RENCANA

GENERASI MUDA PERTAHANKAN TRADISI TARIAN SINGA DAN NAGA

23/01/2020 02:19 PM

Oleh Zaphne Philip

BAU, Sarawak (Bernama) -- Kemeriahan sambutan Tahun Baru Cina hujung minggu ini tidak lengkap tanpa persembahan tarian singa dan tarian naga yang menjadi warisan serta lambang kebudayaan masyarakat Cina sejak ribuan tahun lalu.

Masyarakat Cina di seluruh pelosok dunia percaya tarian singa serta naga membawa tuah dan rezeki jika ia dipersembahkan.

Meneruskan kelangsungan tradisi tarian singa dan naga yang diwarisi dari Tanah Besar China itu, ialah komuniti Cina di Tasik Biru, Bau di sini, sebuah pekan bekas perlombongan emas terletak kira-kira 40km dari bandaraya Kuching.

Atas minat mendalam terhadap tarian warisan itu, ​​seorang pemuda tempatan Ivan Chai Xun Fu, 22, sudah pun menjadi tenaga pengajar dan ahli aktif Persatuan Tarian Singa dan Naga Jee Xiang Ruyi, di Bau sejak tiga tahun lalu.

Chai mula mempelajari tarian itu seawal usia sembilan tahun dan kini melatih seramai 50 orang ahli persatuan berusia antara 10 hingga 20 tahun.

Selain Tahun Baru Cina, tarian singa dan tarian naga turut dipersembahkan semasa majlis perkahwinan, perasmian perniagaan, kedai baharu, rumah baharu atau majlis keramaian.

 

DISIPLIN TINGGI

Mengulas lanjut, Chia berkata dalam mempelajari tarian tradisi itu, setiap ahli persatuan berkenaan perlu mempunyai disiplin yang tinggi dan sikap bertanggungjawab.

"Disiplin dan tanggungjawab, adalah prinsip utama sebagai ahli persatuan kami.

"Berlatih tarian singa bukanlah mudah, ia memerlukan disiplin, konsistensi, fokus dan komitmen yang tinggi," katanya ketika ditemu bual Bernama, di sini, baru-baru ini.

Bercakap mengenai latihan tarian singa dan naga, Chia berkata latihan akan diadakan tiga kali seminggu  dan lazimnya pada waktu malam kerana kebanyakan ahli masih bersekolah. Latihan biasanya berlangsung selama tiga jam, bermula pukul 7.30 malam.

“Semakin dekat perayaan Tahun Baru Cina, kami melanjutkan tempoh latihan agar persembahan kami tidak menghampakan penonton yang mengundang ahli persatuan kami,” katanya.

Berlandaskan prinsip yang ditekankan gurunya, Darrell Ng, 37, yang juga bekas atlet tarian singa yang pernah mewakili Malaysia pada peringkat antarabangsa, membolehkan Chia mengasah bakat dalam tarian tradisi itu serta dapat memimpin persatuan sehingga terkenal di pekan Bau.

“Saya kagum dengan semangat dan disiplin guru saya. Dialah inspirasi saya untuk terus mempertahankan seni warisan tarian singa dan naga  ini.

"Saya sebagai generasi yang baharu harus mewarisi kemahiran itu,” katanya yang baru menamatkan pengajian di Tungnan University, Taiwan dalam bidang Rekaan Dalaman Disember lepas.  

Bercerita lanjut mengenai gurunya, Chia berkata Ng juga pernah menjadi anak murid Master Siao Ho Phiew yang handal dalam tarian singa dan cukup popular dalam arena tarian singa di Malaysia dan persada dunia.

Malah, Chia turut bertanggungjawab menguruskan segala keperluan logistik persatuan, jadual latihan serta memenuhi permintaan pelanggan untuk membuat persembahan.

 

TARIAN TRADISI DIMINATI KAUM BUMIPUTERA  

Menariknya, ahli Persatuan Tarian Singa dan Naga Jee Xiang Ruyi itu turut terdiri daripada kaum bumiputera seperti Bidayuh dan Melayu daripada sekitar pekan Bau.

Seorang ahli persatuan berketurunan Bidayuh, Marion Angeline, 20, berkata beliau menyertai persatuan itu sejak lima tahun lepas kerana amat meminati untuk mempelajari seni warisan tarian singa.

“Kalau ikutkan pantang larang kaum Cina, perempuan tidak dibenarkan mempersembahkan tarian singa, namun ia sudah tidak lagi diamalkan dan saya sangat berminat mempelajari kemahiran itu," katanya yang merupakan seorang daripada lapan orang wanita ahli persatuan itu.

Bagi Marion, disebabkan tarian singa ini memerlukan kekuatan mental dan fizikal, maka kaum wanita tidak digalakkan menyertainya.

Sementara itu, bekas pelajar Institut Kemahiran Malaysia, John Adrian, 21, berlatih tarian singa umpama melakukan senaman selain dapat mempelajari seni warisan kaum Cina.

"Bagi saya, mempelajari seni warisan dan budaya kaum lain merupakan perkara yang menyeronokkan kerana   kita dapat memahami kepelbagaian budaya kaum yang ada di negara ini," katanya ​​​​​yang secara konsisten berlatih bersama-sama rakan ahli persatuan itu.

 

Disunting oleh Rafe áton Md. Ali

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan