KBS bakal salur dana khas kepada Hafizh Syahrin [ 19m ago ]

Berita SUKAN


Miller kagum dengan bakat atlet muda

Tarikh kemaskini: 10/10/2019
KUALA LUMPUR, 10 Okt -- Jurulatih dari Amerika Syarikat, Dwayne Miller, yakin dapat membantu mengembalikan semula kegemilangan sukan olahraga negara berdasarkan jumlah atlet berbakat dalam negara yang mampu diketengahkan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Jurulatih berpengalaman lebih 30 tahun itu telah dilantik sebagai Pengarah Teknikal baharu Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Katanya, beliau kagum dengan jumlah atlet yang berbakat di peringkat sekolah dan kebangsaan selepas mengadakan pertemuan dengan mereka sebaik sahaja melaporkan diri bertugas di jawatan baharu itu hari ini.

"Saya pernah membimbing atlet yang kurang berbakat daripada ini untuk mencapai keputusan yang baik...maka ini bukan sesuatu tugas yang sukar. Saya tidak sabar untuk memulakan tugas dengan atlet muda dan berbakat dari peringat bawahan.

“Kita kena mula dari peringkat bawah dan dalam tempoh tiga tahun kita tidak tahu kedudukan dan pencapaian atlet-atlet berbakat ini,” katanya pada sidang media di pejabat KOM di Wisma OCM di sini, hari ini.

Untuk rekod, Miller pernah membantu pelari pecut Amerika Syarikat, LaShawn Merritt merangkul dua emas pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing dalam acara 400m dan 4x100m dengan mencatat rekod Olimpik.

Miller juga pernah meraih anugerah 'Nike Coach of the Year' dari badan induk olahraga Amerika Syarikat, USA Track and Field pada 2008.

Jurulatih berusia 55 tahun itu turut melatih pemenang emas acara 4x400m, LaTasha Colander Clark di Sukan Olimpik Sydney 2000 dan pemenang pingat perak acara 200m pada Kejohanan Dunia 2005, Rachelle Boone-Smith.

Beliau pernah bertugas di Arab Saudi dari 2013 hingga 2015 dan Qatar dari 2015 hingga 2017 sebelum kembali semula ke Amerika Syarikat untuk melatih beberapa atlet daripada beberapa wilayah di negara itu sejak dua tahun lalu.

Miller berkata memandangkan temasya Sukan SEA Filipina 2019 hujung bulan depan, beliau tidak mahu mengganggu tugas jurulatih yang sedia ada malah akan memberi nasihat dan tunjuk ajar mengenai peranan mereka sebagai jurulatih.

Selepas Sukan SEA Disember ini, katanya, beliau akan memberi tumpuan dalam membantu atlet berpotensi untuk layak ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo serta membolehkan mereka mendapatkan keputusan yang lebih baik bagi menghadapi Sukan SEA 2021 dan Sukan Asia 2022.

Sementara itu, Presiden KOM, Datuk S. M. Muthu berkata, Miller, pada mula dicadangkan untuk diberi jawatan jurulatih tetapi sebalik ditawarkan kontrak selama tiga tahun sebagai pengarah teknikal dengan tempoh percubaan selama enam bulan.

Menurutnya, gaji Miller dibayar oleh Majlis Sukan Negara (MSN) daripada peruntukan yang disediakan untuk KOM.

Memandangkan Sukan SEA Filipina 2019 akan bermula 30 Nov hingga 11 Dis ini, katanya, buat masa terdekat ini, struktur kejurulatihan KOM tidak akan diubah dengan Mohd Manshahar Abdul Jalil kekal sebagai ketua jurulatih.

'Selepas temasya Sukan SEA, Majlis KOM akan membincangkan sekiranya ada keperluan untuk merombak struktur kejurulatihan yang sedia ada,” katanya.

KOM akan menghantar 48 atlet ke Sukan SEA Filipina dengan sasaran lima pingat emas.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu