Mahkamah batal saman difailkan oleh Sangeet Kaur terhadap bekas Ketua Hakim Negara [ 3m ago ]

Berita SUKAN


Harimau Malaya tidak rela putih mata - Syafiq

Tarikh kemaskini: 09/10/2019
Muhammad Syafiq Ahmad
Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

HANOI, 9 Okt -- Penyerang sensasi negara Muhammad Syafiq Ahmad, tidak rela Malaysia pulang dengan tangan kosong, ketika berdepan Vietnam pada aksi Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, malam esok.

Muhammad Syafiq menegaskan kedatangan skuad Harimau Malaya di Stadium Nasional My Dinh kali ini dengan keazaman tinggi, untuk meraih tiga mata penting.

Keyakinan pemain berusia 24 tahun itu berdasarkan persiapan rapi pasukan kebangsaan dan komitmen ditampilkan rakan sepasukan, sejak daripada aksi pembukaan kumpulan berdepan Indonesia, bulan lepas.

“Saya yakin dengan diri sendiri dan rakan sepasukan, yang kami boleh cipta sesuatu di sini selepas tewas dua kali kepada mereka (Vietnam), di kejuaraan Piala AFF 2018 dan kali ini kita bukan datang untuk kalah lagi.

“Kita datang kali ini untuk meraih kemenangan dan akan beri (tampilkan prestasi) habis-habisan,” katanya kepada pemberita selepas sidang media pra-perlawanan, pusingan kelayakan berkenaan di ibu pejabat Persatuan Bola Sepak Vietnam (VFF) di sini, hari ini.

Di atas kertas, kelebihan perlawanan esok sudah pasti milik Vietnam yang menghuni ranking ke-99 dunia berbanding Malaysia di kedudukan ke-158, selain beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong mereka.

Namun, jika Malaysia mampu mengulangi prestasi terpuji ketika tewas tipis 1-2 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Nasional Bukit Jalil dan menumbangkan Indonesia 3-2 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, bulan lepas, tidak mustahil keputusan positif dapat dilakar skuad kendalian ketua jurulatih Tan Cheng Hoe itu, di Hanoi.

Pada masa sama, penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu mengingatkan rakan sepasukan memberi fokus sepenuhnya dan mengurangkan kesilapan mudah, yang membolehkan pihak lawan mengambil kesempatan menjaringkan gol.

"Kita tahu Vietnam sebuah pasukan yang bagus dan mempunyai kekuatan di setiap posisi. Perkara yang harus dielakkan adalah melakukan kesilapan mudah, kita juga perlu manfaatkan peluang yang diperoleh sebaik mungkin," ujarnya.

Berdasarkan statistik, Malaysia sekadar meraih satu kemenangan dan dua keputusan seri dalam 10 pertemuan menentang Vietnam. Kali terakhir kedua-dua pasukan bertembung menyaksikan skuad bimbingan Park Hang Seo menang 1-0, sekali gus merangkul Piala AFF 2018 dengan keputusan agregat 3-2.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu