Lebih 400 hektar tanah bangun pekan Kalabakan [ 5m ago ]

Berita SUKAN


Tajikistan tertarik dengan perkembangan Harimau Malaya

Tarikh kemaskini: 08/11/2019
Usmon Toshev (dua kanan)
KUALA LUMPUR, 8 Nov -- Tajikistan telah mengikuti perkembangan skuad Harimau Malaya dan bersedia menguji kemampuan skuad Tan Cheng Hoe pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukut Jalil di sini, malam esok.

Ketua jurulatihnya, Usmon Toshev, 64, berkata skuad Malaysia telah menunjukkan kemajuan positif di bawah bimbingan Cheng Hoe dan mampu memberi ‘masalah’ kepada lawan dengan rentak permainan pantas.

Beliau percaya Malaysia, dengan ranking ke-158 dunia, mempunyai peluang untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 pada kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

“Saya telah mengikuti semua perlawanan melibatkan Malaysia dan saya boleh melihat tahap kemajuan skuad negara seperti pada perlawanan antara Malaysia dan Vietnam. Apa yang diperhatikan, Malaysia adalah sebuah pasukan yang pantas.

"Semua pasukan mempunyai peluang layak tetapi apa yang saya lihat, Malaysia adalah sebuah pasukan yang mantap dan mempunyai peluang untuk layak ke Piala Asia 2023,” katanya pada sidang media praperlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini.

Tajikistan, yang menghuni ranking ke-116 dunia, kini memburu tiga kemenangan berturut-turut dalam Kumpulan F pada kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 apabila berdepan dengan Myanmar pada 14 Nov ini selepas mencatatkan kemenangan tipis 1-0, masing-masing ke atas Kyrgyzstan dan Mongolia.

Toshev menyifatkan pertemuan aksi pemanas badan esok adalah penting bagi pasukannya sebelum membuat perhitungan dengan Myanmar.

"Sebelum berdepan dengan Myanmar, saya mahu melihat kondisi dan cara pemain memperagakan aksi mereka. Saya mahu pemain menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di sini kerana ia agak sama di Myanmar,” kata bekas pemain antarabangsa Uzbekistan itu.

Sementara itu, ketua pasukan Tajikistan, Nazarov Akhtam tidak sabar untuk perlawanan esok kerana ingin melihat perkembangan rakan sepasukannya sebelum berdepan dengan Myanmar di Mandalay.

Menurutnya, beliau mahu menilai kelebihan dan kelemahan pasukan selepas melakukan persediaan rapi bagi menghadapi misi kempen kelayakan ini.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu