripada kerajaan. 

Beliau yang tinggal di Perumahan Awam Desa Rejang dan bekerja di sebuah hotel di Lembah Klang sebagai pengemas bilik memiliki sebuah kenderaan Proton Saga Aeroback. Namun, dia cenderung menggunakan pengangkutan awam kerana lebih menjimatkan selain tidak perlu rungsing dengan kos bayaran tempat letak kereta. 

Sememangnya, isu kemudahan subsidi bahan api tidak dinikmati sepenuhnya oleh golongan sasar adalah masalah besar yang dihadapi kerajaan sejak sekian lama.

Malah ia turut mendapat perhatian Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang berpendirian bahawa golongan berpendapatan tinggi tidak sepatutnya menikmati subsidi petrol berkenaan. 

“Kita tidak boleh bagi subsidi kepada orang kaya dan kita lihat subsidi lama yang guna kereta mewah seperti Rolls-Royce pun dapat subsidi," kata Dr Mahathir dalam satu laporan media. 

Dalam menangani isu ini, kerajaan berpandangan langkah wajar perlu dilaksanakan bagi memastikan subsidi bahan api sewajarnya hanya dinikmati golongan memerlukan dan kerana itulah PSP diperkenalkan bagi menjamin hak individu yang layak selain mengelak kemudahan tersebut daripada terus disalah guna. 

 

BANTU B40 DAN M40

 

PSP bersasar merupakan sebahagian daripada janji manifesto kerajaan Pakatan Harapan untuk membantu  golongan berpendapatan rendah B40 dan sederhana M40 bagi membiayai sebahagian kos penggunaan petrol mereka. 

Dengan perlaksanaan PSP, harga runcit RON95 dan diesel akan diapungkan secara berperingkat-peringkat supaya tidak memberi kesan yang mendadak kepada harga barang keperluan.

Ini bermakna subsidi petrol sedia ada secara pukal yang dinikmati semua orang pada masa ini tanpa mengira kerakyatan dan pendapatan akan diubah kepada golongan sasar rakyat Malaysia yang layak sahaja. 

Kerajaan memperuntukkan RM2.2 bilion bagi PSP bersasar yang akan memberi manfaat kepada kira-kira lapan juta pemilik kenderaan di Semenanjung Malaysia dengan dua kategori kelayakan. 

Kategori pertama ialah penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) daripada golongan B40 yang layak akan diberikan subsidi petrol sebanyak RM30 sebulan untuk pemilik kereta atau RM12 sebulan untuk pemilik motosikal.

Subsidi ini akan diberikan dalam bentuk pemindahan tunai dan akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima setiap empat bulan di mana pembayaran pertama akan dibuat pada April 2020 bagi tempoh Januari hingga April 2020. 

Manakala kategori kedua, bagi semua pemandu lain yang layak dan bukan penerima BSH, mereka akan menerima Kad95 yang membolehkan mereka menikmati subsidi petrol 30 sen per liter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter sebulan bagi motosikal. 

Kad95 ini akan dilaksana secara berperingkat pada suku pertama 2020.

 

LANGKAH TEPAT

 

Sementara itu, Geostrategis Azmi Hassan berpendapat langkah kerajaan memperkenalkan PSP adalah sangat tepat dan sepatutnya sudah lama dilakukan.

Ini kerana, katanya, subsidi pengagihan petrol secara pukal adalah tidak efektif kerana berlaku banyaknya ketirisan dan dinikmati golongan tidak sepatutnya. 

“Selain golongan berpendapatan tinggi, sebahagian besar subsidi ini juga dinikmati pelawat asing yang datang melawat ke Malaysia atau tinggal di sini apabila mereka mengisi minyak di negara kita,"  tambahnya. 

Berdasarkan data Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), jumlah kenderaan keluar masuk Johor adalah pada kadar 400,000 sebulan. Sudah pasti, mereka juga tidak terkecuali untuk turut sama menikmati harga subsidi RON95 yang diperuntukkan kepada rakyat Malaysia.

Ini berikutan tiada undang-undang pada masa ini yang menghalang mana-mana individu termasuklah warga asing untuk menikmati harga subsidi berkenaan apabila mengisi petrol di negara ini.

Itu tidak termasuk lagi penyeludupan bahan api bersubsidi rentas sempadan serta sindiket yang membeli RON95 mahupun diesel pada harga subsidi oleh syarikat komersial untuk menjalankan operasi kilang mereka sehingga mengaut keuntungan berganda. 

Pihak industri berkenaan sepatutnya membeli bahan api mengikut harga pasaran memandangkan mereka tidak layak untuk mendapat kemudahan tersebut.

 

TANGGUNG KERUGIAN

 

Ketirisan dan penyelewengan ini menyebabkan kerajaan menanggung kerugian jutaan ringgit. Dilaporkan, jumlah penggunaan petrol RON95 negara sekitar 14.4 bilion liter setahun sekali gus bermakna jumlah subsidi ditanggung kerajaan untuk RON95 sahaja sebesar RM4.32 bilion setahun. 

“Disebabkan itu, dikatakan subsidi pukal tidak adil kerana yang membayar cukai untuk membolehkan subisidi diadakan adalah rakyat tetapi yang menikmatinya adalah kumpulan tidak sepatutnya. 

"Tidak dinafikan, pendapatan yang diperolehi daripada sektor pelancongan memanglah bagus tetapi pada masa sama mereka turut menikmati pembelian barangan subsidi seperti petrol yang sebenarnya diperuntukkan buat rakyat Malaysia. 

“Sebelum ini, negara memang sukar menguatkuasakan peraturan orang asing tidak boleh menikmati petrol bersubisidi, namun dengan PSP sudah tidak ada ruang lagi buat mereka. Sudah tentu subsidi bersasar ini boleh dicapai,” katanya. 

 

DENYUT NADI M40

 

Menurut Azmi lagi, Kerajaan Pakatan Harapan begitu mendengar denyut nadi M40 memandangkan sebelum ini, PSP dijangka diberikan kepada penerima BSH tetapi kerajaan akhirnya memutuskan untuk memasukkan golongan M40 yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2020,” kata Azmi. 

Kenderaan yang layak untuk subsidi itu adalah kereta berkapasiti enjin 1,600cc dan ke bawah atau kereta dengan kapasiti enjin melebihi 1600cc yang berusia lebih 10 tahun, atau motosikal dengan kapasiti enjin sehingga 150cc dan ke bawah, atau motosikal dengan kapasiti enjin melebihi 150cc yang berusia lebih tujuh tahun. 

Mengulas dakwaan sesetengah pihak mempertikaikan jumlah subsidi PSP diberikan itu terlalu sedikit, Azmi berkata masyarakat perlu memahami kembali maksud sebenar 'subsidi'.

“Memang ada orang persoalkan RM30 sekali isi, habislah. Ramai ingat subsidi adalah 100 peratus dibantu kerajaan walhal tidak sebenarnya.

“Subsidi bukanlah pembiayaan sepenuhnya tetapi sekurang-kurangnya dapat meringankan beban rakyat. Walaupun nilainya kecil tetapi ia tetap subsidi untuk kesejahteraan rakyat,” jelasnya. 

 

 PENGANGKUTAN AWAM

 

Penganalisis Ekonomi Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff pula berpandangan nilai subsidi tersebut perlu dikaji dari masa ke semasa, sekiranya terdapat peningkatan harga minyak mentah dunia. 

“Tindakan kerajaan memperkenalkan PSP sudah dianggap ikhlas dan saya yakin jika ada keperluan untuk menaikkan kadar subsidi tersebut, sudah pasti kerajaan akan melakukannya pada masa hadapan,” katanya. 

Selain itu, beliau melihat pelaksanaan PSP sedikit sebanyak mampu mengubah gaya hidup masyarakat terutamanya di bandar iaitu penggunaan petrol lebih cekap atau mencari alternatif lebih murah. 

“Jika ada pengangkutan awam murah, cekap dan selesa antara kediaman mereka dan tempat kerja, sudah tentu golongan ini akan bertukar mod transportasi dari kenderaan sendiri kepada pengangkutan awam untuk memastikan kos perjalanan kekal rendah,” katanya. 

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

-- BERNAMA

 

kpdnhep, subsidi, petrol, bahan api, RON95, kereta, bantuan sara hidup, RM30, Pakatan Harapan, manifesto PH


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan