Aksi kalah mati ke Liga Premier 2020 pada 23 Nov [ 15m ago ]

Berita SUKAN


Sukan SEA: kontinjen negara berpeluang atasi pencapaian di Korat

Tarikh kemaskini: 06/11/2019
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Ahmad Shapawi Ismail --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
KUALA LUMPUR, 6 Nov -- Peluang kontinjen negara untuk meraih pingat emas terbanyak di luar Kuala Lumpur pada Sukan SEA 2019 di Filipina, yang dijadual berlangsung dari 30 Nov hingga 11 Dis ini, dilihat cerah.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata daripada 386 acara disertai kontinjen negara pada temasya sukan itu kali ini, 76 daripadanya adalah acara yang menyumbang pingat emas pada edisi di Kuala Lumpur dua tahun lepas.

"Di segi pencapaian, 76 pingat emas dimenangi pada 2017...acara yang dimenangi itu akan dipertandingkan di Sukan SEA kali ini. Jadi, kita boleh lihat kalau atlet kita boleh cuba kekalkan kemenangan semasa Sukan SEA lepas," katanya kepada pemberita selepas bengkel penetapan sasaran Sukan SEA hari ini.

Bengkel penetapan sasaran pingat Sukan SEA diadakan dua hari bermula semalam, menghimpunkan 114 pengurus dan jurulatih bagi membincangkan mengenai sasaran kontinjen negara pada edisi kali ini.

Dalam pada itu, Ahmad Shapawi berkata kontinjen negara akan berkampung di Bangi pada 19 hingga 21 Nov ini dan majlis penyerahan Jalur Gemilang akan disempurnakan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pada hari terakhir perhimpunan atlet.

"MSN dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan membentangkan hasil rumusan yang sudah dimuktamadkan dalam bengkel kepada Menteri, yang diselaraskan secara bersama. Pada 21 Nov ini, Menteri akan umumkan sasaran pingat," katanya.

Sementara itu, Ketua Kontinjen negara ke Filipina Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata beliau amat berpuas hati dengan kerjasama yang ditunjukkan semua pengurus dan jurulatih yang hadir dalam bengkel dua hari berkenaan.

Katanya, banyak perkara telah dibincangkan, selain mendengar pembentangan daripada kesemua sukan yang akan membawa cabaran negara ke Sukan SEA Filipina.

"Bila tengok jumlah ini, ada tanda-tanda untuk kita atasi rekod di luar Kuala Lumpur iaitu di Korat dengan 68 pingat emas. Kontinjen kita pula keseluruhannya seramai 1,123 orang terdiri daripada atlet dan pegawai," katanya.

Beliau berkata kumpulan pertama kontinjen negara akan berlepas ke Filipina pada 17 Nov.

Untuk rekod, Malaysia meraih 68 pingat emas di Korat, Thailand pada 2007, iaitu pencapaian pingat emas tertinggi di luar Kuala Lumpur.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu