Mitra provides IR4.0 training for benefit of Indian community [ 3h ago ]

Berita SUKAN


Jerebu tidak jejas persiapan atlet ke Filipina

Tarikh kemaskini: 14/08/2019
KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Masalah jerebu yang melanda negara ketika ini masih tidak menjejaskan persiapan atlet dalam menjalani latihan ke Sukan SEA 2019 di Filipina November depan.

Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub berkata terdapat satu bangunan MSN yang dipasang alat bacaan indeks pencemaran udara (IPU) oleh Institut Sukan Negara selain mengakui turut menghubungi pihak berkuasa alam sekitar untuk mengetahui status sebenar udara.

“Bacaan ini akan dipantau dari semasa ke semasa, setiap hari bagi mengenalpasti sama ada latihan perlu diteruskan atau dihentikan. Namun, setakat ini program latihan berjalan seperti biasa kerana tahap jerebu belum melepasi tahap bahaya,” katanya ketika ditemui pemberita di Program Ibadah Korban MSN 2019 di Vista MSN di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Abdul Rashid berkata, pihaknya sentiasa dalam keadaan bersedia dengan sebarang kemungkinan dan memikirkan alternatif lain bagi membolehkan atlet meneruskan latihan berdepan Sukan SEA tahun ini.

“Sekiranya bacaan itu melepasi tahap merbahaya mungkin kita akan cari alternatif lain untuk atlet melakukan latihan, maybe indoor atau dipindahkan tempat latihan ke tempat-tempat yang kurang jerebunya di negara kita ini,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rashid berkata, bersempena hari terakhir tasyrik hari ini, MSN melaksanakan ibadah korban yang turut dilakukan setiap tahun bersama warga MSN, jurulatih, atlet dan penduduk setempat.

“Memandangkan hari ini semua anggota dan atlet serta jurulatih sudah berkumpul semula selepas bercuti beberapa hari dan ini merupakan hari terakhir Tasyrik jadi kita buat korban pada hari ini.

"Tahun ini merupakan tahun terbanyak jumlah korban yang kita lakukan iaitu tiga ekor lembu dan sembilan ekor kambing yang akan diagihkan kepada beberapa rumah anak-anak yatim, maahad tahfiz, dan golongan asnaf yang telah dikenalpasi di kawasan Sri Petaling, Sungai Besi dan Puchong, “ katanya.

Antara atlet dan jurulatih yang turut hadir memeriahkan majlis itu ialah atlet para olahraga, Abdul Latif Romly dan Mohd Saifuddin Ishak serta Penolong Jurulatih Hoki Wanita, Lailin Abu Hassan.

--BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu