Econpile perolehi kontrak RM26.1 juta bagi WCity OUG [ 10m ago ]

Berita SUKAN


Saya tidak suka bagi alasan - Cheng Hoe

Tarikh kemaskini: 07/11/2019
Tan Cheng Hoe, Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya
PETALING JAYA, 7 Nov -- Menyedari harapan tinggi untuk mara ke Piala Asia 2023 diletakkan ke atas skuad bimbingannya, ketua jurulatih Tan Cheng Hoe enggan dilabel sebagai seorang jurulatih yang sering memberi alasan apabila tewas.

Malaysia berpeluang kembali ke landasan tepat dalam usaha mencapai sasaran tersebut ketika melayani Thailand dan Indonesia dalam dua aksi getir Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, bulan ini.

Kemenangan ke atas kedua-dua pasukan jiran itu bukan sahaja menghidupkan kembali peluang Harimau Malaya, malah mengubati kekecewaan penyokong rentetan dua kekalahan dialami skuad kebangsaan dalam tiga aksi pertama sebelum ini.

Malaysia tewas 1-2 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum tumpas 0-1 di tangan Vietnam di Hanoi dan dua keputusan itu menyaksikan peminat bola sepak tempatan mula mempersoalkan keberkesanan jentera serangan negara.

Cheng Hoe menegaskan pemain alam skuad kebangsaan ketika ini adalah kelompok pemain terbaik.

“Secara keseluruhan kita bermain begitu baik cuma tak dapat kemenangan. Pemain utama ketika ini masih lagi penting dan relevan untuk pasukan. Tetapi kita tetap memantau dan akan membuat perubahan sekiranya perlu.

“Sebagai jurulatih, saya masih lagi positif kerana kita kena cari pilihan terbaik untuk pasukan. Saya tidak mahu bagi alasan itu ini, tetapi sebagai jurulatih tugas saya mencari ramuan terbaik untuk dapatkan keputusan terbaik,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Cheng Hoe menyifatkan hanya keyakinan dalam diri pemain selain sokongan peminat, mampu menjadi faktor menyuntik moral pasukan.
Pemain Skuad Harimau Malaya giat berlatih pada sesi latihan skuad kebangsaan di Padang Wisma FAM hari ini. Skuad Harimau Malaya akan bertemu pasukan di kedudukan ke-116 dunia; Tajikistan bagi Perlawanan Antarabangsa Peringkat Pertama pada Sabtu ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Malaysia akan berdepan Tajikistan dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu in,i sebelum melayani kunjungan Thailand (14 Nov) dan Indonesia pada 19 Nov dalam aksi kelayakan di venue sama.

Selepas tiga aksi pusingan kedua kempen kelayakan itu, Thailand berada di kedudukan teratas Kumpulan G walaupun berkongsi tujuh mata dengan Vietnam, manakala Malaysia berada di tempat keempat dengan tiga mata.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu