BERITA TERGEMPAR   Former inspector general of police (IGP) Tun Mohammed Hanif Omar died at 2.15 am today - Son | Bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tun Mohammed Hanif Omar meninggal dunia pada 2.15 pagi tadi - Anak | 
RENCANA

FIKIRLAH: MENGAPA SUSAH SANGAT JAGA KEBERSIHAN ?

14/01/2020 11:40 AM

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR (Bernama) -- “Apa azam tahun ini?"  Soalan lazim apabila menjelang tahun baharu.

Melangkah ke tahun 2020 pada Rabu lepas, pastinya ramai antara kita tidak mahu ketinggalan menukilkan azam atau matlamat yang ingin dicapai pada tahun baharu ini. 

Menyusuri laman media sosial sama ada Facebook mahupun Instagram, memang ramai yang membuat azam. Antaranya ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, mahu menukar bidang pekerjaan, mahu mencari pendapatan lebih dan banyak lagi. 

Biasanya tetapan azam itu lebih terarah kepada melatari landskap pembentukan diri kepada yang lebih baik berbanding sebelumnya termasuk bidang kerjaya, kesihatan dan perhubungan.

Namun belum pernah lagi saya melihat azam yang turut memberi tumpuan untuk menjadi individu lebih berbudaya sivik dalam perihal 'kebersihan’ mahupun apa sahaja ke arah pemantapan nilai murni. 

Adakah ini bermakna kita menganggap ia sebagai suatu yang remeh, tidak penting atau langsung tidak mempunyai daya nilai untuk diangkat sebagai 'azam' ?

 

Mungkin jawapan kepada persoalan ini adalah 'Ya' jika dilihat kepada insiden yang berlaku pada malam selepas berakhirnya sambutan ambang tahun baharu di sekitar kawasan ibu kota baru-baru ini.

Sesuatu yang sangat menyedihkan serta memalukan apabila lokasi sambutan berkenaan yang juga merupakan tempat tumpuan pelancong, dipenuhi sampah sarap!  

Boleh dikatakan segala jenis sampah ada. Daripada sisa makanan, beg plastik, pelbagai tin semburan untuk memeriahkan sambutan tahun baharu, puntung rokok, botol air, surat khabar lama yang dijadikan alas duduk dan banyak lagi. 

Dan, bukan sedikit jumlah penjanaan sampah yang dibuang sesuka hati oleh majoriti pengunjung pelbagai lapisan masyarakat ini.

Berdasarkan satu laporan media, Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) mengutip sebanyak sembilan tan sampah sarap yang dibuang orang ramai di lokasi menjadi tumpuan di sekitar ibu kota ketika malam ambang tahun 2020. 

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd Zain Hassan dipetik sebagai berkata kawasan tersebut adalah KLCC, sebanyak empat tan sampah, Bukit Bintang, 2.5 tan dan Dataran Merdeka, 2.5 tan.

Bagi tujuan ini, seramai 100 orang termasuk pekerja am, pemandu, penyelia Alam Flora dan 10 unit jentera kompaktor serta pembersihan digunakan untuk membersih segala sampah yang mengambil masa selama lapan jam!

Bayangkan, betapa banyaknya masa dan tenaga terbuang di samping wang ringgit yang perlu dibelanjakan semata-mata untuk menanggung sikap buruk masyarakat yang masih lagi gagal membudayakan nilai murni dan pembersihan di kawasan awam.

Benarlah kata orang, nama sahaja tahun baharu tetapi perangai dan mentaliti masih lagi buruk, di takuk lama, kelas ketiga walaupun hakikatnya kita sudah pun melangkah dekad baharu serta menghampiri 63 tahun usia kemerdekaan.

 

Sememangnya sangat menyedihkan! Isu pembuangan sampah merata-rata, kurang kesedaran sivik bukanlah isu baharu malah sudah lama berantaian dalam kehidupan masyarakat negara ini. Apa yang berlaku pada malam sambutan tahun baharu adalah antara satu contoh menjijikkan daripada pelbagai situasi kegagalan pembudayaan amalan kebersihan di tempat awam dalam kalangan orang kita. 

Persoalannya, susah sangatkah untuk membuang sampah ke tempat yang sewajarnya? 

Itu yang membuat saya tertanya-tanya setiap kali melihat longgokan atau selerakan sampah di mana sahaja sama ada setiap kali selepas berakhirnya pasar malam, pesta, kenduri-kendara, gerai makan, kawasan pelancongan dan tidak terkecuali, dalam pawagam. 

Baru-baru ini, saya berpeluang menonton filem cereka sains, Star Wars: The Rise of Skywalker di sebuah pawagam sekitar kawasan Lembah Klang. Ketika hendak melangkah keluar selepas berakhirnya filem tersebut, saya terkejut apabila melihat segala macam sisa makanan ditinggalkan di atas kerusi.

Malah, bertih jagung turut bertaburan di atas lantai pawagam itu.

Tergamam dan membuatkan langkah saya terhenti seketika. Apakah mereka fikir boleh buang sampah kerana ada orang yang akan membersihkannya?

Sikap beginilah seolah-olah mereka berkelakuan seperti Tuan Besar yang beranggapan segala sampah boleh dibuang sesuka hati mereka. Mungkin mereka fikir kalau buang ikut peraturan, nanti pekerja pembersihan awam tidak ada kerja pula. 

Sampai bila mentaliti ini perlu berterusan? Tidak mustahil sikap memalukan ini akan diwarisi daripada satu generasi kepada generasi seterusnya memandangkan ada penonton datang bersama anak. 

Sikap buruk ini mungkin diteladani anak mereka. Kanak-kanak ini mungkin beranggapan tindakan membuang sampah merata-rata itu tidak salah. Bukankah emak ayah buat begitu?

 

Sikap sebegini sangat menjengkelkan! Walhal, kita mahukan tempat bersih, selesa tetapi malas atau sengaja buat tidak tahu akan kepentingan menghormati serta menjaga kemudaham awam. 

Masih ada yang melepaskan tanggungjawab 100 peratus kepada kerajaan atau pihak berkaitan penjagaan kebersihan, sedangkan, kerajaan sudah menghabiskan ratusan juta malah mungkin berbilion ringgit untuk mengurus sampah sarap. 

Difahamkan dalam satu laporan media, di Kuala Lumpur sahaja kerajaan memperuntukkan RM200,000 sebulan hanya bagi kerja pengurusan sampah di kawasan yang dilarang membuang sampah di sekitar Kuala Lumpur. 

 Ini tidak termasuk lagi mentaliti kelas ketiga penggunaan tandas awam serta merosakkan hak milik awam seperti yang berlaku di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini. 

Taman berwajah baharu yang dibuka semula pada 15 Dis 2019 selepas ditutup pada 1 Sept 2018 menjadi sasaran vandalisme oleh pengunjung tidak bertanggungjawab. Keadaan ini membangkitkan kemarahan orang ramai sehingga ada mencadangkan supaya kemudahan yang ditambah baik di taman itu dikenakan bayaran tertentu sebagai bentuk peringatan kepada masyarakat untuk lebih menghargai kemudahan yang disediakan. 

Kita harus sedar, tahun ini merupakan Tahun Melawat Malaysia 2020 dan kebersihan merupakan antara aspek penting diambil kira oleh pelancong. Dalam hal ini, kerajaan tidak boleh bergerak sendirian untuk memastikan negara ini bersih. 

Semua individu perlu memainkan peranan dan didikan menjaga kebersihan perlu bermula dari rumah iaitu didikan ibu bapa. Ianya bukan satu perkara yang sukar dilakukan, cuma memerlukan disiplin dan amalan berterusan.

Saya lontarkan soalan ini kepada semua: Mahukah anda melakukannya yakni menjadikan kebersihan sebagai sebahagian daripada amalan hidup anda? 

 

(Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis.)

 

Disunting Oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan