KBS bakal salur dana khas kepada Hafizh Syahrin [ 4m ago ]

Berita SUKAN


Latihan tiga minggu cukup - Kim Swee

Tarikh kemaskini: 09/10/2019
Ong Kim Swee
KUALA LUMPUR, 9 Okt -- Skuad bola sepak lelaki bawah 23 tahun (B-23) negara hanya mempunyai tempoh persiapan kira-kira tiga minggu, sebelum memulakan saingan Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina, pada November ini.

Mengikut perancangan ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee, pemain akan memulakan latihan pusat pada 4 Nov, iaitu dua hari selepas final Piala Malaysia.

Pemain yang disenaraikan dalam skuad senior dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pula, hanya akan melaporkan diri pada 20 Nov, selepas dua aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil menentang Thailand pada 14 Nov dan Indonesia (19 Nov).

Kim Swee, bagaimanapun menegaskan tidak timbul isu kesuntukan masa untuk persiapan, kerana barisan pemain tetap menjalani latihan intensif dan perlawanan di peringkat senior bersama pasukan kebangsaan dan kelab masing-masing.

“Saya percaya bukan sahaja pasukan kita, pasukan lain seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia juga berhadapan dengan situasi sama. Mereka (pencabar utama) juga mempunyai ramai pemain B-23 yang terlibat dengan pasukan senior kebangsaan.

“Jadi saya tidak nampak sebarang isu di sini, di mana masa tidak mencukupi. Pemain mempunyai tiga minggu untuk membuat persiapan, sebelum kita bertolak ke Manila pada 23 atau 24 Nov, kecuali pemain daripada pasukan senior,” katanya pada sidang media Team Malaysia di Majlis Sukan Negara di sini, hari ini.

Acara bola sepak akan berlangsung dari 26 Nov hingga 10 Dis.

Kim Swee berkata pihaknya juga sedang merancang aksi persahabatan pada 21 atau 22 Nov, dan pasukan lawan akan ditentukan selepas undian Sukan SEA, yang dijadual di Manila pada Selasa ini.

Mengenai dua pemain lebih umur yang bakal disenaraikan, Kim Swee berkata beliau sudah mendaftarkan tujuh pemain, namun dua pemain yang dipilih hanya akan diputuskan selepas kempen kelayakan Piala Dunia/Piala Asia itu, berdasarkan posisi yang diperlukan.

Kim Swee yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak pada Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur, berhasrat untuk menebus kekecewaan itu pada edisi kali ini, selepas berjaya membimbing anak buahnya meraih ‘ibu segala pingat’ pada Sukan SEA 2011 di Indonesia.

“Ini kali kelima saya dalam Sukan SEA, saya percaya setiap kali kita mahu pingat emas. Yang penting kita harus fokus dahulu persiapan kita, biar kita lalui satu perlawanan ke satu perlawanan, sebelum kita memikirkan pingat emas, mahupun layak ke perlawanan akhir,” katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan, Datuk Seri Subahan Kamal berkata pihaknya menaruh harapan tinggi untuk meraih pingat emas pada temasya sukan itu, berdasarkan usaha dan komitmen yang ditunjukkan barisan kejurulatihan dan pemain.

Untuk rekod, sejak acara bola sepak lelaki dipertandingkan bermula edisi pertama pada 1959, ketika temasya itu dikenali sebagai Sukan Semenanjung Asia Tenggara (Sukan SEAP), Malaysia pernah merangkul pingat emas sebanyak enam kali, perak enam kali dan tujuh kali pulang dengan pingat gangsa.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu