Keadaan kesihatan ratu irama Bollywood, Lata Mangeshkar stabil [ 6m ago ]

Berita SUKAN


Sistem kawalan keselamatan diperketat pada GP Malaysia musim depan

Tarikh kemaskini: 07/11/2019
PETALING JAYA, 7 Nov -- Syarat pemberian 'Green Pass' atau kad akreditasi akan diperketat pada perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia (GP Malaysia) musim hadapan.

Ini berikutan insiden kecurian melibatkan beberapa pasukan pada GP Malaysia baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Datuk Razlan Razali berkata pihaknya kemungkinan besar akan mengkaji semula pemberian pas akses ke paddock (paddock pass) yang dikeluarkan pemegang hak penganjuran MotoGP, DORNA.

"Mungkin kita akan kaji balik mereka yang mendapat paddock pass itu kerana GP Malaysia menerima banyak peruntukan daripada DORNA (pemegang hak penganjuran MotoGP). Kita kena lebih teliti.

"Kita kena memantau semua pass yang kita keluarkan, tidak kira untuk pekerja atau tetamu, kerana dari segi syarat akses memang ketat," katanya kepada media ketika ditemui pada sidang media Hi-Rev Dream Chaser bersama Hafizh Syahrin hari ini.

Razlan turut menegaskan bahawa sistem keselamatan menggunakan imbasan ke atas kad akreditasi pada perlumbaan GP Malaysia, adalah setanding dengan penganjuran di Eropah.

Malah, katanya, pihak SIC tidak sekadar menggunakan syarikat keselamatan tempatan, sebaliknya turut menggunakan syarikat keselamatan dari Austria.

"Bagi saya untuk masuk ke paddock pass sudah cukup dari segi keselamatannya. Tidak mudah untuk masuk (access) ke paddock sebab kita ada menggunakan sistem ‘paddock scanning’ yang digunakan di Europe," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan sebarang cadangan yang lebih baik untuk memastikan penganjuran GP Malaysia musim depan berjalan lancar, tanpa sebarang insiden yang memalukan.

Untuk rekod, insiden kecurian itu melibatkan beberapa pasukan dipercayai berlaku pada awal pagi Jumaat, antara 1 hingga 5 pagi, dalam keadaan cuaca hujan lebat.

Antara paling terkesan dengan insiden tersebut ialah pasukan Angel Nieto Team, yang menyaksikan beberapa alat ganti seperti tayar depan, set lengkap penyerap hentak dan brek bagi jentera kelas Moto2 dan Moto3 dicuri.

Mengulas lanjut, Razlan berkata pihaknya secara rasmi telah menulis permohonan maaf kepada pasukan terlibat, DORNA dan Perlumbaan Jalan Raya Antarabangsa (IRTA), berhubung insiden berkenaan.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu