25 U-15 players selected for CFA tournament in Haikou City [ 1h ago ]

Berita SUKAN


SAFA nafi beri tiket percuma semasa perlawanan Sabah dan Kelantan esok

Tarikh kemaskini: 12/07/2019
KOTA KINABALU, 12 Julai (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) menafikan akan memberikan tiket percuma bagi menyaksikan perlawanan Liga Premier, Sabah menentang Kelantan di Stadium Likas malam esok seperti dalam satu kenyataan yang sedang tular di media sosial.

Setiausaha Agung SAFA Andrew Majanggim dalam kenyataan hari ini berkata kenyataan yang ditularkan di media sosial berkenaan adalah kenyataan palsu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Sepak mula perlawanan adalah jam 9 malam dan bukannya 8.15 malam seperti yang dinyatakan dan kenyataan itu adalah palsu.

“Sepak mula esok agak lewat berbanding perlawanan sebelum ini kerana akan ada sedikit acara sempena Majlis Penyerahan Piala Liga Premier sebelum dan selepas perlawanan,” katanya.

Beliau berkata Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Pemangku Presiden SAFA Datuk Peter Anthony juga akan hadir menyaksikan perlawanan dan majlis penyerahan piala berkenaan.

Katanya tiket bagi menyaksikan perlawanan itu juga akan dijual dengan harga biasa iaitu RM25 bagi tempat duduk di kawasan berbumbung dan RM15 bagi tempat duduk kawasan terbuka.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu