RENCANA

RASIONAL KENAIKAN TARIF AIR

29/01/2020 12:47 PM

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Cadangan kerajaan untuk menaikkan kadar tarif air sehingga kini masih menjadi polemik bagi banyak pihak. 

Untuk rekod, sehingga rencana ini ditulis (29 Jan), peratus sebenar kadar kenaikan masih belum diumumkan.

Sebarang kadar kenaikan yang mahu dilaksanakan oleh kerajaan pasti berdepan dengan beberapa isu utama termasuk peningkatan kos sara hidup serta jaminan untuk rakyat mendapat bekalan air bersih.

Ditambah pula dengan isu kekurangan serta gangguan bekalan air yang sering melanda negara ketika ini, rakyat tentunya berharap agar kenaikan yang perlu ditanggung akan ada manfaatnya.

Sejak kerajaan mengumumkan cadangan kenaikan tarif itu, sehingga kini, kira-kira enam buah negeri menyatakan persetujuan. Perkara itu dilaporkan akan dibawa ke kabinet untuk kelulusan sebelum diumumkan dalam tempoh terdekat.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Datuk Dr Xavier Jayakumar pada 5 Januari lepas berkata, mana-mana negeri yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan kenaikan itu diminta mengemukakan mekanisme masing-masing kepada kementerian berkenaan sebagai usaha menyediakan air bersih terawat untuk rakyat.

 Menurut beliau, ini kerana kos penyediaan dan menguruskan air terawat adalah tinggi dan langkah penyelesaian perlu diambil bagi menangani krisis gangguan air di negeri masing-masing. 

 

PERLU PERTIMBANGAN 

Profesor Madya Dr Ghufran Redzwan dari Program Sains Pengurusan Alam Sekitar, Institut Sains Biologi, Fakulti Sains Universiti Malaya (UM) berkata terdapat beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan sebelum kadar baharu tarif air ditetapkan kepada satu nilai yang munasabah.

Antaranya termasuklah kesediaan pengguna untuk membayar berbanding keupayaan mereka untuk membayar.

Mengambil contoh sambutan rakyat sewaktu perubahan tarif bekalan elektrik sebelum ini, beliau berkata ia pada awalnya ia turut mengundang kebimbangan kerana sudah tentu meningkatkan perbelanjaan mereka.

“Perkara sama turut dijangka berlaku apabila pengenalan kadar baharu tarif air nanti. Namun persepsi pengguna boleh berubah.

“Jika kenaikan kadar tarif air selari dengan peningkatan kualiti perkhidmatan, pengguna akan melihat perkhidmatan bekalan air sebagai industri yang sama pentingnya dengan sektor bekalan tenaga,” katanya kepada Bernama baru-baru ini. 

Ghufran berkata melalui kenaikan kadar baharu itu nanti, syarikat pengendali boleh memperoleh ‘suntikan’ modal bagi menjalankan kerja-kerja memperbaiki, menukar serta menaik taraf sistem perpaipan yang uzur seterusnya mengagihkan bekalan air terawat kepada pengguna dengan lebih cekap. 

“Kerja-kerja itu memerlukan kos yang besar, disebabkan itulah perlunya kadar tarif baharu ini. Tambahan pula kadar berkenaan tidak pernah disemak dalam tempoh 20 tahun.

“Terdapat rakyat  yang beranggapan bekalan air terawat adalah murah dan mudah diperolehi. Persepsi itu perlu diubah. Rakyat perlu sedar bahawa sumber air mentah yang semakin tercemar dan terhad serta kualiti sistem perpaipan yang semakin uzur adalah antara tiga perkara yang menjadi cabaran besar kepada pengendali perkhidmatan bekalan air terawat,” katanya.

 

JAMINAN AIR BERKUALITI

Sejauh mana rakyat dapat menikmati perkhidmatan yang lebih baik selepas kenaikan tarif baharu itu nanti, Ghufran berkata ia amat bergantung kepada pelaksanaan rancangan menaik taraf sistem bekalan perpaipan.

“Air terawat yang keluar dari loji sememangnya mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan namun kualitinya mungkin merosot apabila sampai kepada pengguna kerana melalui sistem perpaipan yang usang, berkarat dan kotor.

“Isu krisis air, kemarau, pencemaran dan sebagainya yang berlaku selepas kenaikan tarif air, saya berpendapat kita perlu melihat semula kepada apa punca sebenarnya. Jika gangguan bekalan air berlaku disebabkan pencemaran, maka ia adalah di luar bidang kuasa pengendali.

“Dan sekiranya masalah gangguan air berlaku disebabkan sistem paip yang pecah atau rosak, maka ia berbalik kepada tujuan kenaikan kadar tarif air ini dilaksanakan iaitu menaik taraf sistem perpaipan yang sudah lama dan memerlukan penyelenggaraan,” katanya.

Ghufran pada masa sama menambah kadar tarif air yang berbeza di setiap negeri wajar diselaraskan namun tidak menolak ia mempunyai banyak cabaran kerana kos penyelenggaraan infrastruktur dan operasi bagi setiap negeri adalah berbeza.

 

GOLONGAN SASARAN

Berpendapat kadar kenaikan wajar dilaksanakan secara berpatutan dan tidak membebankan pengguna, beliau berkata kerajaan boleh menetapkan kumpulan sasaran bagi kategori tertentu.

“Kerajaan belum memuktamadkan berapa sebenarnya kadar kenaikan tarif air. Sebagai contoh, kadar purata bagi setiap meter padu air terawat ialah RM 1.20 dan kerajaan menetapkan kenaikan antara lima hingga 10 peratus. Kita ambillah (contoh) 10 peratus, maka pengguna perlu membayar sebanyak RM1.32 selepas kenaikan dan jumlah itu mungkin tidaklah terlalu membebankan mereka. 

“Namun begitu, jika kenaikan adalah sebanyak ataupun melebihi 50 peratus, ia wajar dilakukan secara berperingkat-peringkat agar pengguna tidak ‘terasa’ dengan perubahan itu. Sebagai contoh pengguna yang sebelum ini membayar RM 1.20  bagi setiap meter padu tetapi perlu membayar sebanyak RM 1.80 disebabkan kenaikan kadar tarif sebanyak 50 peratus.

“Jika bil air bulanan mereka sebelum ini RM 30, dengan kenaikan sebanyak 50 peratus itu ia akan menjadi RM45 sebulan, maka itu dianggap membebankanlah. Kenaikan sebegitu (dalam jumlah besar) wajar dilakukan secara berperingkat,” katanya sambil menambah pemberian air percuma kepada golongan sasaran khususnya kumpulan miskin tegar adalah wajar bagi menunjukkan sikap prihatin kerajaan dalam meringankan beban rakyat. 

 

KURANGKAN NRW

Profesor Madya Dr Kuppusamy Singaravelloo dari Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran UM pula berkata, pelaksanaan kenaikan kadar tarif air dapat membantu mengurangkan kadar air tidak terhasil (NRW) yang merupakan kerugian operasi apabila air terawat hilang akibat dicuri atau tidak sampai kepada pengguna disebabkan faktor tertentu.

“NRW di seluruh negara adalah kira-kira 35 peratus. Ini bermaksud hampir satu pertiga air yang sepatutnya sampai kepada pengguna ‘hilang’ begitu sahaja, mungkin disebabkan paip bocor atau pecah dan lain-lain termasuk air yang sampai kepada pengguna tidak berkualiti. 

“Kos kerugian akibat kehilangan air ini sedikit sebanyak wajar ditanggung oleh pengguna bagi mengelakkan pengendali atau pembekal air terawat sentiasa dalam kerugian sekiranya kos kehilangan ini tidak diserap oleh pihak lain,” katanya.

Beliau turut mencadangkan sebagai permulaan, kerajaan boleh membuat pertambahan kadar tarif dalam bentuk perpuluhan berbanding angka bulat supaya pengguna tidak rasa terbeban dengan perubahan itu.

Mengenai sistem pemberian subsidi air, beliau berkata ia bukanlah bertepatan dengan kaedah pengurusan air peringkat antarabangsa namun boleh dipertimbangkan untuk kumpulan rakyat yang layak dan benar-benar memerlukan.

 

TINDAKAN SEGERA

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM) T. Saravanan berkata tindakan segera wajar diambil bagi mengelak krisis bekalan air terawat akibat sistem pengagihan yang tidak diselenggara dengan baik. 

Selain keperluan terhadap sumber air terawat bagi pengguna pelbagai sektor semakin meningkat saban tahun, musim panas yang melanda negara sejak kebelakangan ini turut menuntut penyelesaian segera.

“WECAM berharap dengan pelaksanaan kenaikan kadar tarif air nanti ia akan memperbaiki mutu perkhidmatan bekalan air terawat kepada pengguna selain rakyat tidak lagi mengalami catuan air," katanya. 

Turut menambah kerajaan boleh mewujudkan pelan atau inisiatif tertentu bagi memperbaiki sistem perkhidmatan sedia ada, beliau berkata teknologi meter pintar (smart meter) perlu ditawarkan kepada pengguna bagi membolehkan mereka mengetahui jumlah penggunaan air.

“Melalui cara itu pengguna secara langsung boleh menjalankan penjimatan yang mampu mengubah tabiat membazir air termasuk mengehadkan penggunaan air bagi tujuan kegunaan harian mereka.

“Kekurangan bekalan air mungkin boleh berlaku lebih kerap disebabkan perubahan iklim yang berlaku ketika ini. Kita perlu ambil iktibar dengan apa yang berlaku di Cape Town, Afrika yang menghadapi krisis air akibat kemarau melampau, " katanya.

 

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

 

RUANGAN SISI

Rundingan untuk menaikkan kadar tarif air giat dijalankan sejak 2019.

Memetik laporan sebelum ini, cadangan pelaksanaan Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) Air melibatkan kenaikan antara 0.06 sen hingga 0.71 sen bagi setiap 1,000 liter, cukup rendah jika dibandingkan dengan bayaran utiliti lain seperti elektrik, gas serta telekomunikasi. 

Xavier sebelum ini dilaporkan berkata kenaikan kadar tarif air yang dirancang dilaksanakan di seluruh negara secara berperingkat itu mampu meningkatkan penyampaian kualiti perkhidmatan bekalan air terawat kepada rakyat di seluruh negara. 

Menerusi kenaikan itu juga katanya, kerajaan akan mempunyai keupayaan kewangan lebih kukuh untuk berbelanja bagi kemudahan perkhidmatannya termasuk mengurangkan kadar NRW, yang mana kerajaan memberi fokus untuk mengurangannya kepada 31 peratus pada akhir Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Beliau antara lain turut berkata pihaknya akan memastikan kenaikan tarif air itu kelak tidak akan membebankan rakyat.

Purata kadar tarif air pada masa ini adalah RM1.38 bagi setiap 1,000 liter berbanding kos sebenar iaitu RM2.31 bagi setiap 1,000 liter.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan