Malaysia kekal terajui ekonomi Islam global [ 14m ago ]

Berita SUKAN


Skuad tenis terima tamparan dalam buru pingat pada Sukan SEA Filipina

Tarikh kemaskini: 07/11/2019
KUALA LUMPUR, 7 Nov -- Berbaki kira-kira tiga minggu sebelum memulakan saingan, skuad tenis negara menerima tamparan apabila pemain utama, Jawairiah Noordin ditimpa kecederaan yang mencetuskan tanda tanya berhubung penampilannya, pada Sukan SEA Filipina dari 30 Nov hingga 11 Dis ini.

Pengurus pasukan, Datuk Salahuddin Ahmad Kamal berkata keputusan mengenai acara yang akan disertai Jawairiah hanya akan diputuskan selepas mendapat laporan kesihatan daripada pakar perubatan.

“(Kecederaan) boleh tahan serius. Bagaimanapun, dia (Jawairiah) sudah pun turun untuk mengikuti latihan, tapi kita masih tunggu keputusan daripada pakar, esok. Acara tenis bermula pada 1 Dis, sepatutnya cukup masa, kita ada masa lagi, lebih kurang dua minggu untuk dia sembuh.

"Jika dia (Jawairiah) kembali cergas, dia akan bermain dalam acara perseorangan. Kalau tidak cergas sepenuhnya, kita akan letakkan dia bermain dalam acara beregu wanita atau campuran, sebab bermain acara perseorangan agak berisiko,” katanya pada sidang media Team Malaysia Sukan SEA 2019, di sini hari ini.

Skuad tenis kebangsaan mencatat keputusan cemerlang, apabila membawa pulang pingat perak dalam acara berpasukan wanita pada Kejohanan Jemputan One Belt One Road di Kunming, China pada bulan lepas.

Namun, di sebalik kejayaan manis itu, pasukan negara berdepan dilema apabila Jawairiah mengalami kecederaan di pangkal paha ketika aksi separuh akhir.

Sementara itu, Salahuddin optimis sukan negara mampu menyumbang dua pingat gangsa pada temasya sukan kali ini.

Selain Jawairiah, beliau berkata sandaran pingat juga diletakkan kepada S. Theiviya dan Christian Didier dalam acara beregu campuran.

Menurut beliau, Thailand, Indonesia, Vietnam dan Filipina adalah pencabar utama untuk meraih pingat pada temasya sukan dwitahunan itu.

“Kami sasarkan untuk dapat dua gangsa pada Sukan Sea kali ini. Kita harus berpihak di bumi nyata dalam meletakkan sasaran kerana ranking pemain negara masih jauh berbansing atlet negara lain,” katanya.

Pada edisi kali ini, skuad kebangsaan membariskan 10 pemain yang akan menyertai keseluruhan lima acara yang dipertandingkan melibatkan perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan wanita serta beregu campuran.

Untuk rekod, pasukan negara meraih gangsa dalam acara beregu wanita pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 menerusi Jawairiah dan Theiviya.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu