Beberapa jalan di ibu negara dilanda banjir kilat [ 19m ago ]

Berita SUKAN


Sukan SEA: Tarikh lawan pedang ditunda, MFF hadapi kesukaran

Tarikh kemaskini: 09/10/2019
KUALA LUMPUR, 9 Okt -- Persekutuan Lawan Pedang Malaysia (MFF) terpaksa berdepan dengan kesukaran apabila Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC) menunda tarikh kejohanan pada temasya Sukan SEA 2019, bermula 30 Nov ini.

Presiden MFF, Rusni Abu Hassan, berkata ,pihak penganjur telah menunda tarikh pertandingan kepada 3 hingga 8 Dis ini iaitu bermula dua hari lewat berbanding tarikh asal akibat kelewatan dalam menyediakan venue pertandingan di Pusat Dagangan Dunia Metro Manila.

“Walaupun hanya dua hari lewat, ia menyukarkan kerana kami dah buat perancangan awal dan agak susah untuk mengubah jadual. Kita juga telah membuat rayuan menerusi Majlis Olimpik Malaysia dan memberikan beberapa cadangan kepada penganjur seperti mengurangkan hari pertandingan ke empat hari, tetapi mereka berkeras dengan keputusan itu.

“Jadi kita terpaksa akur dengan keputusan penganjur. Kita dah buat rayuan kepada syarikat penerbangan untuk mengubah tarikh penerbangan, buat masa ini kami mendapat maklum balas positif,” katanya pada sidang media Team Malaysia di Majlis Sukan Negara (MSN), di sini, hari ini.

Rusni turut berharap MSN juga akan melangsaikan baki peruntukkan sebanyak RM23,000 kepada MFF dengan secepat mungkin supaya wang itu dapat digunakan untuk fasa terakhir persediaan atlet lawan pedang ke Sukan SEA bulan depan.

Beliau mendakwa bahawa, setakat ini MSN hanya menyalurkan sebanyak RM32,000 daripada RM55,000 yang diluluskan kepada MFF untuk persediaan ke Sukan SEA, manakala MFF juga berjaya mendapatkan tajaan daripada pihak syarikat swasta.

Lebih mengejutkan, Rusni berkata, bayaran Sukan SEA 2017 juga, masih tertunggak sebanyak RM16,000.

Dengan 12 pingat emas ditawarkan, Malaysia bakal diwakili oleh 22 atlet, terdiri daripada lapan atlet bagi disiplin foil, lapan dalam sabre dan enam lagi bagi epee, di sertai oleh lima pegawai dan jurulatih.

Menurut Rusni, skuad foli kini menjalani latihan selama 20 hari di Jepun, manakala sebahagian atlet sabre berada di China sebagai persiapan untuk Kejohanan Asia Bawah-23 Tahun di Bangkok, bermula 23 hingga 28 Okt ini, dalam usaha untuk meningkat ranking sebelum Sukan SEA.

Skuad lawan pedang negara sekadar meraih sebutir gangsa pada Sukan SEA 2017 menerusi Joshua Koh I-Jie dalam acara epee lelaki.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu