RENCANA

SENI LUKIS, KALIGRAFI CINA 'KARTUN' TERAPI BUAT VIVIAN 

30/01/2024 02:14 PM

Oleh Soon Li Wei

Masyarakat Cina sememangnya kaya dengan khazanah kesenian yang kekal menjadi warisan turun-temurun termasuk kaligrafi dan ‘seni tulisan indah’ ini dapat disaksikan terutama menjelang sambutan tahun baharu. 

Pada musim perayaan ini, selain menjadi simbol hiasan wajib di jenang pintu, dinding rumah atau premis perniagaan, ia turut berperanan memeriahkan lagi suasana dan menyerlahkan seni peninggalan leluhur zaman berzaman. 

Dengan latar belakang kain rentang ataupun kertas berwarna merah, setiap perkataan menggambarkan harapan baik dalam mengharungi kehidupan seharian, sama ada daripada segi kesihatan, keselamatan, kemakmuran dan dipanjangkan usia seseorang individu ataupun seisi keluarga. 

Bagi penggiat seni visual dan kaligrafi Vivian Ng Suet Yuan, hampir setiap tahun  dia terus memperkasakan khazanah kesenian Cina itu dengan menghasilkan karya kaligrafi menerusi galeri maya miliknya, Niu Niu's Gallery.

Mula minat melukis sejak di bangku sekolah, Ng, 32, berkarya secara serius dalam kaligrafi Cina selepas menerima pelawaan menjadi sukarelawan sambutan Tahun Baharu Cina di beberapa persatuan penganut Buddha sekitar Lembah Klang, kira-kira lima tahun lepas. 

"Saya ditugaskan untuk membuat perhiasan dan dekorasi bangunan mereka untuk memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina. 

"Daripada menggunakan bahan sekali guna dalam perhiasan itu, saya fikir lebih baik jika saya memanfaatkan kertas merah sedia ada untuk menulis kaligrafi Cina agar sesiapa sahaja boleh membawa pulang untuk digantung di rumah mereka tanpa perlu membuang begitu sahaja.

"Ketika itulah, saya menerima banyak pujian dan ada yang mencadangkan kepada saya untuk memulakan perniagaan menjual hasil karya kaligrafi Cina secara kecil-kecilan. Di situlah bermula segala-galanya sehingga kini," katanya kepada Bernama.

 

KALIGRAFI 'HUI CHUN'

Anak kelahiran Bentong, Pahang itu mula mengambil tempahan menghasilkan pelbagai karya kaligrafi Cina dengan hanya berbekalkan kemahiran yang dipelajari ketika di bangku sekolah, iaitu dari Tahun 5 hingga Tingkatan 5. 

Meskipun sudah lama tidak menulis kaligrafi, Ng masih mampu mengasah kembali kemahirannya dengan merujuk kepada aplikasi media sosial seperti 'Pinterest' dan Xiaohongshu (Little Red Book) dari China.  

"Hiasan kaligrafi bagi Tahun Baharu Cina ini turut dikenali dengan nama ‘Hui Chun’ yang mana penulisannya melambangkan hasrat masyarakat Cina terhadap kehidupan yang bahagia dan harmoni dalam tahun baru yang akan datang.

"Ia bukan sekadar bentuk penulisan pada kertas tetapi satu kesenian yang memerlukan penghayatan dalam menulis setiap huruf kaligrafi Cina," tambahnya. 

Menurut Ng, secara tradisinya, hiasan kaligrafi Cina ini hanya digantung pada musim Tahun Baharu Cina dan tidaklah digantung ketika majlis perkahwinan atau keramaian lain.


Penggiat Seni Lukis dan kaligrafi Cina, Vivian Ng Suet Yuan menunjukkan demostrasi melukis Naga smepena sambutan Tahun Baharu Cina ketika ditemui di sebuah galeri di Kajang, baru-baru ini.

"Perkataan dalam bahasa Mandarin yang ditulis sebagai hiasan kaligrafi Cina untuk Tahun Baharu Cina ini, seperti 'Fu' yang membawa maksud kemakmuran, 'An' (selamat), 'Kang' (sihat) dan 'Shou' (panjang usia).

“Selain itu, perkataan yang digunakan dalam kaligrafi Cina juga turut dipengaruhi oleh Zodiak Cina untuk membentuk ayat seperti peribahasa.

"Oleh kerana tahun ini adalah Tahun Naga, kebanyakan hasil karya saya adalah bertemakan naga, selain bergantung kepada permintaan khas daripada pelanggan untuk menulis perkataan tertentu mengikut kesesuaian dan personaliti mereka," katanya sambil menambah, hasil karyanya boleh didapati menerusi laman sosial Facebooknya, Niu Niu's Gallery.

 

ELEMEN SENI 'DOODLE'

Kebanyakan seni kaligrafi Cina hanyalah bertemakan perkataan harmoni dan kemakmuran, namun bagi kebanyakan karya Ng, ia diserikan dengan kartun 'Doodle' di belakang setiap perkataan, menjadikannya lebih ceria dan unik.   

"Berbeza dengan hasil karya kaligrafi Cina yang hanya terdiri daripada perkataan sahaja, saya menambah unsur kartun agar ia tidak kelihatan membosankan serta dapat menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat, termasuk kanak-kanak. 

"Selain kelihatan menarik, ia juga dapat memupuk semangat cintakan seni kaligrafi dalam kalangan generasi muda, terutamanya kanak-kanak kerana di situlah dapat mencetuskan minat mereka untuk mempelajarinya, seterusnya dapat meneruskan khazanah warisan itu secara turun-temurun," katanya. 


Antara karya Ng yang memasukkan element Doodle dalam seni kaligrafi Cina yang menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat

Masyarakat Cina sangat sinonim dengan warna merah dan jelas Ng, ia memberi makna keberanian dan kekuatan, makanya seni kaligrafi ditulis menggunakan kertas berwarna merah.

"Kebanyakan karya saya adalah menggunakan kertas merah berlatarbelakangkan corak halus naga berwarna emas yang dapat menyerlahkan perkataan yang ditulis di atasnya dengan menggunakan berus dan dakwat hitam serta emas. 

"Peralihan zaman membuatkan seni kaligrafi ini juga sudah berubah apabila ia bukan hanya mempamerkan perkataan lazim yang melambangkan keharmonian dan kemakmuran sahaja, tetapi juga turut ditambah dengan elemen lain mengikut kreativiti seperti kartun ataupun slogan iklan," katanya.

 

 

LUKIS SECARA 'LIVE'

 

Selain seni kaligrafi, Ng juga turut menerima tempahan melukis potret manusia dalam bentuk ‘pop art’ sama ada secara permintaan ataupun memenuhi undangan persembahan melukis secara 'live' di khalayak ramai. 

Malah, dia juga sering dilihat mempamerkan hasil karya sama ada seni kaligrafi ataupun seni lukis moden menerusi reruai di pusat membeli-belah ataupun acara khas, lebih-lebih lagi sempena Tahun Baharu Cina. 

Sesiapa sahaja yang berpeluang menyaksikan persembahan Ng secara 'live' pasti terpegun dengan kelincahan tangan beliau menghasilkan tulisan kaligrafi dan lukisan di atas kertas merah dengan berbekalkan berus dan dakwat hitam serta emas, dalam masa lima hingga 10 minit. 

Bagi Ng, setiap langkah untuk menghasilkan sesuatu karya harus dilakukan secara teliti bermula dengan pemilihan berus berkualiti, warna dakwat dan jenis kertas yang dipilih. 


Bagi Ng, setiap langkah untuk menghasilkan sesuatu karya harus dilakukan secara teliti bermula dengan pemilihan berus berkualiti, warna dakwat dan jenis kertas yang dipilih.

"Saat tangan saya mencapai berus dan mencelupnya dengan dakwat, maka tumpuan saya adalah 100 peratus kepada objek ataupun perkataan yang harus saya tulis ataupun lukis di atas kertas. 

"Ia adalah terapi buat saya kerana melukis dan menulis kaligrafi bukan sahaja dapat melupakan permasalahan buat sementara waktu, tetapi juga turut memberi ketenangan untuk saya lebih fokus kepada kerja seterusnya selepas selesai menghasilkan karya.

"Bagi menghasilkan karya yang cantik dan memuaskan, ia perlukan ketenangan jiwa dan terus bertenang selain latihan secara berterusan," katanya menambah, dia mengambil masa kira-kira 20 tahun untuk mengasah kemahiran melukis serta kaligrafi.

 

 

SENI LUKIS MODEN

 

Selain kaligrafi Cina yang melambangkan warisan dan budaya masyarakat Cina turun-temurun, Ng juga turut meminati seni lukis moden seperti 'pop art', 'Zentangle' dan 'Acrylic Art' apabila karyanya juga sering dikongsi dalam laman media sosialnya 'Niu Niu's Gallery'. 

Malah dia juga turut terlibat dalam pelbagai program ‘seni jalanan’ yang memerlukan dia melukis mural di dinding terpilih. 

"Saya sering ditanya oleh pelanggan dan rakan lokasi galeri (fizikal) saya kerana terpegun dan mahu melihat karya saya secara bertentang mata, namun jawapan saya kepada mereka adalah galeri saya berfungsi secara maya.

"Jika mereka berpuas hati dan menyukai karya saya, mereka boleh menghubungi saya menerusi laman sosial itu dan berurusan terus dengan saya untuk proses pembelian mahupun permintaan khas," katanya. 

Bekas pensyarah Reka Bentuk Dalaman di New Era College, Kajang itu memulakan laman 'Niu Niu's Gallery' sejak tahun 2012 ketika mengikuti kursus Foundation of Arts di kolej yang sama. 

Lebih manis lagi, Ng pernah menghasilkan potret bekas Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sejak itulah dia dikenali dan menerima banyak tempahan dari dalam dan luar negara. 

"Potret itu juga saya hadiahkan kepada Tan Sri (Dr Noor Hisham) di Kementerian Kesihatan Malaysia pada Mei 2020 dan mengabadikannya di dalam platform YouTube serta turut dikongsi di media sosial.

"Sejak daripada itulah karya saya turut mendapat perhatian orang ramai dan menerima banyak tempahan sehingga mencecah ribuan ringgit pada satu-satu masa ketika PKP," katanya.

 

 

NASIHAT KEPADA GENERASI MUDA

 

Kepada generasi muda khususnya murid dan pelajar sekolah yang mahu mempelajari seni lukis serta kaligrafi, Ng menasihatkan mereka  supaya tidak mudah berputus asa dan rajin berpraktis. 

"Pepatah Inggeris ada menyatakan 'Practice Makes Perfect'. Jadi tidak apa sekiranya hasil lukisan kita itu tidak seperti yang diinginkan, tetapi hayatilah setiap proses menghasilkan karya itu dengan hati yang terbuka. 

"Ibu bapa yang inginkan anak mereka mempelajari seni lukis sama ada secara tradisional seperti kaligrafi ataupun moden, pastikan mereka seronok melakukannya. Berikan ruang untuk mereka  menyerlahkan bakat kreativiti mereka untuk melukis apa sahaja di atas kertas putih. 

"Tiada istilah hodoh dalam setiap karya ataupun lukisan serta tidak pandai melukis, kerana saya percaya setiap daripada kita boleh melukis, cuma kemahiran itu tidak digilap oleh golongan professional dan ia perlu dipraktik dengan bimbingan guru," katanya. 

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan