KPDNHEP tidak cadang wujud jenama 'i-KeeP' [ 21m ago ]

Berita SUKAN


KUFC tambah aura bola sepak Kelantan

Tarikh kemaskini: 06/11/2019
KOTA BHARU, 6 Nov -- Kehadiran Kelantan United FC (KUFC) dalam saingan Liga Premier musim depan memeriahkan bola sepak di negeri itu apabila turut bersaing dengan pasukan The Red Warriors (TRW).

Presiden KUFC Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata penyertaan KUFC dalam liga berkenaan menambah aura sokongan peminat bola sepak Kelantan.

"Saya melihat penyertaan kami (KUFC) ke Liga Premier dalam suasana yang cukup positif kepada peminat bola sepak negeri ini.

"Dua pasukan dari Kelantan bersaing dalam liga yang sama akan menambah lagi kesungguhan pasukan masing-masing bagi membuktikan kemampuan tersendiri," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Pada perlawanan terakhir Liga M3 semalam, KUFC mengesahkan kejuaraan liga itu apabila terikat 2-2 menentang ATM FC di Stadium KLFA, Cheras, malam tadi.

Keputusan itu menyaksikan KUFC mengumpul 66 mata selepas 26 perlawanan, sekali gus tidak mampu dicabar oleh Kuching FA yang berada di kedudukan kedua biarpun berbaki dua perlawanan.

Che Abdullah berkata pihaknya sudah bersedia untuk menyahut cabaran beraksi di liga yang tinggi musim depan.

"Pada dasarnya dari segi pengurusan kami bersedia untuk mempersiapkan pasukan berdepan pasukan lebih kuat pada musim 2020.

"Kami tidak meletakkan KUFC sebagai persaingan kepada TRW atau menjadi pilihan kepada penyokong namun kedua-kedua pasukan mempunyai kelebihan masing-masing," katanya.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu